Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 300 projek mitigasi banjir dilaksana di Melaka  - exco

Sebanyak 332 projek mitigasi banjir bernilai hampir RM70 juta dibangunkan bagi mengatasi masalah bencana tersebut di negeri ini dalam tempoh Januari lepas hingga hari ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata projek berkenaan dibangunkan menerusi peruntukan disalurkan kerajaan negeri kepada pelbagai agensi dan jabatan seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, pejabat daerah dan Jabatan Kerja Raya.

"Daripada jumlah keseluruhan projek mitigasi yang dibangunkan itu, 139 projek ialah di daerah Melaka Tengah, Jasin (117 projek) dan Alor Gajah (76 projek).

"Pembangunan projek mitigasi berkenaan sebahagian usaha jangka pendek dan sederhana dilaksanakan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan terlibat," katanya pada sidang akhbar di Melaka hari ini.

Banjir di Melaka pada 2019, gambar hiasan

Beliau berkata kerajaan negeri turut melaksanakan rancangan tebatan banjir (RTB) sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah banjir dengan projek yang sedang berjalan membabitkan RTB Alor Gajah Fasa Satu, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Jasin dan RTB Merlimau menerusi peruntukan hampir RM1 bilion daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air. 

Katanya beberapa projek RTB seperti RTB Sungai Melaka Fasa Satu dan RTB Sungai Putat, masih di peringkat reka bentuk dan penyediaan dokumen tender.

Rahmad berkata terdapat pelaksanaan RTB yang mengambil tempoh lama kerana melibatkan pelbagai urusan perundangan termasuk pengambilan tanah.

Menurutnya menerusi pelaksanaan projek mitigasi dan RTB berkenaan, kira-kira 90 peratus masalah banjir di negeri itu dijangka dapat diselesaikan.

"Setakat ini, kebanyakan banjir yang berlaku ialah di daerah Alor Gajah seperti di Gadek, Seri Pengkalan dan Durian Tunggal ekoran limpahan air sungai dari Negeri Sembilan yang terletaknya hulu sungai negeri ini, selain penempatan yang terlibat terletak di kawasan rendah," katanya.

- Bernama