Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Kena siasat berapa harta kamu ada' - Anwar tolak sumpah Muhyiddin

Muhyiddin Yassin perlu disiasat berkaitan aset yang dimilikinya walaupun pengerusi PN itu sedia bersumpah dan menafikan tidak pernah mengambil wang kerajaan ketika menjadi perdana menteri, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Berucap di hadapan 500 orang di ceramah di Sungai Buloh, Anwar berkata sumpah sahaja tidak mencukupi kerana ia melibatkan isu tadbir urus dan integriti.

"Hari ini dia kata dia sumpah dia tak ambil duit kerajaan, ini Muhyiddin, soal negara soal tata kelola negara, soal governance.

"Sumpah tak makan, kena siasat berapa harta kamu ada?

"Ini senang, semua sikit-sikit sumpah," katanya.

Anwar merujuk kepada dakwaan bahawa Muhyiddin meluluskan perbelanjaan RM500 bilion semasa pandemik Covid-19, ketika dia masih perdana menteri.

Terdahulu, Ketua menteri Melaka Adly Zahari hari ini berjanji PH akan menjalankan siasatan terpeinci berhubung dakwaan itu sekiranya membentuk kerajaan.

Dalam responsnya, Muhyiddin berkata dia berani bersumpah bahawa semua perbelanjaan kerajaan ketika pandemik Covid-19 diurus mengikut dasar perolehan dan peraturan.

"Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat ikut peraturan kewangan sedia ada," katanya dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Anwar juga menyasarkan serangannya kepada Menteri Kesihatan yang juga calon BN di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Katanya, Khairy juga pernah mengangotai kabinet Muhyiddin dan kementeriannya turut terlibat dalam kontrak yang diluluskan Muhydidin.

“KJ nak reform Umno, saya dulu timbalan presiden pernah tak boleh reform. Kalau nak reform, orang baik boleh reform," katanya.

Anwar juga menegaskan Khairy belum memberikan penjelasan mengenai beberapa isu kontroversi, membabitkan perolehan vaksin dan kontrak MySejahtera.

“Kamu juga sebahagian daripada sistem rasuah dan busuk.

"KJ nak reform Umno silakan. Jangan guna rakyat di Sungai Buloh,” kata Anwar.