Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramanan ikrar sumbang gaji pada rumah ibadat jika menang

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Sungai Buloh di Selangor R Ramanan berikrar untuk memberikan gaji bulanannya kepada rumah ibadat jika menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Perkara ini diumumkan oleh moderator pada ceramah yang diadakan di Kota Damansara semalam.

“Ramanan telah menandatangani surat pengisytiharan, berikrar untuk memberikan gaji ahli parlimennya kepada rumah ibadat untuk kegunaan kumpulan terjejas.

“Semua gajinya sebagai ahli parlimen akan diserahkan kepada tempat ibadat untuk menggerakkan program kebajikan dan membantu rakyat miskin,” kata moderator itu.

Surat pengisytiharan, yang ditandatangani oleh Ramanan pada 11 Nov, dipaparkan pada skrin di bahagian belakang pentas ketika dia berucap.

Perkembangan ini hadir selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim berikrar tidak akan menerima gaji bulanannya sekiranya menjadi perdana menteri kerana rakyat Malaysia menghadapi kenaikan harga barang.

Ramanan juga mendedahkan manifestonya untuk Sungai Buloh yang memberi tumpuan kepada mengurangkan beban golongan B40.

“Saya ingin membentangkan ‘penyelesaian Ramanan’ di Sungai Buloh. (Saya akan) fokus untuk meringankan beban kos sara hidup yang tinggi bagi golongan B40,” katanya kepada kira-kira 500 hadirin pada ceramah itu.

“Pangkalan data akan diwujudkan dengan menyelaraskan senarai penerima yang layak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO, dan maklumat yang dikumpul di bawah program saya.

“Sebagai contoh, kita akan mulakan dengan sebuah kedai. Mereka yang layak akan menerima kad untuk digunakan membeli keperluan asas mengikut kredit subsidi bulanan tetap,” katanya.

Ramanan turut berjanji pusat khidmatnya akan menjalankan kajian aliran trafik supaya keseimbangan dapat dicapai antara pembangunan perindustrian dan kepadatan penduduk di kawasan itu.

Bukan pemilihan parti

Ramanan turut memberi amaran kepada lawannya dari BN Khairy Jamaluddin agar tidak menjadikan PRU15 sebagai batu loncatan untuk meneruskan cita-citanya untuk memimpin Umno.

"Ini bukan pemilihan Umno, ini PRU, jangan bawa masuk (hal-ehwal) Umno guna tempat Sungai Buloh sebagai platform bertanding, itu salah, dia kena fikirkan penduduk di sini, hal-ehwal mereka, bukan hal rumahtangga (parti politik) dia.

"KJ (Khairy) keluar dari mulut dia kata nak bersihkan parti BN. Maksud dia sendiri kata BN kotor, bukan saya yang cakap. Tapi saya nak ingatkan KJ satu, di mana tempat yang kotor, anda sendiri duduk di dalam, bersihkan diri anda dulu," katanya.

Semalam, Khairy mengaku tidak suka kepada beberapa pemimpin Umno dan berhasrat membersihkan partinya sekiranya berjaya menawan Sungai Buloh.

Menteri kesihatan sementara itu berikrar akan membawa perubahan kepada negara, Umno, dan BN supaya masyarakat Melayu mempunyai badan politik terbesar di Malaysia yang boleh dibanggakan.

Dalam perkembangan lain, Ramanan turut mengumumkan Anwar akan tiba di Sungai Buloh untuk berkempen untuknya pada Rabu (16 Nov).