Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BLOG | 70 peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang

BLOG | Selepas tempoh dua minggu kempen, rakyat Malaysia akan membuat pilihan mereka hari ini. Siapa yang menjadi pilihan mereka? Keputusan akan diketahui malam nanti.

Ikuti laporan langsung dari pasukan Malaysiakini yang membawa kepada anda perkembangan terkini sepanjang hari ini.


Pengundian berakhir

6 petang: Pengundian secara rasminya berakhir. Malaysiakini akan membawa liputan langsung pengiraan undi.


70 peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang

6 petang - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 70 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah membuang undi setakat jam empat petang tadi.

Dari segi jumlah pengundi, ini 2.5 juta lebih daripada jumlah pada 2018.

SPR masih belum mengeluarkan jumlah keluar mengundi pada pukul 5 petang dan 6 petang

Pada 2018, dengan peratusan keluar mengundi akhir sebanyak 82.3 peratus, jumlah keseluruhan pengundi yang menyertai pilihan raya itu ialah 12.99 juta.


65 peratus keluar mengundi setakat 3 petang

5.23 petang: Petaling Jaya, Selangor - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 65 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah membuang undi setakat jam tiga petang tadi.

Maknanya lebih ramai rakyat Malaysia telah mengundi hari ini berbanding 2018.

Disebabkan bilangan pengundi yang lebih tinggi tahun ini, peratusan keluar mengundi sebanyak 65 peratus bermakna hampir 13.76 juta undi.

Ini adalah 1.46 juta lebih pengundi daripada jumlah keseluruhan pada pilihan raya umum ke-14.

Pada 2018, dengan peratusan keluar mengundi akhir sebanyak 82.3 peratus, jumlah keseluruhan pengundi yang menyertai pilihan raya itu ialah 12.99 juta.


IGP nafi hubungi Anwar suruh bersiap PH menang

5.40 petang - Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani menafikan dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bahawa dia menghubunginya.

Menurut laporan media, Acryl mengulas video yang menggambarkan Anwar mendakwa KPN menyuruhnya bersedia kerana PH dijangka memperoleh 122 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, ketua polis berkata dia tidak akan mengambil tindakan terhadap calon perdana menteri PH.

Acryl berkata mungkin Anwar merasakan terlalu teruja semasa memberi ceramah dan berkempen.


Banjir di Baram: SPR gantung pengundian di 11 pusat mengundi

5 petang, Petaling jaya: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan keputusan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi di bahagian pilihan raya parlimen Baram.

Dengan pengundian di Baram digantung, hanya keputusan untuk 220 kerusi parlimen akan diumumkan dalam tempoh 24 jam akan datang.

Ambang untuk majoriti mudah di parlimen hari ini juga secara teorinya akan turun kepada 111.

Sebelum ini, pengundian di Padang Serai ditangguhkan selepas kematian calon Pakatan Harapan.


Ahmad Said pakai baju BN di pusat undi

4.57 petang: Kemaman, Terengganu - Calon BN Kemaman Ahmad Said dilihat memakai baju dengan logo parti ketika mencelup jarinya dalam dakwat kekal di pusat mengundi.

Peraturan pilihan raya melarang memakai baju berlogo parti di dalam pusat mengundi.

Logo gabungan itu boleh dilihat pada bahagian kiri baju Ahmad semasa dia mengundi di SK Teluk Kalong di Kemaman awal hari ini.

Bagaimanapun, bekas memteri besar Terengganu itu menyimpan pelitup mukanya yang juga berwarna biru di dalam poket bajunya.

Awal hari ini, netezin menyoal SPR jika ada layanan pilih kasih kerana Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat memakai vest berwarna hijau tertera logo parti itu ke sebuah pusat mengundi di Marang.

Mengikut peraturan pilihan raya, memaparkan logo parti, simbol atau nama calon pilihan raya dalam jarak 50m dari mana-mana pusat mengundi, adalah dilarang.


'Wartawan disekat buat liputan dari pusat undi Dr M'

4.50pm: Kuala Kedah, Kedah - Kelab Media Kedah mendakwa pemberita dihalang membuat liputan di pusat pengundian di SK Titi Gajah di Alor Setar.

Sekolah itu tempat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Siti Hasmah Mohamad Ali membuang undi.

“Selama beberapa dekad, petugas media dibenarkan membuat liputan mengenai Mahathir membuang undi tanpa isu atau dihalang oleh pegawai SPR.

“Namun pada PRU15, satu insiden berlaku di mana seorang petugas SPR menghalang wartawan, jurugambar, dan juruvideo yang ingin membuat liputan di pusat mengundi.

“Wartawan, jurugambar dan juruvideo yang terlibat dalam kejadian itu mempunyai pas SPR yang sah dan hanya menunggu Mahathir tiba di perkarangan SK Titi Gajah," kata kelab itu.


Calon PH: Pengundi disuruh tulis nama, nombor telefon

4.30 petang: Kulai, Johor - Calon Parlimen Kulai Pakatan Harapan Teo Nie Ching mendakwa peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilanggar di sebuah pusat mengundi.

Ini selepas beberapa pengundi di bawah Saluran 10 di SK Bandar Putra diminta menulis nama dan nombor telefon sebelum membuang undi.

Bagaimanapun, selepas bantahannya, senarai nama dan nombor iyu telah dikoyakkan.

"Ini melanggar peraturan SPR. Pengundi tidak perlu memberikan nama dan nombor telefon mereka... Undi adalah rahsia!" katanya pada satu kenyataan.


Meninggal dunia di tempat mengundi

4 petang, Johor: Dua pengundi wanita meninggal dunia ketika berada di pusat pengundian dalam dua kejadian berasingan, masing-masing di Kluang dan Johor Bahru, Johor.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, seorang daripada mereka dikenali sebagai Juhara Syed Mohamad yang menghembus nafas terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail kira-kira jam 9.30 pagi.

Katanya dia sudah selesai mengundi untuk kawasan parlimen Pulai apabila mengalami sesak nafas.

Juhara kemudian rebah dan meninggal dunia.

SPR Johor memaklumkan, wanita berusia 57 tahun itu hadir ke sekolah terbabit dalam keadaan kurang sihat dan dipantau oleh petugas. Namun kata SPR wanita berkenaan tetap mahu mengundi.

Wanita kedua dikenali sebagai Tuminah Ambiah, 85, yang meninggal dunia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lit Terk kira-kira jam 10.30 pagi.

Bagaimanapun tidak seperti Juhara, Tuminah tidak sempat mengundi. Kakitangan Kementerian Kesihatan mengesahkan Tuminah meninggal dunia sejurus selepas ambulans tiba.

Arwah sepatutnya mengundi untuk kerusi parlimen Sembrong.


3.50 petang: Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom menafikan bahawa mereka yang memakai selipar atau seluar pendek akan dilarang mengundi.

"SPR hanya ada satu peraturan sahaja iaitu tidak boleh pakai baju atau topi yang ada simbol parti politik. Itu sahaja peraturan SPR.

"Semua berita lain yang menyatakan seluar pendek tidak boleh pakai, selipar tidak boleh pakai, itu semua palsu.

"Kalau was-was, dapatkan penerangan di laman sesawang SPR," katanya seperti dipetik Bernama.


58 peratus keluar mengundi setakat 2 petang

3.27 petang: Petaling Jaya, Selangor - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 58 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah membuang undi setakat jam dua petang.

Ia bermakna 12.2 juta rakyat Malaysia telahpun melaksanakan kewajipan mengundi pada hari ini.

Jumlah keluar mengundi pada pilihan raya umum 2018 ialah 82 peratus, manakala 84 peratus pada 2013.

Hari ini menandakan pilihan raya umum pertama sejak umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik diperkenalkan.


Warga emas S'gor dakwa ada orang lain undi untuknya

3 petang: Rawang, Selangor - Seorang pengundi membuat laporan polis mendakwa ada orang mengundi bagi pihaknya.

Dalam laporannya, I Pathinathan, 70, berkata dia pergi membuang undi di SMK Bukit Sentosa di Rawang, Selangor pada 12.30 tengah hari hari ini tetapi diberitahu dia sudah mengundi awal pagi.

"Saya memberitahu mereka saya tidak melakukannya dan menunjukkan bagaimana jari saya tidak ditanda dengan dakwat kekal.

"Saya mengesyaki kad pengenalan saya telah digunakan oleh orang lain, menyebabkan saya kehilangan undi hari ini," kata pesara itu, menggesa polis untuk menyiasat perkara itu.


Calon PH dakwa pegawai SPR lambatkan proses undi

2.45 petang: Sungai Buloh, Shah Alam - Calon PH R Ramanan mendakwa pegawai SPR sengaja melambatkan proses pengundian menyebabkan barisan panjang di pusat mengundi di kawasan Parlimen itu.

"Saya diberitahu (oleh pengundi dan ejen kira undi) yang pegawai SPR bukan setakat baca nombor kad pengenalan dengan kuat, tapi eja nama (pengundi) huruf demi huruf," katanya di pusat mengundi SMK Seksyen 8 di Kota Damansara.

Dia mendakwa barisan itu turut melibatkan warga emas yang telah berdiri lama dan risau untuk pergi ke tandas kerana tidak ingin kembali ke bahagian belakang barisan.

Ketika Ramanan bercakap dengan pemberita, ada pengundi yang mendekatinya untuk memaklumkan ada pengundi yang berputus asa dan pulang ke rumah.

Sementara itu, seorang polis bantuan datang untuk memberitahu Ramanan dia tidak boleh membuat sidang media di pusat mengundi.

"Rakyat kena tahu!" balasnya.


50 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari

2.13 petang: Petaling Jaya, Selangor - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 50 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah membuang undi setakat jam satu tengah hari.

Jumlah keluar mengundi pada pilihan raya umum 2018 ialah 82 peratus, manakala 84 peratus pada 2013.

