Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon PH di Marang pernah disuruh bertaubat sebab keluar PAS

WAWANCARA | Pernah disuruh bertaubat seolah-olah dirinya murtad hanya kerana meninggalkan PAS dan memilih parti lain, kini Azhar Ab Shukur bahkan 'mencabar' presiden parti itu di Marang.

Diarahkan partinya - Amanah - untuk bertanding di kerusi yang sinomim dengan Abdul Hadi Awang, Azhar bahkan yakin ada sesuatu yang menarik boleh dilakukan PH dalam PRU kali ini.

Menurut Azhar, 57, ketika menjadi calon dalam pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar kira-kira enam tahun lalu dia mengaku menjadi salah seorang mangsa fahaman takfiri secara langsung daripada penyokong PAS.

"Saya sendiri merasai kesannya apabila ada kaum kerabat saya sendiri menyuruh saya bertaubat seolah-olah saya telah membuat satu dosa yang besar, seperti telah terkeluar dari Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas bagaimana dia berdepan dengan fahaman takfiri yang ada dalam bekas partinya PAS dan pengalaman peribadinya sendiri.

Istilah takfiri merujuk kepada sikap seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar dari Islam.

Terlibat dalam Amanah selepas meninggalkan PAS, Azhar juga merupakan seorang tokoh korporat yang berjaya di negara ini. Memiliki latar belakang pendidikan agama, sebelum ini dia pernah berkhidmat sebagai timbalan mufti Kemboja.

Dalam PRU ke-15 ini Azhar diletakkan sebagai calon PH di Marang untuk berdepan dengan Abdul Hadi. Selain mereka turut bertanding di kawasan tersebut ialah calon BN, Jasmira Othman, serta Dr Zarawi Sulong (GTA).

Bercerita lebih lanjut, Azhar berkata, pihak yang taasub kepada PAS juga pernah enggan menjawab salam atau berjabat tangan dengannya.

"Itu juga pengalaman peribadi saya kesan daripada 'fatwa-fatwa' Abdul Hadi," tambahnya.

Menurut Azhar, sebenarnya fahaman takfiri itu membabitkan hampir semua orang yang bersependapat dengan PAS serta pembawaan parti berkenaan.

Pada dekad 1980-an pertembungan politik PAS-Umno menyaksikan beberapa insiden yang dianggap ekstrem, khususnya ekoran 'fatwa' Abdul Hadi yang merujuk kepada ucapannya di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Ia berlarutan dan sangat ketara di Terengganu dengan pelbagai insiden termasuk memulaukan majlis kenduri orang yang berlainan parti, sembahyang dua imam, malah membabitkan perceraian pasangan suami isteri.

Harapan pengundi sederhana saja

Menurut Azhar, menyedari bahaya fahaman tersebut dan berusaha membasminya, Amanah menubuhkan Akademi Nadwah Ulama Nahdah Jadidah (Nunji) pada 2015.

Melalui Nunji, katanya, Amanah cuba menyebarluaskan fahaman yang sebenar, khususnya mengendai pendekatan Islam sebagai agama membawa rahmat ke seluruh alam.

"Betul, politik ada kaitan dengan agama Islam, sebahagian daripada Islam tetapi ia bukan isu yang kita boleh berbeza pendapat langsung," katanya.

Justeru dengan dasar itu Azhar memulakan langkah mendekati pengundi Marang dan gembira apabila melihat ia disambut oleh orang ramai di situ.

Kata Azhar, sebelum ini mendengar cakap-cakap orang bahawa pengundi di Marang memang keberatan menerima calon dari luar, namun apa yang disaksikan adalah sebaliknya.

"Apa yang berlaku sepanjang berkempen kali ini, mereka (pengundi) menerima kami dan saya rasa dah hampir tujuh hingga lapan pasar yang dilawat, sama ada pasar tani atau pun pasar malam, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

"Malah ada antara mereka memang mengenali kami, maksudnya, nama itu sudah tersebar. Begitu juga dengan kempen daripada rumah ke rumah," katanya.

Mengakui tidak mudah untuk menumbangkan presiden PAS itu, Azhar bagaimanapun yakin ada ruang untuk PH berbuat demikian.

"Asalnya calon PH sebelum ini hilang deposit, tapi kali ini insya-Allah tak timbul isu begitu. Sasaran untuk memenangi kerusi ini pun ada harapan," katanya penuh yakin.

Menyelami keluh-kesah pengundi Marang, kata Azhar, harapan rakyat di kawasan terbabit sebenarnya agak sederhana iaitu mereka mahu bersama pemimpin yang dipilih, bukannya ditinggalkan selepas pilihan raya.

"Rakyat ni kalau dapat bersama dengan pimpinan, itu pun dah cukup melegakan mereka. Pemimpin menjadi tempat mereka mengadu nasib.

"Sekarang ini sebahagian daripada mereka yang saya temui di kedai-kedai kopi menyatakan mereka dah tak jumpa wakil rakyat di sini antara empat hingga lima tahun.

"Kerana itu sebagai permulaan saya turun bertemu orang ramai, insya-Allah masalah ini kami cuba atasi bermula dengan duduk bersama mereka dan mendengar keluhan yang disuarakan" katanya.

Mengulas ketidakhadiran Abdul Hadi di Dewan Rakyat kerana mendakwa perlu menguruskan hal-hal lain, Azhar berkata pengundi di Marang lebih tahu mengenai hal tersebut.

"Di parlimen semua orang tahu, satu Malaysia tahu (ketidakhadiran Abdul Hadi di Dewan Rakyat), tapi di kawasan Marang ini rakyat lebih tahu, pengundi di sini lebih tahu dan itu yang kita dengar.

"Kami pergi ke kampung-kampung, ke kedai-kedai kopi (rata-rata mengatakan sedemikian) dan itu yang berlaku.

"Kalau ikut cerita rakyat, kalau mereka nak jumpa wakil rakyat, mereka yang kena cari," katanya.

Tambah Azhar, masalah dihadapi penduduk di Marang tidaklah sebesar mana, namun apabila mereka tiada tempat untuk mengadu nasib, maka ia sukar ditangani bahkan sesetengah pengundi berasa mereka seolah-olah tidak memiliki seorang wakil rakyat.

Semasa menjadi calon PH dalam PRK Sungai Besar di Selangor pada 18 Jun 2016, Azhar gagal menguasai kerusi tersebut apabila ia dimenangi calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

Turut bertanding dalam PRK tersebut ialah calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.