Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Muhyiddin: Anwar bohong kata saya gagal urus Covid-19

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menafikan kritikan Anwar yang menyatakan kerajaan ketika di bawah pimpinannya gagal menguruskan wabak Covid-19.

Dia yang menjadi perdana menteri selepas 'Langkah Sheraton' pada awal 2020 berkata, dakwaan Anwar itu bertentangan dengan pendapat pakar yang berpandangan negara telah menguruskan wabak itu dengan baik.

“Anwar Ibrahim baru-baru ini mengatakan saya ini ‘bapa PKP (perintah kawalan pergerakan)', gagal menguruskan Covid-19 sehingga kira-kira 36,000 rakyat Malaysia terkorban.

“Ini Anwar Ibrahim buat tuduhan kepada saya, tapi malam ini saya nak jelaskan itu adalah 'allegation' (dakwaan) yang bohong, kerana hari ini (semalam) ada satu artikel yang ditulis pakar antara lain menyatakan tindakan yang dibuat oleh saya menguruskan Covid-19 sewaktu memimpin negara adalah antara yang terbaik di seluruh dunia.

“Bukan saya kata, kalau saya (yang) kata tuan-tuan kata saya ini masuk bangkul angkat sendiri,” katanya ketika berucap pada siri jelajah PN Best di Balok, dekat Kuantan, malam tadi.

Dia berkata artikel itu disiarkan di sebuah akhbar tempatan semalam namun tidak memperincikannya secara lanjut.

Walaupun cuaca yang tidak menentu dengan hujan berterusan sekitar Kuantan, ia tidak menghalang lebih 1,000 orang hadir ke siri jelajah tersebut.

Muhyiddin ketika memberi perutusan khas ketika penularan wabak Covid-19

Turut serta adalah Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua PAS Pahang Andansura Rabu.

Muhyiddin dalam ucapannya juga mengulangi dakwaan terdapat persefahaman antara Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk bersama-sama membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Memang ada persefahaman yang sudah terjalin antara Zahid dan Anwar supaya lepas pilihan raya ini, kalau Umno tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan, maka dia akan ambil langkah untuk bergabung dengan PH dipimpin Anwar.

“Siapa di belakang PH? Anwar Ibrahim? Bukan. DAP? DAP ini saudara pun tahu bagaimana ideologi mereka yang terbentuk sekian lama, dia menolak hak istimewa orang Melayu, tidak mendukung perjuangan Islam sebagai agama Persekutuan, banyak (perkara) bercanggah dengan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya lagi.

Muhyiddin menyuarakan kebimbangannya jika kerjasama itu menjadi kerajaan.

"Kalau betullah Umno dan PH bergabung membentuk jajaran baru, siapa akan lebih menguasai (kerajaan) dalam jajaran baru itu? Umno atau PH?

"Saya bimbang kalau ini berlaku, maka apakah nasib kita semua pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dakwaan sama turut dilontarkan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang berkata Zahid akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri dan sebagai balasan, Anwar akan membantunya untuk melepaskan diri dari kesnya di mahkamah.

Bagaimanapun, Zahid berkata dakwaan itu hanyalah cubaan Mahathir untuk mengalihkan isu manakala Anwar berkata dia tidak pernah berbincang dengan Zahid berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Muhyiddin dalam siri kempennya di Pahang menyifatkan kawasan Felda kini bukan lagi kubu kuat BN memandangkan golongan peneroka sudah lebih terbuka untuk menerima parti lain.

“Kalau dulu... Felda memang menjadi kubu kuat Umno dan juga BN tetapi sekarang tak begitu lagi.

"Kalau dulu hendak naikkan bendera pembangkang... memang susah dan tak ada yang naik di Felda,” katanya selepas melawat gugusan Felda Lepar Hilir, dekat Kuantan, petang semalam.