Hari ini menandakan pilihan raya umum pertama sejak umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik diperkenalkan.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan peratusan mengundi PRU15 hari ini akan tinggi.


Calon PH Bangi Syahredzan lawat pusat undi

2.05 petang: Bangi, Selangor - Calon Pakatan Harapan Bangi Syahredzan Johan meluangkan masa melawat pusat pengundian kawasan parlimen di SK Seri Sekamat petang ini.

Setelah membuang undi lebih awal di sebuah pusat mengundi di kawasan parlimen Petaling Jaya, calon PH itu dilihat berada di SK Seri Sekamat untuk memerhatikan pengundian sedang berlangsung di Bangi.


Netizen persoal Abdul Hadi pakai jaket logo PAS di pusat undi

1.53 tengah hari, Marang, Terengganu: Netizen menyoal bagaimana Presiden PAS Abdul Hadi Awang terlepas mengundi sambil memakai vest (anak baju) berhias logo parti itu di dalam pusat mengundi.

Ini selepas beredar gambar penyandang kerusi parlimen Marang itu membuang undi dengan memakai jaket hijau berlogo PAS di bahagian dada kiri, di SK Rusila di Marang, Terengganu, pagi tadi.

Netizen juga menyuarakan sikap pilih kasih Suruhanjaya Pilihan Raya selepas petugas SPR dilihat berdiri dan tersenyum di sebelah Abdul Hadi.

SPR melarang pengundi, calon dan pekerja parti daripada memakai apa-apa sahaja yang mengandungi nama, logo, simbol atau gambar parti, atau gambar calon, di dalam pusat mengundi. Ini termasuk baju, topi, dan juga pelitup muka.

Mereka yang didapati melanggar peraturan boleh dihentikan daripada memasuki pusat mengundi.


42 peratus keluar mengundi setakat tengah hari

1.20 tengah hari: Petaling Jaya, Selangor - Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 42 peratus pengundi yang layak di seluruh Malaysia telah membuang undi setakat 11 pagi.

Jumlah keluar mengundi pada pilihan raya umum 2018 ialah 82 peratus, manakala 84 peratus pada 2013.

Hari ini menandakan pilihan raya umum pertama sejak umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik diperkenalkan.


Tarikh baru pilihan raya DUN Tioman pada 7 Dis

12.57 tengah hari - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang yang tidak berlangsung hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi tadi, akan diadakan pada 7 Dis ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 24 Nov, manakala hari mengundi awal pada 3 Dis.

“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 Nov hingga pukul 11.59 malam, 6 Dis,” katanya.

Ini bermakna, PRU15 bagi DUN Tioman diadakan serentak dengan Parlimen Padang Serai susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) M Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu, pada Rabu lepas.

Dalam pada itu, Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah berkata calon baru gabunga tersebut di kerusi itu nanti akan tetap dipilih daripada parti PAS.


Pengundi Baram redah banjir

12.33 tengah hari, Baram, Sarawak - Sekumpulan pengundi hadir mengundi walaupun terpaksa beratur dalam banjir.

Gambar yang dikongsi penduduk kampung menunjukkan sekurang-kurangnya dua kampung - iaitu Long Bemang dan Long Panai di Baram digenangi air.

Bagaimanapun, penduduk kampung masih lagi berbaris dengan sabar untuk membuang undi.

“Selamat mengundi kepada kami semua walaupun terpaksa mengharungi air banjir seperti kami di Long Panai,” kata salah satu mesej WhatsApp yang dikongsi oleh seorang penduduk kampung.

PKR tewas tipis di Baram dua kali pada 2013 dan 2018.


31 peratus keluar mengundi setakat 11 pagi - SPR

12.30 tengah hari: SPR memaklumkan sebanyak 31 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka, setakat jam 11 pagi.

Untuk rekod, peratus keluar mengundi pada PRU 2018 adalah 82 peratus, manakala PRU 2013 adalah 84 peratus.

Bagaimanapun, pada PRU kali ini, jumlah pengundi telah meningkat secara signifikan selepas penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran automatik.


Undian lancar di SJKC Yeong Seng, Bagan Datuk

12.30pm: Hutan Melintang, Bagan Datuk - Berbeza dengan tempoh menunggu lama untuk mengundi di kawasan bandar, pegawai pilihan raya di SJKC Yeong Seng pula yang menunggu pengundi.

Ini kerana pusat pengundian di sini hanya memberi perkhidmatan kepada 117 pengundi, dan dengan itu hanya mempunyai satu saluran dan satu bilik mengundi.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, kadar keluar mengundi sudah mencapai 50 peratus iaitu kira-kira 60 orang.

Menurut salah seorang pegawai, pengundi paling tua di sini berumur 94 tahun dan yang paling muda berumur 20 tahun.


Berang pengalaman banjir, anak muda tekad keluar undi

12:30 tengah hari: Shah Alam, Selangor - Lapan rakan futsal yang juga pengundi kali pertama berang dengan sambutan buruk banjir di Taman Sri Muda Shah Alam, Disember lalu, tidak mahu melepaskan peluang mengundi untuk perubahan.

Antaranya ialah Vishallan Thabonithi, 22, pelajar di UOW KDU yang mengimbas kembali bagaimana dua guru bekas kolejnya dan tujuh lagi rakannya terkandas selama dua hari ketika bencana itu.

Terkejut dan marah apabila mendapati rakan mereka menggeletar di atas bumbung, kumpulan itu mengumpul wang untuk rakan mereka yang terjejas dan membentuk kumpulan yang mengerahkan diri mereka dalam pembersihan pasca banjir.

Anak-anak muda berusia antara 19 tahun dan 26 tahun itu telah mengenali antara satu sama lain sejak 20 tahun lalu kerana mereka berasal dari kawasan kejiranan yang sama di Seksyen 7 dan merupakan bekas rakan sekolah SMK Seksyen 7.

Kumpulan itu berkata mereka teruja untuk mengundi dan sangat jelas tentang pilihan calon mereka.


Jentera calon-calon di Batu rayu undi

12 tengahari: SK Sri Delima, Batu - Gerai parti dan calon bebas boleh dilihat di luar pusat mengundi.

Seorang penyokong PN dilihat merayu undi daripada orang yang lalu lalang sambil berkata: "Selamat pagi, tolong sokong calon nombor tujuh."

Sementara itu, penyokong PH pula dilihat menghulurkan topeng N95 kepada pengundi manakala pekerja parti Warisan pula menyediakan sajian manisan di gerainya untuk pengundi.


Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya, tidak dibenarkan untuk merayu undi dalam lingkungan 50m dari pusat mengundi.


'Kalau ada pengundi rebah, SPR tanggung dosa' - Fahmi

11.55 pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Sejak pagi hari, lautan pengundi - antaranya warga emas - beratur dengan payung di sampingnya. Kebanyakan mereka telah menunggu di bawah terik matahari sejak jam 8 pagi untuk membuang undi di padang bola sepak PPR Kerinchi.

Tiada sebarang persiapan seperti kerusi, botol air mineral atau khemah disediakan kepada orang ramai yang gelisah berdiri antara jarak merentangi dari satu hujung flat PPR ke hujung yang lain, ketika mereka menunggu untuk memasuki pusat mengundi.

Apabila melihat penyelia pusat mengundi, orang ramai kelihatan merungut mengadu kepada penyelia sambil menjerit "mengarutlah."

Penyandang kerusi parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang hadir di lapangan juga meluahkan kemarahannya terhadap situasi itu, menyeru SPR untuk bertindak.

“Mereka sepatutnya pasang khemah, sediakan tempat untuk orang ramai duduk. Mereka tak ada lorong yang betul!”

Hanya dua pintu masuk dibuka di mana garisan berlanggar antara satu sama lain dan tiada kawalan orang ramai oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Juga tiada laluan khusus untuk warga emas dari awal pagi hingga 11.30 pagi.

“Polis bertanya kepada saya sama ada saya mempunyai kerusi. Saya tidak boleh selesaikan masalah ini, ini masalah SPR. Di mana SPR?

“Pengerusi SPR, ini terpulang kepada anda. Kalau ada yang rebah hari ini di padang bola PPR Kerinchi, awak yang tanggung dosa,” kata Fahmi.

Jelasnya, sebelum ini dia telah membangkitkan kebimbangan kepada SPR mengenai isu-isu yang mungkin timbul ketika pengundian sebagaimana yang dihadapi di pusat mengundi hari ini.


Warga emas pesakit Covid-19 sanggup berpanas demi undi

11.50 pagi: Gombak, Selangor - Seorang lelaki warga emas sanggup beratur di bawah panas terik untuk pergi ke Dewan Beringin di Taman Seri Gombak untuk membuang undi walaupun tidak sihat dan disahkan positif Covid-19 pagi ini.

Abdul Manaf Abas, 76, memberitahu Malaysiakini bahawa dia mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai warganegara dan tidak pernah terlepas mengundi dalam pilihan raya.

"Adalah menjadi tugas kita untuk mengundi. Jadi, saya mesti datang," katanya.

Menurut pesara itu, dia mula tidak sihat semalam, sebelum cucunya membantunya melakukan ujian kendiri Covid-19 pagi tadi.


Golongan OKU kongsi cabaran untuk mengundi

11.50 pagi: Batu, Kuala Lumpur - Saraswathy Velaiyya, 40, yang mempunyai masalah penglihatan tetap membuang undi di SK Sri Delima hari ini.

Tinggal di Pudu, dia memberitahu Malaysiakini dia ke pusat mengundi itu dengan menaiki teksi memandangkan kurangnya akses pada pengangkutan awam.

Dia juga berkata berdepan kesukaran untuk mencari pintu masuk selepas keluar dari teksi, di luar sekolah.

Mujurlah abangnya dapat menemuinya dan kemudian membantu membawanya masuk.

"Saya sedikit risau selepas tiba, tetapi ada orang yang akan bantu kita," katanya.

Seorang pegawai SPR memberitahu Malaysiakini bahawa golongan OKU tidak perlu menunggu dan akan dibawa ke laluan khas untuk mengundi.sa


Khairy harap ‘permulaan baru’ di Sungai Buloh

11.35 pagi: Rembau Negeri Sembilan - Khairy Jamaluddin mengharapkan "permulaan baru" untuknya di Sungai Buloh.

Dalam ciapan di Twitter, dia berkata baru sahaja selesai mengundi Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan di SMA Hj Mohd Yatim.

"Berasa nostalgik kembali ke sini tetapi harapnya sebuah permulaan baru di Sungai Buloh hari ini," katanya.


Pegawai SPR bantu warga emas mengundi di Bangi

11.30 pagi: Bangi, Selangor - Seorang warga emas hari antara pengundi Bangi yang menempuhi cuaca panas untuk mengundi di SK Seri Sekamat.

Seorang ahli keluarga dilihat membantunya keluar dari kereta dan duduk di sebuah kerusi roda.

Seorang pegawai SPR kemudian datang untuk membawanya masuk ke sekolah.


Wanita hanya bawa salinan IC, tak dibenarkan mengundi

11.25 pagi: Hutan Melintang, Bagan Datuk - Seorang pengundi dilarang masuk ke pusat mengundi SJKC Pooi Seng kerana membawa salinan kad pengenalan, bukannya kad asal.

Menurut penyelia pusat mengundi A Anita, pengundi itu datang ke situ pada jam 10.30 pagi tadi.

"Wanita 40-an ini beritahu kami dia ingat bawa salinan kad pengenalan sudah memadai.

"Bila ditanya tentang kad asal, dia kata tertinggal di rumah di Ipoh. Kami tak boleh benarkan dia mengundi kecuali dia bawa kad asal," katanya.

Perjalanan dari Hutan Melintang ke Ipoh mengambil masa kira-kira dua jam.

A Anita

Anwar yakin peratus mengundi tinggi

11.20 pagi: Manjoi, Perak - Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan peratus keluar mengundi akan tinggi pada PRU15, di sebalik kebimbangan terhadap cuaca yang tidak menentu.

Ketika berkunjung ke pusat mengundi SK Manjoi Dua, dia berkata peratusan sembilan peratus setakat sembilan pagi adalah tanda postif.

Dia akan terus membuat kunjungan ke pusat mengundi di kawasan Parlimen Tambun sehingga jam tiga petang, sebelum bergerak ke Kuala Lumpur untuk menunggu pengumuman keputusan.


Penyokong BN bawa pengundi naik kereta bugi

10.50 pagi: Shah Alam, Selangor - Penyokong BN menggunakan kereta bugi untuk membawa pengundi yang tak dapat mencari tempat letak kereta yang dekat dengan pusat mengundi Dewan Melur Seksyen 7.

Pemandu yang memakai baju BN membawa mereka sehinggalah ke sempadan yang ditetapkan SPR, di mana sepanduk dan pakaian yang memaparkan logo parti dilarang masuk.


Warga emas mengeluh terpaksa tunggu lama

10.45 pagi: Pandan, Selangor: Sesetengah warga emas yang beratur panjang di luar pintu utama Sekolah Kebangsaan Pandan Jaya meluahkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menunggu lama sebelum dibenarkan masuk.

Salah seorangnya adalah Ramu Naidu Narunan, 65, yang telah beratur lebih satu jam.

“Saya tak sempat nak datang awal sebab dari Puchong. Di tempat lain warga emas cepat saja dapat masuk. Kaunter kat sini bergerak perlahan,” katanya.

Ramu Naidu Narunan

Seorang lagi pengundi, Sarah Md Tahar, 63, juga menyuarakan rasa kecewa dan menyifatkan proses sangat perlahan berbanding pusat mengundi lain yang berdekatan.

“Memang patutnya dalam laman SPR kata warga emas patut datang jam dua hingga empat petang, tapi saya datang awal sebab ada tugasan,” katanya yang menunggu hampir satu jam.

Difahamkan, saluran mengundi 1 - untuk warga emas - agak penuh, menyebabkan ramai dalam kalangan mereka terpaksa beratur lama di luar.


10.30am: Pandan Jaya, Selangor - Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pandan Jaya, pengundi dari pelbagai kaum dan peringkat usia telah beratur panjang di kedua-dua barisan di depan pintu utama sekolah seawal jam tujuh pagi.

Setakat ini, terdapat barisan sepanjang 300 meter dari pintu masuk utama.

Keadaan di sekeliling perkarangan sekolah itu juga agak sesak dan dipenuhi dengan kereta yang lalu-lalang.


Ratusan beratur walau hujan di Taman Sri Gombak

10.30 pagi: Gombak, Selangor: Ratusan pengundi dilihat beratur di luar SK Taman Seri Gombak di tengah hujan renyai-renyai.

Ada yang menggunakan payung, ada juga yang dilihat tidak kisah dengan hal itu.


