Pemimpin tertinggi MIC guna lagu, tarian pikat hati pengundi
Dua pemimpin tertinggi MIC SA Vigneswaran dan M Saravanan berharap dapat memikat pengundi masing-masing dengan lagu yang menunjukkan kelebihan mereka.
Lagu Vigneswaran yang bertanding di Sungai SIput disampaikan menerusi audio manakala Saravanan yang mempertahankan Tapah pula siap dengan video muzik.
Bertajuk Idola Warga Tapah, video tersebut yang seperti dirakam di India menampilkan penyanyi dan penari, serta rakaman Saravanan di pelbagai acara, termasuk bermain bola sepak.
Turut dimuatkan gambar Saravanan bersama bekas presiden MIC mendian S Samy Vellu dan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.
Idola Warga Tapah antara lain memuji Saravanan sebagai seorang pemimpin yang hebat dan penyair Tamil.
Selain dimuat naik di YouTube, video tersebut turut disebarkan menerusi Whatsapp.
'Tanah ini bergantung kepadamu'
Sementara itu, lagu Vigneswaran dipaparkan lebih sederhana, iaitu menerusi rakaman audio dengan latar belakang gambarnya dengan tulisan “Restore Sungai Siput P062”.
Lagu berbahasa Tamil itu antara lain menyebut: "Khidmat Tan Sri menyatukan kami, kasih sayang Tan Sri mengikat kami. Tanah ini bergantung kepadamu, tunjukkan kami jalan yang benar".
Selain lagu, Vigneswaran dan Saravanan turut menggunakan belon udara panas sebagai cara kempen di kawasan masing-masing.
Pada PRU15, MIC bertanding di 10 kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN.
Parti itu kalah besar pada PRU lalu apabila hanya Saravanan yang menang di peringkat Parlimen.
Parti komponen BN ini bergelut untuk kekal relevan sejak PRU 2008 susulan demonstrasi Hindraf, yang berjaya meyakinkan masyarakat India untuk mengundi pembangkang.
Malah pada PRU itu, Samy Vellu tewas di Sungai Siput, kerusi yang dipegangnya selama lapan penggal.
Pada PRU kali ini, Vigneswaran berdepan dengan tujuh pesaing, termasuk penyandang S Kesavan dari PH.
Saravanan pula bersaing dengan lima calon, termasuk calon PH K Saraswathy yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai