Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

War Machine turut mengundi di Paya Besar, Spiderman di Segambut

Bagi mencipta kelainan dalam PRU kali ini, seorang pengundi di Bukit Sagu, dekat Kuantan, tampil ke pusat mengundi pagi tadi dengan kostum adiwira Marvel, 'War Machine'.

War Machine merupakan rakan kepada adiwira ternama, Iron Man.

Mohd Shah Riduwan Abdul Rahman, 37, berjalan kira-kira 100 meter dari rumah ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Sagu 1 dengan kostum tersebut, sambil dikerumuni kanak-kanak kampung berkenaan.

Ditemui selepas selesai membuang undi, Mohd Shah berkata dia ingin mencipta kelainan bagi menambahkan kemeriahan PRU kali ini, apatah lagi dia merupakan pengundi pos dalam PRU sebelum ini atas faktor kerja.

"Sebelum ini saya mengundi secara pos disebabkan faktor kerja dan untuk PRU15 pula saya boleh mengundi secara fizikal macam orang lain.

"Jadi saya fikir bagus juga kalau boleh buat kelainan sedikit, lagi pun saya teruja kerana kali ini dapat merasai sendiri suasana meriah hari mengundi," katanya yang bekerja sebagai kakitangan Felda di Bukit Sagu.

Mohd Shah merupakan pengundi DUN Sungai Lembing dan Parlimen Paya Besar.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengundi di sekolah berkenaan.

Mohd Shah Riduwan berkata, keputusan mengenakan kostum itu juga untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia yang mengundi buat kali pertama.

"Manalah kita tahu dengan usaha saya buat ini, mereka jadi berminat untuk keluar mengundi," katanya lagi.

Ditanya kenapa pilih kostum tersebut, dia berkata kostum adiwira itu kelihatan lebih garang dan menarik.

"Ini model War Machine Mark 3, lebih hebat berbanding model kostum versi sebelumnya.

"Lain kali saya nak pakai (kostum) Transformer pula," katanya sambil memaklumkan dia sudah menempah kostum Transformer dari pembekal di ibu negara.

Dia memberitahu kostum War Machine yang dipakainya berharga RM2,500.

"Isteri (Siti Lailatul Mariam Mokhtar) dan anak-anak sentiasa menyokong minat saya dan dia (isteri) juga membantu saya memakai kostum ini pagi tadi, kira-kira 20 minit jugalah baru siap (pakai) Iron Man ini," katanya.

Di Segambut pula, seorang lagi pengundi turut membawa kelainan dengan mengenakan kustom Spiderman.

Mengundi di SK Sultan Hisamuddin Alam Shah, 'Spiderman' itu malah menghias kustom tersebut dengan tengkolok dan sampin.

Pastinya penampilan itu menarik perhatian apabila ada pengundi yang menunggu untuk bergambar bersamanya.