Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pastikan kanak-kanak berkeperluan khas dapat pendidikan berkualiti - Ras Adiba

Usaha berterusan terhadap pendidikan khas adalah perlu bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas (SEN) mendapat pendidikan berkualiti selaras dengan keperluan unik mereka, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat peluang yang sama seperti orang lain, tanpa mengira kesukaran yang mereka hadapi dan pendidikan khas membolehkan setiap pelajar memperoleh tahap kebebasan yang tinggi dan mencapai potensi penuh mereka.

“Kanak-kanak berkeperluan khas harus ditangani mengikut keperluan mereka, supaya walaupun mereka kurang upaya, mereka dapat mengembangkan kebolehan kognitif mereka dengan jelas. Membangunkan sistem pendidikan yang lebih luas serta pendidik yang mempunyai latihan khusus adalah satu keperluan mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk, Seruan Usaha Bersepadu Inovator Dalam Menyokong SEN di Malaysia pada Simposium SEN 2022 yang diadakan secara hibrid hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata kanak-kanak yang mempunyai SEN tidak boleh disamakan dengan pelajar lembap atau individu kurang cerdik dan guru serta ibu bapa harus menyedari bahawa setiap kanak-kanak mempunyai minat, kebolehan, kecerdasan dan pilihan pembelajaran yang unik.

Ras Adiba berkata adalah penting bagi penyedia penjagaan kanak-kanak dan keluarga untuk mencari sebarang kelewatan perkembangan kanak-kanak supaya mereka boleh mendapatkan sokongan yang tepat seawal mungkin dalam kehidupan.

Beliau berkata kerajaan, profesional penjagaan kesihatan, pendidik dan keluarga perlu bekerjasama untuk menyebarkan kesedaran mengenai ketidakupayaan dan kelewatan perkembangan serta mewujudkan sistem yang betul untuk membantu kanak-kanak istimewa mendapat sokongan tepat pada masanya.

Ras Adiba berkata guru pendidikan khas perlu berdedikasi, inventif, bijak dan tekad manakala penghasilan buku kanak-kanak yang boleh diakses harus dioptimumkan.

Beliau juga mencadangkan akademi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi mereka yang menghadapi masalah pembelajaran untuk memberi tumpuan kepada kemahiran keras dan insaniah.

Walaupun pengangguran dan kekurangan tenaga kerja yang tinggi untuk orang dewasa autistik, sebagai contoh lebih daripada satu pertiga pelajar dengan gangguan spektrum autisme (ASD) akhirnya mengambil jurusan STEM, yang sering memerlukan gabungan kemahiran keras dan insaniah, tambah Ras Adiba.

“Penyelesaian inovatif diperlukan untuk bahan pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak yang cacat penglihatan atau rabun atau pekak atau kurang pendengaran supaya pelaksana pendidikan boleh membuat keputusan termaklum tentang cara menyokong keperluan literasi dan pembelajaran kanak-kanak kurang upaya,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penggunaan robot untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran, ketidakupayaan dan autisme kerana ramai kanak-kanak autisme mengalami masalah spektrum autisme (ASC) bergelut dengan aspek sosial pengajaran tradisional.

- Bernama