Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPR perlu lanjut masa mengundi di kawasan banjir - Nurul Izzah

Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya membuat keputusan sekarang sama ada untuk melanjutkan waktu mengundi di kawasan yang terdedah kepada banjir atau tidak.

Dia berkata keputusan SPR ini akan membantu rakyat terutama pengundi dan calon yang boleh membuat persiapan dan perancangan diri untuk menguruskan proses pengundian.

Nurul berkata demikian semasa sidang media di Yayasan Aman di Penanti yang merupakan ibu pejabat pilihan raya PH Permatang Pauh.

Turut hadir calon PH Nibong Tebal Senator Fadhlina Sidek dan calon PH Bayan Baru Sim Tze Tzin.

“Keputusan saat akhir akan menyukarkan pengundi dan calon, kerana sudah terlambat untuk mereka membuat perancangan kecemasan.

"Ini di kawasan yang terdedah kepada banjir, di mana pusat mengundi, khususnya sekolah digenangi air," katanya.

"Ini bukan negara Umno atau BN. Ini Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya mesti membuat keputusan sendiri dan tidak membiarkan Umno dan BN yang buat keputusan," katanya lagi.

Menurut Nurul Izzah, SPR boleh melanjutkan waktu pengundian sehingga jam 9 malam atau sehingga tengah malam atau keesokan harinya.

Tetapi, tegasnya SPR jangan membuat keputusan pada saat akhir yang akan menimbulkan banyak kesulitan kepada semua orang.

Nurul Izzah turut melahirkan rasa kecewanya terhadap keputusan SPR bermesyuarat esok bagi memutuskan status Padang Serai.

Dia juga berkata SPR sepatutnya bermesyuarat segera untuk memutuskan status Padang Serai susulan penyandangnya M Karupaiya meninggal dunia semalam.

Nurul Izzah juga menambah, terdapat sokongan yang menggalakkan terhadap calon PH di Nibong Tebal dan Balik Pulau.

DIa merayu kepada pengundi luar untuk pulang ke kampung untuk mengundi kerana ini akan memastikan negara akan melihat PH menjadi kerajaan baru selepas hari pengundian.

Dia turut menasihatkan pengundi supaya berhati-hati terhadap taktik kotor parti politik yang mencetuskan isu agama dan perkauman untuk membangkitkan perasaan pengundi.