Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walau musibah, mangsa banjir Sepang semangat undi

Meskipun ditimpa musibah, mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut di Sepang tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Fatimah Ibrahim, 47, dari Kampung Rancangan Tanah Belia di Sepang, berpindah ke PPS bersama seluruh ahli keluarga termasuk adik-beradiknya semalam setelah kediaman mereka dinaiki air sehari sebelum itu.

Dia yang ditemui selepas selesai mengundi di SK Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pagi tadi berkata, tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia perlu ditunaikan selagi berkemampuan.

“Di kampung kami setiap parti sediakan kenderaan untuk bawa pergi mengundi, saya di sini bersama adik-beradik sepakat naik kenderaan sendiri, jadi 7.30 pagi kami dah bersedia untuk cepat pergi dan selesai.

“Alhamdulillah bantuan di sini (PPS) mencukupi, semua ada, mereka memudahkan urusan kami,” katanya yang berteduh di sini bersama dua orang adiknya Ainon dan Faridah serta kakak Zaharah, ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Harith Danial Fakri Zaki, 20, yang tinggal seorang diri di PPS di sini selepas ibu dan bapanya mengambil keputusan menyewa di inap desa berdekatan susulan masalah kesihatan, pasrah dengan dugaan dihadapi.

“Ini kali kedua berpindah selepas banjir Disember lepas…kali ini bagi saya lebih terkejut sebab tak jangka ia berlaku lebih awal, tapi saya tetap mahu keluar mengundi dan ayah yang bawa saya tengah hari tadi,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Katanya, sebagai pengundi muda, calon yang mampu melaksanakan tanggungjawab, sering membantu rakyat dalam kesusahan dan berintegriti menjadi pilihannya sebagai wakil rakyat.

Berdasarkan tinjauan Bernama, mendapati hujan renyai sebelum pusat mengundi SK BBST dibuka dan berhenti kira-kira 9.15 pagi, bagaimanapun keadaan tenang dan terkawal.

Tinjauan di PPS SK Kampung Baharu Lanjut pula mendapati kebanyakan mangsa banjir menaiki kenderaan sendiri ke pusat mengundi masing-masing.

PPS SK Kampung Baharu Lanjut antara empat PPS yang dibuka di Sepang sejak dua hari lepas bagi menempatkan kira-kira 120 keluarga selain PPS Dewan Orang Ramai Dengkil, PPS Taman Gemilang, PPS Sekolah Rendah Agama Dato Ahmad Razali dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil.

Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Rina Mohd Harun Rina, Anuar Basiran (Barisan Nasional), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Pakatan Harapan), Datin Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat), R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M. Muneswaran (Bebas).

- Bernama