Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Belon udara panas BN tak sempat terbang lama

Sebuah belon udara panas diarahkan agar diturunkan tidak lama selepas ia dinaikkan pagi semalam.

Difahamkan gambar belon udara panas itu tersebar di media sosial semalam.

Namun, ketika Malaysiakini tiba di lokasi tengah hari ini, ia sudah tiada.

Lokasi itu terletak kira-kira 200 meter dari pusat khidmat MIC Sungai Siput. Pada PRU15, presiden parti itu SA Vigneswaran bertanding di kerusi Parlimen itu.

Seorang pemimpin MIC ketika ditanya berkenaan perkara itu berkata polis mengarahkan ia diturunkan kerana pihak yang ingin menaikkan belon udara panas perlu mendapatkan permit dahulu.

Sementara itu penduduk sekitar memberitahu Malaysiakini belon itu hanya dinaikkan untuk tempoh yang singkat dan diturunkan kira-kira pada jam 12 tengah hari semalam.

Di bawah undang-undang Malaysia, mana-mana pihak memerlukan permit dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam untuk menerbangkan, melancarkan atau menambat belon tersebut.