Sanusi: Orang Kedah jadi jutawan jika kerajaan izin eksport ketum
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor meletakkan harapan tinggi agar kerajaan persekutuan yang akan dibentuk PN selepas ini akan membenarkan daun ketum dieksport.
Menurut Sanusi perkara itu sudah disuarakannya kepada pihak yang berkenaan berkali-kali tetapi mendakwa ia tidak sempat dilaksanakan kerana parlimen dibubarkan.
Sambil mengkritik inisiatif e-wallet RM30 oleh kerajaan PH sebelum ini, pengarah pilihan raya PAS Pusat itu berkata jumlah tersebut menyamai harga sekilogram daun ketum.
Dalam nada berseloroh, Sanusi yakin jika daun ketum dibenarkan dieksport ramai penduduk di Kedah boleh jadi jutawan.
Pada masa sama Sanusi memberitahu, disebabkan larangan eksport itu kegiatan menyeludup daun ketum berlaku kerana nilainya yang tinggi.
"Kalau seludup ke Siam (Thailand) boleh dapat RM150, sebab itu saya kata kena benarkan eksport ketum.
"(Kerajaan) Dekat-dekat nak bagi dah hari tu, bubar pulak dah. Kalau tidak, (orang) di Pendang ini jutawan semua.
“Bukan saja Pendang, malah di Sik, Padang Terap… merata-rata dok ada.
“Tunggu sikit lagi, saya habaq, jangan bubar lagi tunggu kami eksport dulu," katanya ketika berucap di program ceramah umum PN Best di Pendang, Kedah, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan calon PN parlimen Pendang, Awang Hashim.
Sudah disuarakan berkali-kali
Sanusi berkata kerajaan negeri akan mengusahakan kebenaran tersebut "sampai jadi" kerana pokok ketum memang sudah banyak ditanam di Kedah.
Tambah Adun Jeneri itu lagi, tiada undang-undang melarang seseorang menanam ketum kerana kesalahan hanya dianggap dilakukan apabila bahan tersebut dituai dan dijual.
"Kita nak (ketum) dibenarkan dieksport. Kalau tak (boleh) eksport puak tu dok rebus bawah rumah. Dia tak tahu nak buat kerja apa, depa kutip, rebus bawah rumah, lepas itu pening," katanya.
Dia menjelaskan PN mahu daun ketum dipasarkan ke Thailand kerana negara terbabit memiliki teknologi untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan ketum, termasuk ubat dan minuman kesihatan.
"Kita ada banyak bahan mentah tapi (kerajaan pusat) tak bagi kita jual," katanya.
Sehubungan itu Sanusi berharap jika PN memenangi PRU ke-15 nanti dan Muhyiddin menjadi perdana menteri kerajaan persekutuan akan membenarkan pengeksportan daun ketum.
Dia juga berharap pada ketika itu nanti salah satu lesen mengeksport diberikan kepada anak syarikat kerajaan Kedah.
"Insya-Allah akan ada, kita dah bersuara berkali-kali. Depa kata itu MB ketum, biaq pi-lah. Aku nak kira orang Pendang boleh jual, tanam dah," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai