Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Orang Asli penentu kemenangan di enam parlimen Perak

Perak mempunyai penduduk Orang Asli kedua tertinggi di Malaysia selepas Pahang, terdiri daripada suku Temiar, Semai, Jahai, Kintaq dan Lanoh.

Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terbaru pada PRU15 sebanyak 41,210 pengundi masyarakat Orang Asli layak mengundi di negeri itu.

Jumlah berkenaan cuma lebih kurang dua peratus daripada keseluruhan 2.036 juta pengundi Perak yang layak mengundi kali ini.

Namun, ia sudah mencukupi kepada masyarakat itu untuk menjadi 'king maker' (penentu kemenangan) sekurang-kurangnya di enam kerusi parlimen.

Gambar fail.

Tinjauan Malaysiakini mendapati masyarakat Orang Asli mungkin akan menjadi penentu kemenangan di parlimen Gerik, Parit, Sungai Siput, Pasir Salak, Tapah dan Tanjung Malim.

Ini disebabkan pertembungan banyak penjuru di kebanyakan kerusi parlimen ini yang hanya mempunyai jumlah pengundi Orang Asli kurang daripada 10 peratus sahaja, kecuali Tapah dan Gerik.

Tapah mempunyai jumlah pengundi Orang Asli tertinggi seramai 9,428 orang (15 peratus) dan Gerik dengan 5,800 orang (13 peratus).

Sementara itu, di Sungai Siput (7,013 pengundi atau 8 peratus), Tanjung Malim (6,814 pengundi atau 6 peratus), Pasir Salak (2,349 atau 3 peratus) dan Parit (1,068 atau 3 peratus).

Walaupun, jumlah peratus pengundi Orang Asli kurang 15 peratus di kawasan ini, senario politik semasa menunjukkan perhatian perlu diberikan terhadap pengundi Orang Asli.

Perpecahan di kalangan pengundi Melayu, khususnya antara BN dan PN serta sokongan kaum Cina dan India kekal bersama PH pada kali ini menjadikan undi Orang Asli sebagai faktor yang penting dalam menentukan kemenangan di enam kerusi parlimen berkenaan.

Dengan faktor ini, dijangkakan perbezaan undi kemenangan di antara setiap parti yang bertanding akan semakin tipis.

Undi Orang Asli 'deposit tetap' BN

Menteri Besar Perak Mohamad Saarani baru-baru ini berkata dia yakin pengundi Orang Asli akan tetap menjadi "fixed deposit" kepada BN pada PRU ini.

Katanya, menyantuni Orang Asli adalah selari dengan inisiatif dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, kerajaan negeri Perak telah meluluskan sebanyak 19 ribu hektar tanah rizab Orang Asli.

"Sejak zaman Tajol Rosli (menteri besar Perak 1999-2008) kita telah meluluskan seluas 19 ribu hektar untuk diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli.

"Tapi, ia tidak diluluskan serta-merta kerana perlu melalui proses-proses tertentu sebelum mewartakan.

"Walaubagaimanapun, daripada 19 ribu hektar diluluskan itu 13.5 ribu telah telah diwartakan dan ada bakinya lebih kurang 4.5 ribu hektar lagi sedang dalam proses," katanya kepada pemberita di majlis bersama Orang Asli di Chenderiang, Tapah, baru-baru ini.

Jelasnya, pemberian tanah itu bertujuan memastikan hak Orang Asli bercucuk tanam bagi menyara hidup.

Pada PRU14, BN memperolehi hampir lebih 90 peratus sokongan pengundi Orang Asli di Perak.

Musuh dan kawan

Namun, bekas exco kerajaan negeri Perak A Sivanesan berpendapat keadaan kini sudah berubah.

Berkongsi pengalaman peribadi dengan pengundi Orang Asli di Perak, Adun Sungkai selama tiga penggal itu berkata Orang Asli bukan lagi pengundi tegar kepada BN.

"Saya kali pertama bertanding di Sungkai pada 2004. Masa itu saya tidak dapat mendekati mereka. Untuk kumpulkan mereka susah.

"Kalau kita ke rumah mereka, mereka tidak melayan kita. Kerana Orang Asli tidak ingkar arahan Tok Batin. Tapi, keadaannya telah banyak berubah.

"Pada PRU ini, buat kali pertama, ada Tok Batin memberi ucapan di pentas ceramah DAP," katanya.

Sivanesan merupakan exco yang hal ehwal Orang Asli selama enam bulan ketika PH menubuhkan kerajaan Perak pada 2018.

Menurutnya, Orang Asli walaupun berlainan suku akan bersatu apabila hutan dan sumber rezeki mereka terancam.

"Kalau kita sentuh hutan atau tempat pencarian hasil hutan mereka akan bersatu. Kelulusan kayu balak dalam skala besar oleh kerajaan BN telah banyak menjejaskan kehidupan mereka.

"Ini yang membuat mereka marah terhadap BN. Kini mereka faham musuh dan kawan," katanya.

Impak besar 'TV poket'

Malaysiakini ketika menemubual beberapa pemuda Orang Asli di Chenderiang, Bidor, Gerik diberitahu penggunaan telefon pintar semakin meningkat di kalangan Orang Asli.

"Dulu lain. Sekarang kami ada 'TV poket' (telefon pintar). Kami ada akses kepada dunia luar.

"Banyak kami pelajari melalui TV poket. Kami faham politik kebangsaan," kata seorang anak muda masyarakat itu yang enggan dinamakan.

Ketika ditanya siapakah calon atau parti pilihan mereka kali ini, mereka menjawab: "Kami undi kerajaan yang membawa pembangunan kepada kaum Orang Asli."

Perak salah satu dari tiga negeri yang mengadakan PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak.

Sebanyak 24 kerusi parlimen dan 59 DUN dipertandingkan dengan hari mengundi pada 19 Nov ini.