Air, premium tanah tinggi antara isu 'membelit' Kelantan
Masalah air yang membelenggu Kelantan sejak puluhan tahun, serta kenaikan kadar cukai tanah menjadi antara isu utama yang membelenggu pengundi Kelantan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 ini.
Tinjauan Malaysiakini mendapati ada dalam kalangan mereka berpendapat PAS Kelantan bertanggungjawab atas kegagalan masalah itu diselesaikan sejak berpuluh-puluh tahun silam.
Kakitangan swasta, Abd Halim Che Muhammad, berpendapat masalah air kini seperti sudah sinonim dengan Kelantan.
"Isu di Kelantan ini sinonim dengan masalah air. Kerajaan PAS Kelantan gagal menanganinya sehingga kini meskipun sudah berpuluh tahun mentadbir Kelantan.
"Kalau musim perayaan, tekanan air akan menjadi rendah, lebih teruk lagi warna airnya dah umpama teh tarik.
“Inilah yang terpaksa rakyat Kelantan hadapi.
"Saya berpendapat, kerajaan Kelantan setakat ini masih gagal menangani isu ini meskipun mereka sebahagian daripada kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.
Isu air yang belarutan sejak sekian lama turut menjadi modal kempen parti politik yang berlawanan dengan PAS.
Sebelum ini isu air menjadi senjata ampuh kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerang kerajaan PAS Kelantan.
Perhatian pada pengundi muda
Penternak, Mohd Noor Mahasan, pula berpandangan selain isu air, kenaikan kadar premium tanah juga adalah suatu perkara yang perlu diperjuangkan parti politik bertanding.
Katanya peningkatan kadar premium tanah memang membebankan rakyat khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.
"Kenaikan kadar premium tanah adalah sesuatu yang membebankan rakyat. Bukan itu saja proses pecah lot untuk dapatkan geran juga mengambil masa lebih setahun.
"Kenaikan kadar premium pula kami rasakan tidak munasabah dengan mutu perkhidmatan," katanya ketika ditemui di Bachok.
Pengundi muda, Mohd Aiman Ismail, pula berpendapat isu air bersih di Kelantan merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang inginkan undi mereka.
"Masalah air ini bukan perkara baru, puluhan tahun sudah tiada penyelesaian. Rakyat mahu isu ini diselesaikan segera.
"Kerajaan Kelantan gagal menangani isu ini sehingga hari ini, saya harap pihak mana yang jadi kerajaan selepas ini masalah air berilah keutamaan khusus," katanya.
Seorang lagi pengundi muda, Muhammad Faqrul Azam Ibrahim, berharap isu keperluan asas dan kehendak orang muda perlu diberi perhatian.
"Kelantan ini banyak perkara yang perlu dibangunkan termasuk isu air dan jalan raya serta infrastruktur asas lain.
"Sudah pasti tumpuan kepada kehendak pengundi muda juga perlu diberi perhatian oleh pemimpin politik," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai