Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan bantahan awal pendakwaan berhubung permohonan Bung Moktar, isteri 9 Dis

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 9 Dis untuk memutuskan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri bagi semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasangan itu membela diri atas pertuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar manakala Datuk K. Kumaraendran bagi pihak Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

“Saya memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan oleh kedua-dua pihak,” kata JC.

Terdahulu, Law berhujah bahawa kedua-dua tertuduh tidak boleh mengemukakan afidavit dan nota prosiding bagi semakan kerana dalam kes jenayah, mana-mana rekod mesti diperoleh daripada mahkamah dan bukan daripada pasangan itu melalui afidavit.

Sementara itu, Athimulan dalam hujahnya berkata: “Proses undang-undang dengan membawa mahkamah bagi melaksanakan bidang kuasa semakannya melalui usul itu adalah untuk memastikan keadilan dan bukan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Akta Mahkamah Kehakiman mahupun Kanun Prosedur Jenayah tidak mewajibkan hanya surat perlu dihantar bagi semakan jenayah. Sama ada melalui surat atau usul, tiada pemohon boleh memaksa mahkamah ini untuk mendengar semakan itu mengikut kehendak pemohon. Undang-undang itu jelas,” hujah Athimulan.

Sementara itu, Kumaraendran telah memetik undang-undang kes India dan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh menolak permohonan semakan itu berdasarkan kesilapan prosedur.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 Sept lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Kedua-dua pemohon berkata hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan pasangan itu membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

- Bernama