Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebuah pusat mengundi di Sepang ditukar akibat banjir

Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukarkan ke lokasi baru di Sekolah Rendah Agama Dengkil, setelah bangunan berkenaan terjejas akibat banjir.

Berdasarkan salinan surat daripada Pegawai Pengurus Pusat Mengundi Parlimen Sepang Abd Hamid Hussain kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, ia menyatakan pusat mengundi tersebut mengalami banjir dan tenggelam sepenuhnya, semalam.

Susulan itu, Abd Hamid menerusi suratnya bertarikh 17 Nov telah memohon pihak Pilihan Raya Negeri Selangor menukar pusat mengundi tersebut ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Shafie Taib pula hari ini telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut untuk tujuan perwartaan semula pusat mengundi berkenaan.

Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon BN Anuar Basiran, PN Rina Mohd Harun, Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (PH), Mohd Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR), R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M Muneswaran (Bebas).

-Bernama