Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malapetaka iklim: 'Dunia sedang memecut ke neraka' - PBB

GLOBAL | Pemimpin dan diplomat dunia merangka perjuangan terhadap krisis pemanasan global sebagai pertarungan hidup mati spesis manusia ketika berucap pada majlis pembukaan sidang kemuncak iklim COP27 di Mesir.

Malah ketua PBB mengisytiharkan kekurangan kemajuan mengenai perubahan iklim setakat ini menyebabkan dunia mempercepatkan "jalan ke neraka".

Mesej pedas itu, yang dikumandangkan oleh ketua-ketua negara Afrika, Eropah dan Timur Tengah, menetapkan nada mendesak apabila kerajaan kira-kira 200 negara memulakan perbincangan selama dua minggu di bandar peranginan tepi pantai Sharm el-Sheikh untuk memikirkan cara mengelakkan akibat perubahan iklim yang paling teruk.

"Manusia mempunyai pilihan: bekerjasama atau binasa," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres (gambar, bawah) kepada perwakilan pada Isnin.

Guterres menggesa para ketua negara untuk mempercepatkan peralihan daripada bahan api fosil dan mempercepatkan pembiayaan kepada negara miskin yang bergelut akibat kesan bencana iklim yang telahpun berlaku.

Walaupun berdekad-dekad perbincangan iklim dibuat namun setakat ini, negara-negara telah gagal untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau global, dan ikrar mereka untuk berbuat demikian pada masa hadapan tidak mencukupi untuk mengekalkan iklim daripada pemanasan ke tahap yang dikatakan saintis akan menjadi malapetaka.

Perperangan di Eropah, hubungan diplomatik yang merosot antara Amerika Syarikat dan China, inflasi yang melonjak, dan bekalan tenaga yang ketat mengancam untuk mengalih perhatian negara lebih jauh daripada agenda memerangi perubahan iklim, kata Guterres.

Katanya, perkembangan ini telah mengancam untuk menggagalkan peralihan kepada tenaga bersih.

"Pelepasan gas rumah hijau terus meningkat. Suhu global terus meningkat. Dan planet kita semakin menghampiri titik kritikal yang akan menjadikan kekacauan iklim tidak dapat dipulihkan," katanya.

"Kita berada di lebuh raya menuju ke neraka dengan kaki kita terus memecut."

Bekas naib presiden AS Al Gore, yang turut berucap pada majlis itu, berkata pemimpin global mempunyai masalah kredibiliti apabila melibatkan perubahan iklim dan mengkritik usaha berterusan negara maju terhadap sumber gas di Afrika, yang disifatkannya sebagai "penjajahan bahan api fosil."

"Kita mempunyai masalah kredibiliti, kita semua ini: Kita bercakap dan kita mula bertindak, tetapi kita tidak melakukan secukupnya," kata Gore (gambar, bawah).

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata walaupun dunia terganggu oleh rentetan krisis global, namun amat penting untuk tidak mengorbankan komitmen negara dalam memerangi perubahan iklim.

"Kita tidak akan mengorbankan komitmen kita terhadap iklim kerana ancaman Rusia dari segi tenaga," kata Macron, "jadi semua negara mesti terus menegakkan semua komitmen mereka."

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata perang di Ukraine menjadi sebab untuk mempercepatkan usaha menghapuskan penggunaan bahan api fosil di dunia.

Keselamatan iklim berjalan seiring dengan keselamatan tenaga, justeru Rishi berkata perang menjijikkan oleh Putin di Ukraine, dan kenaikan harga tenaga di seluruh dunia bukanlah sebab untuk bertindak perlahan dalam perubahan iklim.

"Malah ia adalah sebab untuk bertindak lebih pantas," katanya.

Walaupun pemimpin cenderung bersetuju mengenai risiko pemanasan global, ucapan mereka mendedahkan perpecahan besar.

Ini termasuk sekiranya bahan api fosil boleh memainkan peranan dalam masa depan yang mesra iklim, dan siapa yang patut membayar kerosakan akibat bencana iklim yang telah berlaku.

UAE akan terus keluar minyak, gas

Sejurus selepas ucapan Guterres menggesa berakhirnya era bahan api fosil, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan naik ke pentas dan berkata negaranya, ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum, akan terus mengeluarkannya selagi ada keperluan.

"UAE dianggap sebagai pembekal tenaga yang bertanggungjawab, dan ia akan terus memainkan peranan ini selagi dunia memerlukan minyak dan gas," katanya.

UAE akan menjadi tuan rumah persidangan COP28 PBB pada tahun depan, yang akan cuba memuktamadkan perjanjian yang dibuat tahun lepas di Britain dan rundingan di Mesir tahun ini.

Banyak negara yang kaya dengan sumber minyak, gas dan arang batu telah mengkritik desakan untuk peralihan pantas daripada bahan api fosil, dengan alasan ia melulu dari segi ekonomi dan tidak adil kepada negara miskin dan kurang maju untuk pertumbuhan ekonomi mereka.

"Kami menyokong peralihan hijau yang saksama dan adil, bukannya keputusan yang menjejaskan pembangunan kami," kata Presiden Senegal dan Pengerusi Kesatuan Afrika, Macky Sall.

Negara-negara miskin yang secara sejarahnya cuma sedikit menyumbang dalam pelepasan karbon juga berhujah bahawa mereka harus diberi pampasan oleh negara kaya atas kerugian akibat bencana yang didorong oleh iklim termasuk banjir, ribut dan kebakaran hutan.

Penandatangan Perjanjian Paris 2015 telah berikrar untuk mencapai matlamat jangka panjang mengekalkan suhu global daripada meningkat lebih daripada 1.5°C melebihi paras sebelum zaman perindustrian.

Para saintis mengatakan risiko perubahan iklim akan berada di luar kawalan apabila suhu dunia melepasi paras ambang 1.5°C itu.

Guterres berkata matlamat itu hanya mungkin dilaksanakan jika dunia boleh mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Dia meminta negara-negara bersetuju untuk menghentikan penggunaan arang batu secara berperingkat, salah satu bahan api fosil yang paling banyak melepaskan karbon, menjelang 2040 di seluruh dunia.

Ahli-ahli Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula mahu mencapai sasaran itu menjelang 2030.

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberitahu Reuters di luar persidangan itu bahawa sasaran iklim bergantung pada pencapaian harga karbon global sekurang-kurangnya AS$75 satu tan menjelang akhir dekad, dan kadar perubahan dalam ekonomi sebenar masih "terlalu lambat".

Sementara itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkata dalam laporan yang diterbitkan pada hari Isnin bahawa ia harus menangani halangan perdagangan untuk industri rendah karbon supaya dapat menangani peranan perdagangan global dalam memacu perubahan iklim.

(Laporan oleh William James, Valerie Volcovici dan Simon Jessop; Penyuntingan oleh Richard Valdmanis, Katy Daigle, Barbara Lewis, Frank Jack Daniel, Deepa Babington dan Lisa Shumaker)

- Reuters


BACA BERKAITAN:

COP27: Siapa patut bayar ganti rugi bencana iklim