Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mampukah Anwar kekal mendahului?

Anwar Ibrahim memperhebatkan kempennya minggu ini untuk menjadi perdana menteri Malaysia, didorong dengan tinjauan pendapat umum yang meletakkan ketua pembangkang veteran itu di hadapan dalam pertandingan yang sengit.

Pilihan raya umum esok adalah yang paling sengit sejak negara di Asia Tenggara itu merdeka pada 1957, dengan tinjauan pendapat menjangkakan Parlimen akan tergantung dengan tiada parti atau gabungan mendapat majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Gabungan yang diketuai oleh Anwar - yang dalam tempoh 25 tahun bertukar daripada pemimpin negara paling lama berkhidmat menjadi seorang banduan yang disabitkan kesalahan liwat kepada tokoh pembangkang utama negara - dijangka memenangi kerusi terbanyak tetapi gagal mencapai majoriti, menurut tinjauan dan penganalisis.

Pakatan saingannya, termasuk yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaakob dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, boleh bergabung untuk meraih jumlah kerusi yang diperlukan dan menafikan Anwar daripada jawatan tertinggi itu.

Bagi pengundi, isu utama ialah prospek ekonomi, dengan pertumbuhan dijangka perlahan dan inflasi yang meningkat.

Ramai rakyat Malaysia juga kecewa dengan ketidakstabilan politik baru-baru ini yang menurut mereka telah mengalihkan tumpuan ahli politik daripada membangunkan ekonomi.

Gabungan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar diramal memperoleh undi terbesar pada 35 peratus, menurut tinjauan oleh firma penyelidikan British YouGov pada Rabu lalu.

Selain itu, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin pula berada di landasan untuk mendapatkan 20 peratus dan BN pula pada 17 peratus.

Ismail Sabri dan Muhyiddin adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah sebelum parlimen dibubarkan tetapi bertanding pada pilihan raya ini secara berasingan.

Anwar, bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri, hadir di kempen dan perhimpunan besar dengan berikrar untuk mewujudkan kestabilan politik, memulihkan perpecahan antara Melayu majoriti Islam dan kumpulan etnik lain, serta memulihkan ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

"Pilihan raya ini bukan tentang menukar perdana menteri," kata Anwar dalam ucapannya pada Khamis.

"Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan besar demi memulihkan negara tercinta ini."

Anwar mengetuai gabungan pelbagai etnik, manakala BN dan PN diketuai oleh parti yang mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Kaum dan agama merupakan isu yang memecahbelahkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan etnik Cina dan India membentuk kira-kira 30 peratus daripada pengundi.

Gabungan Anwar boleh dikalahkan jika blok lain berganding bahu menentangnya, kata penganalisis, dengan pakatan parti-parti politik lebih kecil di Sabah dan Sarawak di pulau Borneo berpotensi memainkan peranan sebagai penentu.

Dalam temu bual dengan Reuters bulan ini, Anwar menolak bekerjasama dengan gabungan Ismail Sabri dan Muhyiddin, memetik "perbezaan dasar" berhubung kaum dan agama.

Sekiranya Parlimen tergantung, Harapan mempunyai kelebihan dalam menarik sekutu, kerana perpecahan dan perbalahan menjadikan dua gabungan utama yang lain "secara semula jadi tidak stabil", kata Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia.

Tetapi dia berkata banyak kerusi lagi masih terlalu awal untuk diramalkan, kerana 15 peratus hingga 30 peratus daripada pengundi masih belum membuat keputusan, kata Welsh dan tinjauan oleh firma pendapat bebas, Merdeka Center.

Lebih dua dekad lalu Anwar sebagai tokoh pembangkang telah dipenjarakan sembilan tahun penjara kerana meliwat dan rasuah, tuduhan yang menurutnya bermotifkan politik.

Dia dibebaskan dari penjara pada 2018 selepas berganding bahu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga adalah mentor dan seteru lamanya, untuk mengalahkan BN buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ketika kemarahan orang ramai memuncak terhadap kerajaan berhubung skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion duit negara lesap.

Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 pada usia 92 tahun, berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun, tetapi gabungan itu tumbang dalam tempoh 22 bulan kerana perbalahan mengenai peralihan.

Muhyiddin menjadi perdana menteri seketika tetapi pentadbirannya runtuh tahun lalu, membuka jalan untuk BN kembali berkuasa dengan Ismail Sabri pula memegang tampuk pemerintahan negara.

Reuters