Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ramanan terus asak KJ isu ECM Libra 

Calon Pakatan Harapan di Sungai Buloh R Ramanan mendakwa lawannya daripada BN Khairy Jamaluddin masih gagal menjelaskan kontroversi ECM Libra.

Sebaliknya, kata Ramanan, menteri kesihatan itu mengelak menyentuh langsung berkaitan perkara itu.

Ketika ditemui Malaysiakini semasa berkempen, Ramanan berkata dia akan mengemukakan bukti jika Khairy betul-betul menjelaskan itu isu itu.

“Saya sudah minta dia jelaskan isu ini. Dan saya sudah timbulkan persoalan kepadanya.

“Jadi apa yang dia perlu buat ialah jawab soalan. Lepas jawab tiga soalan saya, saya akan kemuka bukti yang saya ada. 

“Saya akan patahkan hujahnya. Kemudian dia boleh putuskan sama ada mahu saman saya atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, Khairy tidak pernah menjelaskan isu itu sejak terpalit dengan kontroversi ECM Libra pada 2006.

Semalam, Khairy mencabar Ramanan membuat tuduhan itu supaya dia dapat menyamannya.

Ramanan pertama kali membangkitkan isu itu dalam wawancara dengan Malaysiakini pada 5 Nov.

Kontoversi itu muncul apabila ECM Libra dibenarkan bergabung dengan syarikat kerajaan  Avenue Capital, tidak lama selepas Khairy membeli sahamnya.

Bapa mentua Khairy, Abdullah Ahmad Badawi ketika itu menjadi perdana menteri. Perkara itu disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Susulan tekanan awam, Khairy menjual saham-sahamnya dalam  ECM Libra.