Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rundingan pasca-PRU: Segalanya mungkin selagi Anwar calon PM

Seorang pemimpin kanan PH menunjukkan kesediaan gabungan itu untuk berunding dengan semua parti jika terdapat keperluan untuk membentuk pakatan pasca-PRU selepas hari pengundian pada 19 November, dengan syarat presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri baharu Malaysia.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata dia percaya kesepakatan menerima Anwar sebagai calon perdana menteri akan menjadi satu-satunya syarat PH yang tidak boleh dirundingkan.

“Pada masa itu, semua orang akan datang ke meja dan berbincang. Semuanya mungkin bagi saya.

"Selagi Anwar menjadi perdana menteri," kata Salahuddin yang akan mempertahankan kerusi parlimen Pulainya.

“Bagi saya sekarang, sebagai salah seorang daripada lima pemimpin teratas dalam PH, kita mesti memastikan kita kekal sebagai blok terbesar.

"Apabila kita menjadi blok terbesar, orang lain akan datang kepada kita untuk berunding," kata Ketua PH Johor itu.

Selain itu, Salahuddin berkata beliau percaya dengan penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti, pengundi tidak mungkin marah dengan sebarang rundingan pasca-PRU dalam situasi di mana tiada satu pun gabungan memperoleh 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Selagi kita pilih perdana menteri terbaik, kabinet yang terbaik untuk negara,” katanya lagi.

Pilihan raya umum ke-15 telah menyaksikan penyertaan daripada empat gabungan – Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air - serta parti politik yang tiada dalam mana-mana gabungan dan calon bebas.

Malam tadi, perdana menteri sementara Ismail Sabri berkata BN bersedia menjadi blok dominan dalam kerajaan campuran sekiranya gagal memenangi 112 kerusi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno, berkata masih terlalu awal untuk memutuskan parti mana yang mungkin bekerjasama dengan BN, sambil menambah kemungkinan besar mereka akan menjemput parti perkumpulan GPS Sarawak serta GRS Sabah.

Ismail Sabri

Sebaliknya, pengerusi PN Muhyiddin Yassin setakat ini enggan mendedahkan pendirian gabungannya sekiranya parlimen digantung, malah mengatakan berbuat demikian sebelum hari pengundian sama dengan mengaku kalah.

Sementara itu, presiden penaja GTA Dr Mahathir Mohamad awal hari ini berkata gabungannya tidak akan bekerjasama dengan Umno dan sebaliknya akan melihat pilihan dari Sabah dan Sarawak.