Kecoh, Maszlee dihalang jumpa mangsa banjir
Perbalahan singkat berlaku antara calon Pakatan Harapan Simpang Renggam Maszlee Malik dan dua lelaki berumur yang tidak membenarkannya melawat pusat pemindahan sementara banjir di Sungai Rinai, di Johor hari ini.
Dalam satu video di media sosial, kelihatan sekumpulan penduduk tempatan lain di PPS itu keluar untuk bertemu Maszlee yang tiba dengan jentera PH.
Beberapa anggota polis dilihat menahan seorang lelaki yang marah dan menuduh Maszlee sebagai ahli politik pembohong.
"Kencing, kencing," jeritnya.
Sejurus selepas itu, seorang lelaki lain pula muncul dari dalam dewan pusat pemindahan sementara juga menyekat Maszlee daripada menziarahi mangsa banjir di situ.
"Kita ikut undang-undang, kalau tadi dia cakap kalau (orang) politik tidak dibenarkan datang," kata lelaki itu.
Maszlee kemudian membalas bahawa dia menghormati semua orang, berkata tidak pernah marah "macam abang marah saya."
"Dah, dah. Blah, blah, blah," kata lelaki itu menghalau Maszlee bersama rombongannya itu.
Maszlee minta maaf
Lantaran itu, Maszlee berkata "inilah perangai Umno."
"Apa pula saya Umno? Saya politik tidak campur apa-apalah," balas lelaki itu menafikan dakwaan Maszlee.
Dalam perkembangan berkaitan, Maszlee pada hantaran di media sosial malam ini memohon maaf atas salah faham dan keterlanjuran insiden pagi tadi.
Katanya lagi, dia tidak patut membuat anggapan umum bahawa lelaki yang menghalangnya untuk menziarahi mangsa banjir itu ialah "orang Umno."
Ini meskipun, dia difahamkan lelaki yang menegurnya itu ialah ketua kampung di situ.
Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini, Maszlee akan dicabar bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad (BN-Umno) - manakala Mohd Fazrul Kamat (Bersatu) PN dan Kamal Kusmin (Pejuang) GTA juga mahukan peluang di kerusi itu.
Dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 2018, Maszlee memperoleh majoriti 3,475 undi di Simpang Renggam dan menewaskan calon BN dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai