Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengundi mula pulang, lebuh raya utama bergerak perlahan

Aliran trafik di lebuh raya utama bergerak perlahan setakat lapan pagi ini susulan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 esok.

Menurut jurucakap Lebuhraya Malaysia (LLM), aliran trafik perlahan dikesan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke timur dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah, Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong dan persimpangan Karak ke Plaza Tol Karak.

Sementara, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 masih bergerak lancar namun perlahan, katanya kepada Bernama.

Bagi perjalanan ke arah utara, jurucakap itu berkata aliran trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari Sungai Buloh ke Sungai Buaya; Lembah Beringin ke Tanjung Malim; Slim ke Sungkai; Bidor ke Gopeng dan Ipoh (selatan) ke Ipoh (utara).

Untuk perjalanan ke arah selatan, jurucakap Pluspula memaklumkan terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 382.3 berdekatan Slim River, Perak dan KM177.5 dari Jasin ke Tangkak yang menyebabkan trafik perlahan sejauh 3.5 kilometer.

“Selain itu, aliran trafik juga perlahan dari Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

-Bernama