Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jakarta bergegar lepas gempa bumi di Jawa Barat

GLOBAL | Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan Jakarta selama beberapa saat pada Isnin, kata agensi cuaca dan geofizik Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia BMKG).

Pusat gempa berada di darat di Cianjur di Jawa Barat, kira-kira 75 km tenggara Jakarta, dan pada kedalaman 10 km (6.2 batu), kata BMKG, sambil menambah tiada potensi tsunami.

Sesetengah orang mengosongkan pejabat di daerah pusat perniagaan Jakarta manakala yang lain melaporkan berasa bangunan bergegar dan melihat perabot bergerak, kata saksi Reuters.

Muchlis, yang berada di Cianjur ketika gempa itu, berkata dia merasakan "gegaran besar" dan dinding serta siling bangunan pejabatnya rosak.

"Saya sangat terkejut. Saya bimbang akan berlaku lagi gempa susulan," kata Muchlis kepada saluran berita Metro TV, sambil menambah orang ramai berlari keluar dari rumah mereka, ada yang pengsan dan muntah kerana gegaran kuat.

Ketua BMKG Dwikorita Karnawati, bercakap kepada pemberita di bangunan parlimen, menasihatkan orang ramai supaya berada di luar rumah sekiranya berlaku gegaran susulan.

Suko Prayitno Adi dari BMKG pula berkata pihak berkuasa sedang memeriksa tahap kerosakan akibat gempa itu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa bumi pada magnitud 5.4 pada skala Richter.

(Laporan oleh Ananda Teresia, Gayatri Suroyo; Penulisan oleh Ed Davies; Suntingan oleh Kanupriya Kapoor dan Kim Coghill)

- Reuters