Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon BN yakin dapat tawan semula Johor Bahru

PRU15 | Calon dan jentera BN Johor kini giat berkempen untuk mengulangi semula kejayaan gabungan itu pada pilihan raya negeri Mac lalu, termasuk menawan semula kerusi parlimen Johor Bahru yang terletak di selatan negeri itu.

Musim tengkujuh yang membawa hujan lebat dan kemungkinan berlaku banjir mungkin menyukarkan kempen, namun calon BN di Johor Bahru, Johan Arifin Mohd Ropi kelihatan bersedia menghadapi bencana berkenaan.

Pada hari kedua berkempen, Johan mengadakan walkabout di pasar malam Kampung Melayu Majidee, lokasi yang menjadi tarikan di kawasan yang kini disandang oleh Akmal Nasir dari Pakatan Harapan (PH).

Ditemani kira-kira 20 penyokong yang membawa payung berlogokan BN, Johan, 42 memperkenalkan dirinya kepada peniaga di pasar malam berkenaan.

Laluan mereka berakhir di Kampung Melayu Medan Niaga, tempat sarapan popular yang dinaik taraf ketika di bawah bekas ahli parlimen dan veteran Umno, Shahrir Samad, yang masih merupakan ketua bahagian Umno Johor Bahru.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Shahrir tewas kepada Akmal, namun daerah mengundi Kampung Melayu Majidee di bawah DUN Larkin, kekal dimenangi BN.

Kali ini, Johan berkata kempen yang dijalankan dalam tempoh 48 jam lalu mendapat sambutan baik daripada kalangan pengundi.

Johan juga menafikan persepsi bahawa kawasan sekitar dianggap sebagai kawasan "hitam" atau sukar dimenangi BN.

“Bila saya dekati nampak reaksi pengundi cuba kenali dan fahami apa kita cuba bawakan," kata anak jati Johor Bahru itu yang sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin.

Pengerusi PH Johor, Salahuddin Ayub yang bertanding di Johor Selatan sebelum ini menyatakan keyakinan gabungan itu boleh menang dengan kadar keluar mengundi lebih tinggi pada hari mengundi, 19 No ember ini.

Sebagai contoh, di Larkin yang dimenangi BN pada pilihan raya negeri dengan majoriti 6,178 undi, terdapat kira-kira 6,000 tidak keluar mengundi berbanding PRU 2018.

Ditanya mengenai strategi BN untuk meningkatkan atau mengekalkan sokongan pengundi Melayu, Johan berkata:

"Saya rasa pengundi maklum bahawa mereka sedar apa yang ditawar PH hanya provokosi dan agenda politik”.

Pilihan raya negeri lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi hanya 55 peratus.

Bagaimanapun pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan Undi 18 meningkatkan jumlah pengundi baru dengan ketara.

PH Johor menyasarkan angka 75 peratus keluar mengundi untuk mempertahankan 18 kerusi parlimennya dan menawan sehingga empat kubu kuat Umno.

"Kami harapkan penglibatan lebih baik - kami bukan sekadar mahu mengundi BN tapi jadi sebahagian dalam BN.

"Kami meraikan penglibatan pengundi kami dalam proses demokrasi,” kata Johan.

Berhubung janji yang ditawarkan dalam kempennya, Johan yang juga seorang arkitek berkata dia ingin melihat Johor Bahru mencapai potensi pembangunan sepenuhnya, sejajar dengan kedudukan strategik yang bersempadan dengan Singapura.

"JB perlukan anak muda yang faham keperluannya dan tahu macam mana nak memartabatkan bandar ini,” kata Johan.

Selain Akmal, Johan turut berdepan dengan Mohd Mohtaj Yacob dari Perikatan Nasional dan Hairy Mahmood dari Pejuang.