Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Agong mahu makluman siapa dapat bentuk kerajaan, calon PM

Yang di-Pertuan Agong mahu ketua-ketua parti dan gabungan yang menang “banyak kerusi” memaklumkan kesepakatan dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan sebelum jam dua petang esok.

Baginda juga mahu tahu berkaitan calon perdana menteri mereka, kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dititahkan untuk memohon perkara itu kepada pihak terbabit.

Mengambil maklum keputusan PRU15 semalam, Ahmad Fadil berkata Istana Negara telah menerima keputusan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tengah hari ini, yang jelas menunjukkan tiada parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.

"Sehubungan itu, menjunjung perkenaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Isntana Negara telah meminta kerjasama Azhar memohong kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti yang telah bersetuju antara parti politik/gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baru.

"Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti politik tersebut akan diminta Azhar untuk memaklumkan mengenai gabungan parti yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum jam dua petang, Isnin, 21 November 2022," kat Ahmad Fadil dalam kenyataan.

Keputusan PRU15 menunjukkan Parlimen tergantung, apabila tiada gabungan yang meraih majoriti mudah, iaitu 111 daripada 220 kerusi.


Keputusan PRU15


PH meraih 82 kerusi, diikuti dengan PN dengan 73 kerusi dan BN 30 kerusi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mendapat 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi dan parti-parti lain tujuh kerusi.

Ahmad Fadil berkata, Agong mengingatkan negara memerlukan kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga rakyat dan kesejahteraan negara.

"Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaa keutuhan negara...

"Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baru ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara," katanya lagi.