Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes 1MDB Najib tangguh: Shafee sakit gusi, saksi pula tak sedia

Pendakwaan tidak dapat menyediakan lima saksi dalam notis singkat untuk perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib Razak hari ini, dengan dua daripada saksi masih berada di luar negara.

Tambahan pula, peguam bela utama bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah masih dalam cuti perubatan (MC) selama tiga hari berikutan prosedur pergigian.

Lantaran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan ke Isnin minggu depan.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan melakukan yang terbaik untuk memanggil lima saksi berkenaan tetapi tiada seorangpun daripada mereka boleh datang kerana ia dilakukan dalam tempoh yang singkat.

"Dua daripada mereka (saksi) berada di luar negara, dan tiga lagi tidak dapat hadir ke sini dalam tempoh notis singkat yang diberikan kepada mereka atas pelbagai sebab," kata Akram.

Pendakwa raya bagaimanapun menambah saksi pendakwaan ke-43, pengarah urusan The Edge Tong Kooi Ong (gambar, bawah), bersedia untuk disoal balas oleh pasukan pembelaan.

Kemudian, peguam bersama Najib Rahmat Hazlan memaklumkan bahawa pasukan pembelaan tidak mungkinh dapat meneruskan pemeriksaan balas terhadap Tong kerana Shafee masih dalam cuti perubatan pada hari ini.

Rahmat berkata, Shafee masih mengalami sakit gusi.

“Hanya Shafee boleh menyoal balas Tong tetapi dia MC. Kita boleh meneruskan pada hari Isnin dengan pemeriksaan balas terhadap Tong dan saksi lain,” kata Rahmat sambil Najib melihat dari kandang tertuduh.

Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan ke Isnin minggu depan.

Semalam, Tong memberi keterangan bahawa Najib meminta dia untuk meninggalkan kediaman perdana menteri ketika itu apabila usahawan berkenaan memberi amaran mengenai ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-43 memberi keterangan demikian semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion petang ini terhadap Najib yang juga bekas menteri kewangan.

Ong memberi keterangan mengenai cubaannya memberi amaran kepada Najib tentang penyelewengan dana syarikat pelaburan negara dan laporan penyiasatan Edge mendapati penglibatan Jho Low dalam keseluruhan skandal tersebut.

"Selepas saya memberitahu Najib bahawa Jho Low harus dipertanggungjawabkan dan didakwa, dia (Najib) bingkas bangun dan membuka pintu untuk saya pergi," kata Ong.

Sejurus itu, Ong berkata dia terus meninggalkan rumah Najib di Langgak Duta itu.

[Baca berita asal]