Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BN sedia ketepi perbezaan demi kerajaan stabil

Menerima keputusan PRU15 setakat ini, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu tetap komited untuk melihat sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan.

Zahid berkata untuk tujuan itu, BN sedia mengenepikan perbezaan sentimen sebelum ini.

Dia juga berkata BN komited untuk melihat hubungan yang baik antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

"Kami bersedia menjadi jambatan mengukuhkan hubungan ini," katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, bilangan kerusi Parlimen BN jauh ketinggalan berbanding PN dan PH.

Berdasarkan keputusan rasmi dan tak rasmi, BN setakat ini hanya meraih 27 kerusi berbanding PH dengan 72 kerusi dan PN dengan 59 kerusi.

Selain itu, BN juga kalah semua kerusi DUN dan Parlimen di Perlis. Ini kali pertama BN hilang kuasa di negeri itu.

Untuk rekod, BN sebelum ini yang mendesak PRU15 segera diadakan, di saat PH dan PN lebih cenderung agar ia diadakan selepas musim banjir.

Sementara itu, Zahid berkata BN melihat keputusan kali ini sebagai "isyarat besar" daripada pengundi.

"Dalam masa terdekat, BN akan memberikan tumpuan bagaimana untuk mengembalikan kekuatan parti kami terutama sekali untuk menangani cabaran semasa dan lebih memahami keperluan generasi baru," katanya lagi.