Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Kalau bukan sebab Ahmad Maslan, Pontian kawasan kelabu BN'

Kerusi parlimen Pontian dari segi sejarah kekal bersama Barisan Nasional tetapi kemenangan kecil penyandangnya Ahmad Maslan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah menjadikannya sasaran pembangkang.

Ahmad mempertahankan kerusinya pada 2018 menentang Bersatu dan PAS dengan majoriti 833 undi, turun daripada lebih 13,000 undi pada pilihan raya umum sebelumnya.

Bagaimanapun, kali ini Ketua Wanita Umno Bahagian Pontian Hasrunizah Hassan (gambar, bawah) berkata rekod prestasi Ahmad sebagai ahli parlimen selama tiga penggal sudah cukup untuk mengekalkan kerusi itu "putih" atau dengan kata lain selamat untuk BN.

"Kalau tengok sebelum pilihan raya negeri kawasan Pontian masih lagi kita tengok kawasan putih.

"Apapun bergantung pada calon yang diletakkan di Pontian ini dan kita tahu Ahmad Maslan (guna formula) KBSMM (ziarah kenduri, bersalin, sakit, malapetaka, mati).

"Tok Mad (Ahmad) ni istiqamah sejak dulu (mula) jadi MP sampailah ketika tak ada jawatan masa BN tak jadi kerajaan, KBSMM dia tak pernah tak ziarah.

"Jadi putih di Pontian. Kalau letak calon yang agak tak berapapun, saya rasa putihpun akan jadi kelabu.

"Tapi putih melepak macam manapun kami kena kerja kuat sebab itu hanya telekan. Kebenarannya akan diterjemahkan 19hb nanti," katanya.

Hasrunizah pada pilihan raya negeri Mac lalu merampas semula DUN Pulai Sebatang daripada Pakatan Harapan manakala Ketua Umno Bahagian Pontian Hasni Mohammad mempertahankan kerusi Benutnya untuk penggal keempat.

Mengikut keputusan pilihan raya negeri yang menyaksikan BN membentuk kerajaan dengan 40 dari 56 kerusi, Hasrunizah yakin momentum akan berterusan menjelang hari pengundian pada 19 Nov.

'Pilih yang kurang teruk'

Sejak PRU14 dan pilihan raya negeri, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan pengundi baru termasuk di Pontian berikutan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pemilih.

Hasrunizah menasihatkan pengundi supaya tidak memilih seperti mencari pasangan hidup daripada kalangan "yang terbaik daripada yang terbaik."

"Tapi bila kita nak pilih parti, ayat nya bukan yang terbaik di kalangan yang baik-baik.

"Saya kata walaupun saya totok BN, ketua Wanita Umno Pontian, saya akui parti saya ada melakukan kesalahan. Parti lain ada tak (lakukan kesalahan)? Ada.

"Parti lain juga ada lakukan kesilapan. Jadi bila kita nak pilih parti ayatnya adalah, pilihlah yang kurang buruk berbanding buruk-buruk yang lain," katanya.

Jelasnya, meskipun dia "totok" BN itu tidak bermakna dia bersetuju dengan semua dasar kerajaan dan ada juga pemimpin BN yang tidak disukainya.

"Tapi inilah yang kurang buruk, dan terbukti dari segi jasa dan pengalaman (BN) mentadbir," katanya.

Ahmad dicabar calon PH Shazwan Zdainal, calon PN Isa Abdul Hamid dan Jamaludin Mohamad daripada GTA.

'Wanita Umno setia'

Sementara itu, Hasrunizah berkata anggota Wanita Umno setia kepada parti walaupun ada rasa tidak puas hati termasuk golongan wanita cuma mewakili 11 peratus calon BN pada PRU15.

"Buatlah apapun marah-marah bising-bisingpun tetap setia pada parti. Jadi sekarang dah lihat walaupun ada bising-bising tetapi tidak menjejaskanpun dari segi kesetiaan untuk membantu siapapun yang diletak.

"Yang penting BN. Tak kira Umno, MIC, MCA, yang penting BN. Wanita Umno bekerja untuk siapapun calon yang dibawah BN," jelasnya lagi.

Angka 11 peratus dibangkitkan Ketua Penerangan Wanita Umno Norshida Ibrahim sebelum pencalonan rasmi Sabtu lalu, berdasarkan pengumuman awal 160 calon BN, yang mana hanya 18 calon wanita.