Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tuan Ibrahim mulakan saman fitnah terhadap Rafizi

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan dia telah memulakan proses saman fitnah terhadap Rafizi Ramli berhubung dakwaan timbalan presiden PKR itu berkaitan projek tebatan banjir oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Tuan Ibrahim berkata peguamnya dari Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid telah memfailkan writ zaman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi semalam.

Dia berkata ia selepas Rafizi tidak memenuhi notis tuntutan bertarikh 10 November 2022, yang antara lain memberinya tempoh tujuh hari untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaan yang dibuat.

"Rafizi tidak memberikan apa-apa respon bertulis kepada peguam saya, namun mengambil tindakan terus-terusan memfitnah saya dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran.

"Demi menghentikan budaya politik fitnah dan perbuatan Rafizi yang membuat tuduhan jahat, penyelewangan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibiliti saya, dan PAS di ambang pengundian pada 19 Nov 2022 perlu mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang untuk mencari keadilan dan kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa Kasa dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir di Sungai Langat 2 yang bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat pada 7 Oktober, sehari bekerja sebelum parlimen dibubarkan.

Menurut Rafizi, surat bertarikh 7 Oktober yang didakwa dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar (Kasa) dan Air Zaini Ujang menyatakan bahawa menteri kewangan bersetuju untuk meluluskan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 untuk dianugerahkan secara rundingan terus dengan syarikat yang disifatkan Rafizi sebagai "kroni Umno".

Dia berkata Tuan Ibrahim selaku menteri pastinya diberi makluman berkenaan perkara melibatkan kementeriannya yang sebesar itu.

Tuan Ibrahim pula membangkitkan berkata surat itu jelas menunjukkan bahawa dia dan kementeriannya tidak terlibat dalam kelulusan itu.

Hari ini, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS berharap mana-mana pihak lain yang turut "difitnah" Rafizi agar membawa perkara itu ke mahkamah.

"Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Rafizi," katanya sambil menyuarakan harpaan agar Rafizi berani untuk berdepan proses mahkamah nanti.