Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail Sabri naif atau bodoh, soal Kit Siang

  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Ismail Sabri Yaakob benar-benar percaya dia akan dicalonkan lagi sebagai perdana menteri jika BN menang dalam pilihan raya umum Sabtu ini.

Sedangkan, kata Lim, Ismail Sabri tidak lagi mempunyai “kaki” dan “tangan” setelah beberapa menteri dalam kabinetnya dicantas daripada senarai calon.

“Adakah Ismail sedang menjadi naif atau dia hanya bodoh?” soal Lim.

Menteri dalam kabinet Ismail Sabri yang tidak dicalonkan BN kali ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Adham Baba, menteri perpaduan Halimah Mohamed Sadique.

Zahid Hamidi

Lim mengulas kenyataan Ismail yang mengatakan dakwaan Presiden Umno Zahid Hamidi akan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 sebagai “kisah dongeng”.

Tambah veteran DAP itu lagi, harapan Ismail Sabri untuk menjadi perdana menteri sekali lagi terkubur selepas kenyataan Zahid hari ini.

“Kenyataan terbaru dari presiden Umno/BN, Zahid Hamidi, yang mengatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan memutuskan siapa yang akan menjadi perdana menteri sekiranya BN menang sepatutnya sudah menamatkan harapan Ismail Sabri untuk menjadi perdana menteri sekiranya BN menang, tetapi Ismail kelihatan seperti terus naif dan bodoh,” katanya.

Lim turut mempersoal sama ada Ismail sedar keadaan itu tidak menjaminnya sebagai perdana menteri walaupun menjadi poster-boy (penghias poster) BN.