Elektrik terputus di pusat mengundi di Lembah Pantai

10.05 pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Pemerhati pilihan raya dan pengamal media berdepan masalah untuk masuk ke pusat mengundi SJKT Saraswathy di sini.

"Pusat mengundi tiada elektrik tadi. Kami pemerhati yang dilantik SPR untuk siasat.

"Saya sudah ke banyak pusat mengundi dan boleh masuk begitu sahaja tapi di sini saya tak dibenarkan masuk," kata arkitek landskap Ng Sek San, merujuk kepada pegawai polis yang ditempatkan di pintu pagar sekolah.

Ia selepas masalah bekalan elektrik dilaporkan berlaku di situ pagi tadi, menyebabkan ramai yang sudah tiba tidak dapat mengundi.

Difahamkan TNB tiba kemudian dan elektrik kembali pulih kira-kira jam 9.30 pagi. Kini pusat mengundi itu berdepan masalah kesesakan.

Pemerhati dan pengamal media juga telah dibenarkan masuk.


10 pagi: SPR memaklumkan sebanyak 20 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka, setakat jam 10 pagi.

Sejam sebelumnya, iaitu jam sembilan pagi, peratus keluar mengundi adalah sembilan peratus.


Mengundi dalam gelap

10 pagi: Kepong – Pusat mengundi SJKC Kepong berdepan masalah tiada bekalan elektrik selama kira-kira sejam.

Ketika dihubungi, calon PH di situ, Lim Lip Eng berkata ramai pengundi warga emas merungut kepadanya selepas mereka perlu mengundi dalam gelap.

Katanya, dia kemudian meminta juruteknik menggantikan penjana di situ.

Dia difahamkan masalah berpunca daripada penjana asal yang telah digunakan sepanjang malam, katanya lagi.


Cuaca baik di Kota Raja

10 pagi: Kota Raja, Selangor - Hujan sudah berhenti di sini, dengan barisan pengundi sepanjang satu kilometer, yang telah menunggu sejak lapan pagi tadi.

SJKT Taman Sentosa yang dibuka dua tahun lalu, kali pertama menjadi pusat mengundi.

Di barisan tersebut, kelihatan ramai pengundi muda dari pelbagai kaum yang dipercayai merupakan pengundi kali pertama.


Barisan panjang di SMK Saujana Utama

9.50 pagi: Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh – Barisan sepanjang satu kilometer di pusat mengundi SMK Saujana Utama.

Seorang pegawai SPR berkata sejumlah 13,983 pengundi akan mengundi di 20 saluran yang disediakan di situ.

Sementara itu, tujuh pengundi yang positif Covid-19 turut mengundi setakat 9.40 pagi, menurut doktor yang ditempatkan untuk membantu mereka.


Zuraida lihat 'petanda baik'

9.38 pagi: Ampang, Selangor - Penyandang kerusi Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin selesai mengundi di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

Bercakap kepada pemberita, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu menjangkakan peratusan keluar mengundi akan meningkat berbanding jangkaan yang dibuat sebelum ini untuk PRU15.

“Saya melihat petanda baik... Saya keluar 7.30 pagi dan lihat anak-anak muda dah keluar.

“Saya rasa turnout kat Ampang ini akan tinggi. Kita jangkakan 68 peratus tapi boleh tinggi sehingga 75 peratus.

"Saya harap pengundi lihat khidmat saya di sini selama 15 tahun," katanya yang jelas teruja dengan jumlah anak muda yang telah keluar mengundi setakat ini.

Dia juga sempat berbual dengan pengundi yang sedang beratur.

Di sini, barisan panjang telah mula dilihat seawal jam tujuh pagi, terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan muda.


Azli: Undi 18 boleh jadi faktor penentu

9.30 pagi: Shah Alam - Calon PH bagi kerusi Parlimen Shah Alam Azli Yusuf berpandangan Undi 18 akan memainkan peranan besar dalam PRU15.

Menurut Azli, pengundi kali pertama dapat menjadi faktor penentu dan berharap mereka akan keluar mengundi hari ini.

"Saya harap mereka akan keluar mengundi dan membuat pilihan tepat demi negara ini," katanya.

Azli merupakan pengundi di kawasan Parlimen Shah Alam dan ini kali pertama dia bertanding.

"Agak janggal kali ini sebab saya mengundi diri sendiri," katanya sambil tersenyum.


9.20 pagi: Gombak, Selangor - Penyandang kerusi Parlimen Gombak Azmin Ali yakin dia akan dapat mengekalkan kemenangannya.

Bercakap dengan pemberita selepas membuang undi di SK Klang Gate, Azmin berkata ia berdasarkan segala khidmat yang telah diberikannya kepada penduduk di situ.

"Keputusan adalah keputusan rakyat.

"Saya yakin berdasarkan usaha sedaya upaya saya di Gombak. Insya-Allah rakyat akan terus bersama saya untuk bangunkan Gombak," katanya.


9.39 pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Di pusat mengundi SMK Bukit Bandaraya, pekerja FoodPanda dilihat mengagihkan beg kepada para pengundi.

Beg tersebut diisi dengan air botol, tisu basah dan kipas tangan.

"Ia untuk beri penghargaan kepada orang yang keluar mengundi," kata seorang pekerja, yang menjelaskan FoodPanda menempatkan pekerjanya di beberapa kawasan Parlimen, seperti Lembah Pantai, Subang dan Bandar Tun Razak.

Setiap sekolah disediakan 500 beg untuk diagihkan dan setakat ini, pekerja tersebut berkata dia telah mengagihkan 250 bag kepada pengundi.


9.15am: Sungai Buloh, Selangor - Dua daripada pengundi kali pertama selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di Sek Men Keb Saujana Utama.

Muhammad Razin Al-Hakimi Abdullah (kiri) dan Mohd Syamil Azhar juga merupakan bekas pelajar pendidikan khas di sekolah tersebut.


Zahid yakin BN dapat tubuh kerajaan

9.15am - Bagan Datuk, Perak: Penerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dia yakin BN akan mendapat mandat untuk menubuhkan kerajaan baru, berdasarkan laporan yang diterimanya pada 12 tengah malam tadi.

"Setolah ditolak jangkaan casualties (pengundi yang tidak keluar atas pelbagai sebab) sebanyak 20 peratus, insya-Allah BN masih mendahului gabungan lain.

"Kami akan dapat bekerjasama dengan gabungan lain untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan baru," katanya.

Dia berkata BN telah melancarkan kempen keluar mengundi seawal jam tujuh pagi ini, dengan menggerakkan 230,000 jentera BN bagi membawa pengundi ke pusat daerah mengundi masing-masing.


Kertas undi sangat panjang, kata Prabakaran

9 pagi: Batu, Kuala Lumpur: Calon PH bagi Parlimen Batu P Prabakaran berkata walaupun kertas undi untuk kerusi itu "sangat panjang", pilihannya adalah mudah.

Dia dilihat bertegur sapa dengan para pengundi dan berpesan kepada mereka untuk "mengundi untuk negara".

Apabila seorang pengundi berseloroh dengan bertanya siapakah yang akan diundinya, Prabakaran tersenyum dan berkata "undi itu rahsia".

Prabakaran yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu dicabar sembilan calon lain, termasuk bekas ahli parlimennya, Tian Chua yang bertanding bebas.


SPR tegur sidang media ‘spontan’ Fahmi

8.55pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Ditemui pemberita di Sek Men Seri Pantai, penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai membangkitkan masalah di pusat mengundi lain di kawasan Parlimen itu.

Ia termasuk SMK Bukit Bandaraya yang dikatakan masih belum memulakan proses pengundian setakat jam 8.15 pagi. Ada juga laporan berkenaan barisan panjang di padang PPR Kerinchi.

Fahmi dijangka berkunjung ke pusat mengundi lain selepas ini.

Seorang pegawai SPR memberi teguran terhadap sidang media spontan itu, dan menegaskan ia tidak boleh dilakukan di pusat mengundi.


'Dulu pilih calon lebih mudah'

8:50 pagi: Shah Alam, Selangor - Seorang pengundi warga emas berkata soal memutuskan soal memutuskan calon tidak semudah dahulu.

Mohd Som Bidin, 85, berkata ketika dia mula mengundi, dia kenal dengan calon dan latar belakang mereka.

"Saya boleh cam mereka. Tahun ini, ada begitu ramai muka baru dan saya tak kenal mereka siapa.

"Tapi saya tak bincang pilihan saya dengan anak-anak. Saya buat keputusan sendiri," kata Som, yang tinggal di Padang Jawa dan mengundi di Dewan Melur Seksyen 7 bersama anak perempuannya.

Som juga berkata dia akan terus mengundi selagi terdaya melakukannya.


Google Doodle papar peti undi, Jalur Gemilang

8.45 pagi: Ilustrasi peti undi dengan bendera Malaysia menghiasi laman utama enjin carian Google Malaysia, sempena PRU15 hari ini.

Pengunjung laman google.com.my akan melihat ilustrasi itu di tengah-tengah logo Google dan penjelasan ringkas akan terpapar jika anda klik pada peti undi tersebut.


8.37 pagi: Lembah Pantai, Kuala Lumpur - Calon PH Fahmi Fadzil selesai mengundi Sekolah Menengah Seri Pantai.

Dia yang berkemeja putih memberitahu Malaysiakini keterujaannya untuk mengundi pada PRU ini.

Selepas membuang undi di Saluran 7, Fahmi yang tersenyum lebar menunjukkan jarinya yang berdakwat kekal kepada pemberita.


Ramai keluar awal walau hujan

8.13 pagi: Petaling Jaya Selangor - Hujan renyai-renyai tidak menghalang para pengundi Petaling Jaya untuk tiba awal di pusat mengundi SMK Sultan Abdul Samad.

Barisan panjang dilihat di luar sekolah sebelum pusat mengundi dibuka pada jam lapan lagi.


Zahid selesai mengundi

8.10 pagi: Bagan Datuk, Perak - Pengerusi BN Perak, Ahmad Zahid Hamidi tiba di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat bersama-sama isterinya, Hamidah Khamis dan anak mereka, Nurul Hidayah.

Pusat mengundi itu terletak hanya bersebelahan dengan rumahnya.

Berpakaian warna biru BN, Zahid yang membuang undi di Saluran 1 kelihatan bersemangat dan ceria.

Dia telah menjadi ahli parlimen Bagan Datuk sejak 1995.


Peja tetap yakin mampu buat kejutan

8.10 pagi: Tambun, Perak – Ahmad Faizal Azumu tiba di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Ihtidiyah untuk mengundi.

Tiba kira-kira jam 7.55 pagi, penyadang kerusi Parlimen Tambun itu sempat bertegur sapa dengan mereka yang turut beratur.

Dia ditemani isterinya, Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

"Sejujurnya, selepas dua minggu berkempen, saya percaya ada gelombang sokongan terhadap PN di seluruh negara. Kami yakin boleh buat kejutan hari ini," katanya kepada pemberita selepas selesai membuang undi.

Dia juga menyucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Md Yunus Ramli, calon PN bagi DUN Tioman, yang meninggal dunia awal pagi tadi.


Calon PH Shah Alam tiba awal

8 pagi: Shah Alam, Selangor - Calon PH bagi Parlimen Shah Alam Azli Yusof tiba awaldi pusat mengundi dan dilihat bersama-sama isterinya beratur di luar Dewan Melur Seksyen 7.

Azli berkata dia berasa teruja melihat begitu ramai pengundi yang sudah mula beratur walaupun hujan renyai-renyai.

Sekurang-kurangnya 50 orang dilihat beratur sebelum pusat mengundi dibuka.

Azli juga percaya dia dapat mengekalkan kemenangan PH di Shah Alam.


SPR: Tak perlu guna pembersih tangan sebelum undi

8 pagi: SPR dalam kenyataan ringkas menjelaskan pihaknya tidak pernah mewajibkan pengundi menggunakan pembersih tangan sebelum mengundi.

SPR juga berkata tiada kod pakaian yang ditetapkan di pusat mengundi, kecuali larangan memakai pakaian yang menunjukkan logo atau slogan parti.

Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di sini.


Calon PN DUN Tioman meninggal dunia

7.45 pagi: Calon PN bagi kerusi DUN Tioman Md Yunus Ramli disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi tadi.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Zamree Hamli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, Md Yunus dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan Hospital Rompin, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Zamree berkata, susulan itu, pengundian bagi kerusi berkenaan ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.


Rakyat Malaysia memilih hari ini

7.30 pagi: Hari ini rakyat Malaysia akan membuat pilihan mereka.

Pusat mengundi akan dibuka pada jam lapan pagi (7.30 pagi di Sabah dan Sarawak) dan kira-kira 20.9 juta pengundi akan membuang undi mereka di kawasan Parlimen masing-masing.

Mereka akan memilih antara 945 calon di 221 kerusi Parlimen. Selain itu, pengundi di Perak, Pahang dan Perlis, serta Bugaya di Sabah juga akan memilih antara 441 calon di 177 kerusi DUN.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen di Malaysia, namun pengundian di Padang Serai perlu ditangguh susulan kematian calon PH M Karupaiya pada Rabu lalu.

PRU15 dilihat sebagai pertembungan antara tiga gabungan utama - BN, PN dan PH.

Kempen yang bermula pada 5 November berjalan perlahan pada peringkat awal sebelum menjadi semakin panas apabila masuk minggu kedua.

PH yang sentiasa menarik jumlah hadirin besar di ceramahnya menjadikan isu antirasuah sebagai antara kempen utama, sementara PN pula menyasarkan sokongan Melayu dan di saat-saat akhir mengundang kritikan apabila membangkitkan dakwaan "agenda Yahudi dan Kristian".

Kempen BN pula tidak sehangat PH dan PN dengan ketuanya, Ahmad Zahid Hamidi lebih banyak berada di kawasannya, Bagan Datuk.

Pusat mengundi akan ditutup pada jam enam petang (5.30 petang di Sabah dan Sarawak). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan keputusan rasmi pertama seawal jam sembilan malam. Namun keputusan tidak rasmi biasanya diketahui lebih awal.

Pada PRU 2018, sejumlah 12.2 juta daripada 14.9 pengundi berdaftar, atau 82.32 peratus, membuang undi mereka.

Terdapat peningkatan signifikan jumlah pengundi kali ini, iaitu seramai 5.8 juta orang, berikutan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun serta pelaksanaan pendaftaran automatik.

Peratusan keluar mengundi memainkan peranan penting dalam keputusan PRU. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dan ribut petir di pelbagai lokasi hari ini.

Anda boleh semak lokasi pusat mengundi anda di sini. SPR juga menyertakan masa mengundi yang digalakkan bagi mengelakkan kesesakan.

[Berita lanjut menyusul]