Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Gelombang Biru: Tumpuan di kerusi panas - Bahagian 3

PRU15 | Malaysia telah melalui evolusi menjadi antara pilihan raya paling kompetitif dalam sejarah. Tiga gabungan utama akan berusaha sedaya upaya untuk menang. Ini termasuk bekas perdana menteri yang digulingkan Muhyiddin Yassin yang cuba menjaja ucapan kebencian untuk mencetuskan perpecahan kaum.

Kempen berkenaan tidak menangani dasar-dasar dalam pelbagai manifesto yang dikemukakan, tetapi banyak tertumpu kepada personaliti dan pembingkaian berbeza pada masa lalu dan masa kini.

Namun begitu, kempen tersebut menjadi lebih dinamik, dengan nasib politik setiap pakatan telah berubah dan kekal berubah, walaupun dalam beberapa jam terakhir sebelum hari mengundi.

Di penghujung siri 'Gelombang Biru' bahagian ketiga ini - (maaf) tertangguh kerana kerja di lapangan – Saya membentangkan beberapa kawasan panas berbeza dalam PRU15 dan mengapa ia begitu.

Umno/BN: Dari pelindung menjadi melindungi

Pemimpin-pemimpin Umno terpaksa berlindung di kubu mereka. Dalam dua hari lalu, wang ditaburkan dan mula mengalir, dan jentera juga mula digerakkan.

Kemarahan di kalangan akar umbi parti yang setia berhubung salah urus pemilihan oleh presiden parti Zahid Hamidi amat ketara, tidak seperti sebelum ini perpecahan disebabkan oleh pemilihan calon yang lemah.

Walaupun semangat berkempen kurang membara, penyokong setia berharap jenama parti mampu menjual dirinya sendiri.

Bagi calon-calon Umno, kebanyakan mereka mengaut keuntungan daripada memegang jawatan politik, ini adalah pertandingan hidup mati. Kempen nasional BN secara relatif agak tenang, seolah-olah setiap kali presiden parti berucap, gabungan itu telah kehilangan sokongan.

Namun begitu, Umno tidak boleh dipandang remeh. Perjuangannya masih kuat.

Beberapa pemimpinnya yang dilihat lebih berkebolehan dan dihormati dijangka akan memenangi kerusi mereka: Mohamad Hassan di Rembau dan Hasni Mohammad di Simpang Renggam.

Namun, di sesetengah kerusi Umno dilihat berdepan cabaran dua kali ganda.

Ini termasuk mereka yang bersama geng Zahid, antaranya Jamal Yunus di Sungai Besar, Maslin Sahm Razman di Kuala Kangsar, Ahmad Maslan di Pontian dan Ab Hamid Mohd Nazahar di Kuantan.

Mereka dilihat lebih diutamakan, mendapat sokongan dalam kempen parti, dan sebahagian daripada usaha Zahid untuk meletakkan 'orangnya' di kedudukan sewajarnya agar dia mendapatkan kawalan ke atas parti.

Kerusi kumpulan kedua ialah kerusi yang Perikatan Nasional berjaya mengurangkan sokongan tradisional Umno/BN di kalangan masyarakat Melayu dan mendapat lebih banyak sokongan belia.

Seperti rakyat Malaysia sering dengar mengenai sumbangan Muhyiddin Yassin menerusi Majlis Pemulihan Negara di radio atau melalui banyak lagi iklan gabungan itu yang mempunyai wang untuk dibayar, terdapat kekeliruan di akar umbi tentang siapa PN dan apakah itu PN.

PN bukan Umno, ada yang menggambarkannya sebagai lebih bersih dan kerajaan yang prihatin, serta pelindung yang lebih baik.

Kerusi yang perlu diperhatikan adalah kerusi PN yang memberi kesan kepada Umno termasuk (sekali lagi bukan eksklusif): kerusi Muhyiddin di Pagoh (yang sebenarnya mungkin dimenangi oleh Umno selepas retorik perpecahan anti-bukan Melayu dalam kempen), Bukit Gantang di Perak, Masjid Tanah di Melaka dan Hulu Terengganu.

Satu lagi penghujung buat BN?

Parti-parti komponen dalam BN, MCA dan MIC, juga menghadapi cabaran. Kemungkinan besar adalah Presiden MIC, SA Vigneswaran akan tewas di Sungai Siput di Perak, walaupun di sebalik keyakinan MIC.

Segamat di Johor adalah satu lagi kerusi yang parti itu berdepan pergaduhan sengit, dengan bendahari Ramasamy Muthusamy yang bertanding.

Kempen mereka adalah sama seperti Umno, dengan menggerakkan jentera dengan wang dan membawa keluar pengundi (India) ke pusat mengundi.

Ketika MIC bergelut, MCA juga tidak mampu untuk senyum, 'abang besar' Umno kali ini membiarkan mereka berkempen sendiri. Banyak perniagaan Cina terus menyokong BN, dan MCA telah memanfaatkan perkara ini, namun persoalannya secara pragmatik mampukah mereka mewakili masyarakat Cina.

Memandangkan bintang Umno makin malap, begitu juga dengan nasib MCA, kerana ia tidak boleh lagi dengan yakin mempromosi dirinya sebagai memberi orang Cina kerusi dalam kerajaan negara.

Kerusi di mana MCA menghadapi cabaran ini antaranya, termasuk di kerusi tradisionalnya di Tanjong Malim, Perak dan Ayer Hitam dan Tanjong Piai di Johor.

Serangan makan diri buat PN?

Kecenderungan PN untuk menyerang retorik perkauman dilihat oleh kebanyakan rakyat Malaysia sebagai satu kecelaan dan memecahbelahkan negara. Ini mungkin memberi kesan kepada sekutunya, GRS di Sabah.

Serangan terhadap masyarakat Kristian tidak boleh diterima buat pengundi di Tuaran, Beluran atau Ranau, tempat sekutu Muhyiddin bertanding. Hanya kerusi timur laut Beluran difahamkan sangat kompetitif, kerana perpecahan antara GRS dan Umno di sana, tetapi retorik itu tidak diterima dengan baik di negeri majoriti Kristian ini.

Lebih ramai rakyat Sabah mula sedar betapa rapatnya GRS dengan PAS dan peranan dominan parti Islam itu dalam gabungan berkenaan, walaupun pilihan raya ini tetap berpusat pada personaliti.

Sekalipun usaha PN untuk memenangi sokongan bukan Melayu mungkin berdepan masalah di kawasan kerusi berbilang bangsa, strategi berasaskan nasionalisme ultra-Melayu ini kekal kukuh di kerusi yang majoritinya adalah orang Melayu.

Kerusi seperti Larut di Perak atau Temerloh di Pahang adalah kerusi kompetitif di mana PN bertaruh atas retorik yang memecahbelahkan Umno.

Retorik ini dilihat membangkitkan emosi ketakutan. Seperti dalam kempen Sabah 2020, pada PRU15 kali ini, gabungan itu berkesan dalam mengambil alih simbol dan mesej Umno untuk kepentingannya sendiri.

Ia mungkin tidak akan dapat menyelamatkan Azmin Ali di Gombak, tetapi ia mungkin (atau mungkin tidak) menyelamatkan kuasa sebenar dalam Bersatu, Hamzah Zainudin yang bertanding di Larut.

Harapan terakhir PH?

Kebangkitan semula harapan untuk PH akhir-akhir ini mula mendapat momentum.

Profesor dan NGO Melayu tampil menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan datang. Namun Pakatan Harapan tidak harus yakin bahawa mereka mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Mereka perlu untuk meyakinkan yang lain, khususnya di Borneo untuk bekerjasama dengan mereka.

Pakatan Harapan mempunyai dua barisan hadapan yang berbeza. Pertama mereka bertahan, mengekalkan kerusi mereka.

Di Pahang – Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong – ini adalah penting. Ia bukan kebetulan pada detik-detik terakhir Anwar Ibrahim bergerak ke timur. Johor dan Perak juga kekal sengit.

Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kerusi di kedua-dua negeri itu kekal kompetitif.

Satu lagi barisan hadapan ialah di Borneo, yang PH sebelum ini memenangi kerusi di Sibu, Stampin, Sarekei, Miri, Lanang, Mas Gading, Tenom – kini berisiko.

Parti tempatan di Sarawak dan Sabah mula mengasak; Parti Bersatu Sarawak lebih mempromosikan autonomi di kerusi seperti Stampin dan Sibu dan begitu juga Warisan, bertujuan untuk membentuk blok Borneo semacam GPS di Sarawak.

Kerusi seperti Penampang adalah panas, kerana pengundi masih belum membuat keputusan sama ada untuk menyokong Harapan atau Warisan.

Terdapat konflik yang sama, sama ada untuk mengundi parti atau calon di Sungai Buloh ketika pengundi menentukan nasib Khairy Jamaluddin atau daya maju politik Harapan untuk membentuk kerajaan.

Perjuangan Pakatan Harapan juga meluas ke seluruh negara, kerana ia perlu menguasai kerusi Melayu yang sama yang dimenanginya pada 2018 untuk menawan lebih banyak kerusi. Kerusi panas pada dimensi ini termasuk Pokok Sena di Kedah dan Lumut serta Parit Buntar di Perak dan Kuala Selangor, diSelangor.

Terdapat juga keperluan untuk menarik sokongan sebahagian besar pengundi muda yang akan pertama kali mengundi.

Keterlibatan dengan golongan belia ini dipacu oleh Muda di media sosial. Tetapi sebaliknya, Muda diberikan kerusi yang sukar dan menghadapi pertempuran sengit di Tanjong Karang dan juga Muar, dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berdepan cabaran sengit.

Ironinya, PRU15 sedang menguji sama ada gabungan yang memperluaskan undi kepada belia akan mendapat manfaat daripada ini.

Tiada satu pun daripada tiga gabungan itu memberikan banyak tawaran untuk pengundi muda sama ada dalam manifesto, atau dalam kempen mereka.

Perlahan-lahan semakin jelas

Sejak bahagian pertama siri ini diterbitkan dua hari lalu, kami telah melihat tiga dinamik ini –

Umno/BN meningkatkan mod survivalnya, pertukaran sokongan bukan Melayu kepada PN sementara masih mendapat sokongan orang Melayu, terutamanya pengundi Melayu muda dan usaha pecut terakhir oleh PH, bertujuan untuk menjadikan harapan mereka tidak terpadam.

Walaupun dalam beberapa jam terakhir ini, keputusan masih terlalu hampir untuk ditentukan.

Kedua-dua PH dan BN semakin yakin kerusi mereka akan meningkat, masing-masing mencecah 72 dan 41, manakala PN pula mendatar pada 35. Terdapat 17 kerusi masih sengit untuk ditentukan.


BACA BERKAITAN:

ULASAN | Gelombang biru PRU15? - Bahagian 1

ULASAN | Gelombang biru PRU15? Saingan makin sengit - Bahagian 2


Sekali lagi, saya tegaskan, sila undi.

Sila ambil perhatian, jika anda ingin mendengar tentang kerusi dan pertandingan individu, di mana saya menerangkan dengan lebih luas tentang dinamik nasional, lihat siri podcast saya di pautan ini.

[Baca berita penuh]


BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.