Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tunjuk dulu akaun PH, Muhyiddin cabar Anwar

PRU15 | Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata dia bersedia mendedahkan dana gabungan itu sekiranya Presiden PKR, Anwar Ibrahim melakukan perkara yang sama berhubung dana PH.

Bercakap kepada pemberita di Johor Bahru hari ini, Muhyiddin juga mencabar pengerusi PH itu untuk membuktikan dakwaannya bahawa PN adalah parti politik paling kaya dalam kalangan parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15.

"Apa bukti? Apa bukti? Kalau nak tunjuk akaun antara PH dengan PN, saya boleh tunjukkan.

"Boleh tak? Boleh Anwar Ibrahim tunjuk berapa akaun PH?" kata Muhyiddin ketika berkempen untuk calon PN Johor Bahru, Mohd Mohtaj Yacob di Stulang Laut.

Menurut Muhyiddin, PN merupakan gabungan baru yang tidak memiliki banyak sumber.

“Kami parti baru. Kami tidak mempunyai banyak sumber.

“Kita cuma ada orang yang rasa nak tolong kita, itu sahaja,” kataanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia hari ini memetik Anwar sebagai mendakwa PN merupakan parti politik paling kaya ketika kerana mendapat kontrak berbilion ringgit semasa pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Berucap ketika ceramah di Bagan Datuk, Perak, Anwar dilapor mendakwa projek tersebut termasuk kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) yang menjadi pemegang tunggal lesen 5G bernilai RM18 bilion.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Mac 2020 dan kekal memegang jawatan itu selama 17 bulan, sebelum digantikan dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin bagaimanapun kekal dalam kerajaan sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara, walaupun tidak sehaluan dengan BN beberapa bulan menjelang PRU15.

[Berita penuh menyusul]