Muhyiddin bangga digelar 'bapa PKP'
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata dia bangga jika mendapat gelaran "Bapa PKP (perintah kawalan pergerakan)" kerana dengan pelaksanaan perintah itulah nyawa ramai rakyat Malaysia dapat diselamatkan daripada wabak Covid-19.
"Anwar Ibrahim kata saya 'bapa PKP', saya bangga. Dia tak sedar kalau dulu (ketika Muhyiddin mentadbir negara) tiada PKP, berapa banyak yang akan dijangkiti (covid-19) dan mati.
"Bagi kes Covid-19 di negara kita, hampir 99 peratus (yang dijangkiti) balik rumah dengan selamat dan sihat. Di Amerika Syarikat, 1,6 juta penduduk mati kerana Covid-19.
"Anwar pergi Universiti Malaya (sama) dengan saya tapi dia kata 36,000 (angka korban di Malaysia) adalah paling besar di dunia. Macam mana anda boleh cakap angka itu lebih besar (berbanding 1.6 juta)," katanya ketika ceramah di Batu Pahat, Johor hari ini.
Muhyiddin berkata proses pemberian vaksin Malaysia juga lebih pantas berbanding negara serantau dan kerajaan ketika di bawah pentadbirannya turut memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan penutupan sektor ekonomi.
Dalam ceramahnya, Muhyiddin turut menyasarkan satu lagi bekas sekutunya iaitu DAP dengan menyatakan ketika dia masih bersama PH, parti itu sebelum ini mendesak Akta Hasutan dimansuhkan.
Dia mendakwa akta itu digunakan terhadap pihak yang menghina perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti institusi diraja, agama Islam dan kedudukan orang Melayu.
DAP kekal jadi sasaran
Bercakap di hadapan kira-kira 200 hadirin yang kebanyakannya penyokong PN, Muhyiddin berkata DAP antara sebab mengapa dia membawa Bersatu keluar dari PH ketika Langkah Sheraton pada awal 2020.
"Ada yang kata saya pengkhianat. Saya rela dipanggil pengkhianat tetapi tak akan jadi pengkhianat untuk bangsa dan agama," katanya lagi.
Dia juga sekali lagi membangkitkan dakwaan kemungkinan kerjasama antara BN dan PH selepas PRU15.
Menurutnya, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi telah mengakui jika mereka tidak dapat membentuk kerajaan secara sendiri, mereka akan bekerjasama dengan parti politik lain.
"Soalnya dengan parti mana dia nak bersekongkol? Tak akan dengan PN. Usaha pimpinan PAS (untuk bekerjasama) ditolak Umno. Jadi dia nak kepada PH.
"Jika dia nak bersekongkol dengan Anwar, (maknanya) dia bersama dengan DAP. DAP bukan parti yang memperjuangkan nasib Melayu dan Islam," katanya lagi.
DAP kekal menjadi sasaran utama oleh BN dan PN sepanjang tempoh kempen ini.
Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpandangan calon-calon Melayu yang diletakkan DAP dalam PRU kali ini hanyalah untuk dipergunakan bagi meraih undi Melayu-Islam.
Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob pula berkata satu undi untuk PH bermakna satu undi untuk DAP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai