'Tidur dua jam saja, selain itu mesti bersama pengundi'
Dalam usaha mempertahankan kemenangannya Bagan Datuk untuk penggal ketujuh, Zahid Hamidi hari ini memberi kata semangat kepada dua penyandang DUN di bawah kawasan Parlimen itu.
Berucap pada program Fiesta Bagan Datuk 'Jom Balik Mengundi' di Dataran Bagan Datuk hari ini, dia berkata BN mesti berusaha keras sepanjang tempoh kempen ini untuk memperlihatkan ada komitmen yang tinggi untuk rakyat.
“Saya bagitahu Datuk Shahrul dan Datuk Khairuddin, jangan tidur, cukup (tidur) dua jam. Selain itu, mesti dengan rakyat, mesti dengan pengundi," katanya disambut sorakan hadirin.
Dia merujuk penyandang DUN Rungkup Shahrul Zaman Yahya dan penyandang DUN Hutan Melintang Khairuddin Tarmizi yang turut ada mendengar ucapan itu.
Dalam ucapannya, Zahid berkata mengakui terdapat kelemahan dan kesilapan yang dilakukan BN sepanjang mentadbir negara berdekad lamanya dan akan memperbaikinya jika gabungan itu menang dalam PRU15.
"Kita akui selama 62 tahun BN dan Perikatan menjadi kerajaan, ada kesalahan dan kesilapan. Insya-Allah kita perbaiki kelemahan dan kita akan tambah baik imej negara, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara kita," katanya.
Program Fiesta Bagan Datuk ‘Jom Balik Mengundi yang bermula jam 8.30 pagi ini dianjurkan Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya.
Pelbagai acara diadakan antaranya cabutan bertuah, e-sukan, pertandingan memasak, karaoke dan pertandingan busana tradisional untuk kanak-kanak.
Turut diadakan program saringan kesihatan serta kit ujian Covid-19 yang diberikan secara percuma.
Program hari ini dihadiri beberapa artis jemputan seperti Adi Putra, Fazli Zainal, Atu Zero dan penyanyi Nash dan Farah AF2 - yang turut menjadi pengacara pertandingan memasak.
Sementara itu, presiden Umno itu memberi jaminan tiada politik balas dendam oleh BN jika gabungan itu menang PRU kali ini dan membentuk kerajaan.
"Insya-Allah BN akan membentuk kerajaan di Putrajaya. Yakinlah yang kita tidak akan membalas dendam kepada sesiapa pun setelah kita membentuk kerajaan.
"Cuma rakyat perlu menilai siapa yang lebih baik antara kita dan mereka," katanya lagi, tanpa mengulas secara terperinci berkenaan perkara itu.
Oktober lalu, Zahid turut memberi jaminan sama bahawa tiada elemen balas dendam dalam pemilihan calon BN, dengan menegaskan bahawa ia dibuat berdasarkan kriteria calon.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno yang dilihat tidak sehaluan dengan presiden Umno itu tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi mereka seperti Shahidan Kassim (Arau), Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak) dan Annuar Musa (Ketereh).
Bagan Datuk adalah kubu kuat Zahid yang memegang kerusi itu sejak 1995.
Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun, kali ini, dia akan berdepan dengan beberapa calon terkemuka tidak seperti yang berlaku sejak dua dekad lalu.
Dia akan berdepan calon PH Shamsul Iskandar Md Akin dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Nik Muhammad Faiz Na'aman yang mewakili PN.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai