Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pertembungan sengit dua presiden parti di Julau

Tumpuan PRU15 di Sarawak pastinya terarah pada perebutan kerusi Parlimen Julau yang dijangka sengit, mengulangi sejarah PRU14 yang menyaksikan dua presiden parti politik bertanding ibarat buku bertemu ruas.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Salang Gandum, 71, calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berusaha merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya antara 1999 dan 2018, sebelum tewas kepada Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Soon @ Larry Sng We Shien, 43, pada PRU14.

Selain dua pemimpin parti itu, calon lain ialah Suhana Abdullah@Susan George, 37, dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan calon bebas Elly Lawai Ngalai, 55, yang akan bersama-sama bertaruh untuk memenangi minda dan hati pengundi yang didominasi kaum Iban, membabitkan seramai 34,850 pengundi.

Bagi seorang pesara guru, Emand Sedau, 59, dia berpendapat kemenangan di Julau amat penting bagi Salang untuk membuktikan pengaruhnya selaku pemimpin parti, kerana dia merupakan satu-satunya presiden parti dalam GPS yang bukan sahaja tidak mempunyai kerusi Parlimen mahupun kerusi DUN sejak mengambil alih tampuk kepimpinan PRS berikutan kematian Dr James Jemut Masing, tahun lalu.

“Pastinya, PRU kali ini bakal menjadi pertandingan yang sukar untuk Salang kerana pada PRU14, dia hanya memperoleh 8,174 undi berbanding 10,105 undi yang diperoleh Sng,” katanya kepada Bernama.

Emand yang berasal dari Nanga Ensiring di Julau dan kini menetap di Sibu berkata pengundi tempatan dilihat memihak kepada Sng, calon yang lebih muda yang telah banyak membantu penduduk terutama dari segi dana pendidikan untuk anak-anak mereka.

Namun begitu, dia berkata rekod prestasi Salang selama empat penggal dan menjadi calon GPS yang mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, bakal memberikan kelebihan tertentu kepadanya berbanding lawannya yang lebih muda.

"Berada dalam GPS, Salang masih boleh raih kemenangan tetapi harus dibantu dua Adun di bawah Parlimen Julau (iaitu Rolland Duat Jubin untuk Meluan dan William Mawan Ikom dari Pakan)," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja minyak dan gas yang berasal dari Julau, Amin Dom, 35, berkata impak yang boleh ditimbulkan oleh dua calon bebas pada pilihan raya kali ini tidak boleh dipandang remeh kerana mereka boleh memecah undi yang amat diperlukan untuk kedua-dua presiden parti itu.

Dia mengambil contoh Elly Lawai yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 bagi kerusi DUN Meluan atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan berjaya memperoleh 4,447 undi iaitu hanya kalah tipis dengan majoriti kurang 1,000 undi kepada penyandang Rolland Duat yang memperoleh 5,269 undi .

“Daripada apa yang saya lihat, semakin ramai pengundi yang menyokong Elly. Dia dijangka mengikuti rapat di belakang kedua-dua presiden itu. Suhana tidak sepatutnya menjadi ancaman, namun jika lebih banyak undi diperolehinya, bermakna lebih tipislah peluang untuk menjadi pemenang mutlak,” kata Amin.

Pertempuran Parlimen Julau juga mendapat perhatian Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir yang berpendapat bahawa sentimen politik di akar umbi kini seolah-olah memihak kepada Salang, berdasarkan peranan yang memastikan kemenangan GPS di DUN Meluan dan Pakan pada PRN negeri, 18 Dis 2021.

Jeniri berkata Salang mempunyai pengaruh politik yang kuat, selain aktif di Julau sejak 2018.

“GPS mempunyai kepimpinan yang hebat dan jentera di peringkat akar umbi yang berkesan. Berdasarkan pilihan raya negeri yang lalu, saya rasa sentimen politik di peringkat akar umbi telah beralih kepada Salang,” katanya.

Pensyarah Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dick Lembang Dugun pula berpendapat reputasi dan prinsip politik Sng telah menjadi isu sejak memenangi kerusi itu sebagai calon bebas pada 2018.

Sng menyertai PKR hanya beberapa hari selepas memenangi kerusi itu tetapi keluar daripada parti itu pada 28 Feb 2021 untuk menjadi ahli parlimen bebas mesra Perikatan Nasional, sebelum membentuk PBM pada November tahun yang sama.

“Sng, dia dikenali sebagai katak. Saya rasa tidak wajar dia bertanding di mana-mana kerusi kerana sentiasa bertukar parti. Di manakah prinsip dan integritinya?” soalnya.

-Bernama