Tiada lagi 'pembangunan terpilih' jika PH menang PRU15
Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk melaksanakan pembangunan yang menyeluruh dan berdasarkan keperluan rakyat, sekali gus berbeza daripada corak yang dilaksanakan BN jika memenangi PRU esok, kata Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Menurut timbalan setiausaha agung PKR itu pembangunan tersebut juga tidak berdasarkan kepada kehendak serta keperluan seseorang menteri dan kroni.
Menghadiri forum bersama wartawan India Malaysia semalam, Sathia Prakash berkata semasa Malaysia ditadbir oleh BN, projek dijalankan secara terpilih, menyaksikan hanya kawasan diwakili menteri dan kroni mereka saja dibangunkan.
"Saya mengambil Hulu Selangor sendiri sebagai contoh. Kawasan parlimen ini seluas 1,700km persegi, penduduknya pula lebih 250,000 orang tetapi tidak ada hospital pakar.
"Sebaliknya di Rembau kawasannya lebih kurang 400km persegi sahaja. Penduduk pun jauh lebih rendah berbanding Hulu Selangor, namun sudah pun ada hospital pakar," katanya yang juga calon PH Hulu Selangor.
Sathia Prakash menjelaskan dia tidak ada masalah untuk Rembau memiliki hospital pakar namun mempersoalkan mengapa Hulu Selangor sebaliknya dipinggirkan.
Keadaan itu, katanya, memaksa penduduk Hulu Selangor perlu ke Hospital Selayang untuk sebarang kes kecemasan.
"Ini yang saya katakan tidak adil dan pembangunan terpilih oleh kerajaan BN. Ini perlu dihentikan," katanya.
Kualiti tak memuaskan
Sathia Prakash juga menjelaskan pada masa sama kerajaan PH tidak akan sesekali mencabar hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Katanya sebarang dasar kerajaan PH mesti berlandaskan kepada menjaga hak orang Melayu dan sensitiviti agama Islam.
Terdahulu dia ditanya mengenai dakwaan BN dan PN bahawa PH akan menjadi boneka DAP jika berjaya tubuh kerajaan selepas PRU ke-15 nanti.
Untuk rekod Rembau merupakan kawasan parlimen ditandingi Khairy Jamaluddin sejak 2013 namun kali ini Umno menempatkan semula dia di Sungai Buloh
Langkah itu dibuat bagi membuka ruang untuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bertanding di kerusi Rembau.
Kata Sathia Prakash baru-baru ini Khairy - yang juga menteri kesihatan - berjanji untuk membawa pembangunan secara besar-besaran ke Hospital Sungai Buloh jika menang kerusi berkenaan.
Bagaimanapun menurut Sathia Prakash, sebagai menteri kesihatan Khairy tidak membuat sebarang janji kepada hospital kawasan parlimen lain yang ada dalam keadaan uzur.
"Sektor perubatan ini baru salah satu contoh yang ada. Kita juga boleh nampak 'pembangunan terpilih' ini di semua sektor seperti pendidikan, pusat sosial kepada belia, kebajikan, sumber manusia dan lain-lain," katanya.
Sathia Prakash juga berkata PH juga akan mengawal selia segala proses projek pembangunan terutama membabitkan aspek kewangan bagi mengekang ketirisan.
"Saya terkejut apabila diberitahu oleh beberapa rakan bahawa pada amnya kos pembinaan sebuah bilik darjah untuk sekolah Tamil pada zaman BN adalah antara RM150,000 hingga RM200,000 dan ia tidak termasuk peralatan seperti kerusi dan meja.
"Tetapi di sebalik dana yang besar diperuntukkan bagi pembinaan sekolah Tamil, kualiti pembinaan kurang memuaskan.
"Ini terjadi kerana sebahagian besar dana itu masuk ke poket kroni akibat tidak ada mekanisme semak dan imbang.
"Pemimpin MIC yang kononnya penyelamat sekolah Tamil tidak berani melawan bos mereka iaitu pemimpin Umno," katanya.
Pada PRU kali ini, Sathia Prakash berdepan dengan pertembungan enam penjuru di Hulu Selangor.
Adun Batang Kali dari Pejuang, Harumaini Omar, dan Adun Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha dari Pari Bangsa Malaysia (PBM) adalah antara calon yang mencuba nasib di kerusi yang membabitkan 22 peratus daripada jumlah keluasan Selangor itu.
Bagaimanapun, dijangkakan persaingan sebenar di kerusi yang mempunyai 154,317 pengundi itu adalah di antara PH dan BN.
Sathia yang juga pengerusi PH Hulu Selangor dipilih menggantikan penyandang, June Leow Hsiad Hui. Dia dicabar Naib Presiden MIC, T Mohan, yang bertanding di bawah tiket BN.
Dua calon lain ialah Hasnizan Harun (PN) dan Azlinda Baroni (bebas).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai