Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Apa perlu perarakan jika kita negara demokrasi matang?

ULASAN l Pada 5 November lalu, genaplah 15 kali SPR menguruskan proses penamaan calon.

Setelah melihat enam pencalonan ditolak, rusuhan di Tenom, masa lama yang diambil semasa proses penamaan calon, sumber yang digunakan untuk mengawal pencalonan calon, dan jalan yang sesak, saya fikir sudah sampai masanya SPR menilai semula proses penamaan calon dalam pilihan raya seterusnya.

Apa yang perlu direformasikan?

Pertama, isi borang secara online. Dalam borang itu, mintalah calon muatnaik dokumen dan maklumat yang diperlukan baik itu pengesahan dari Lembaag Hasil Dalam Neger (LHDN), mahkamah, insolvensi, bayaran deposit, dan dokumen-dokumen lain yang diperlukan. Jika ini dilakukan, maka banyak masa dan sumber yang boleh dijimatkan.

Kedua, membenarkan hanya nama seperti dalam kad pengenalan sahaja yang digunakan di atas kertas undi. Sekarang ini peraturan membenarkan calon untuk menggunakan nama pilihan masing-masing di atas kertas undi. Sebab itulah selalu muncul kekeliruan di atas kertas undi apabila nama sebenar calon tidak digunakan.

Misalnya, nama sebenar bekas perdana menteri kita adalah berbeza dari nama yang dicetak dikertas undi. Sekiranya nama samaran ini digunakan, ia memberi kesan undang-undang untuk memverifikasikan identiti sebenar sekiranya memegang jawatan dalam kerajaan.

Ketiga, mempermudahkan borong pencalonan supaya tidak ada lagi pencalonan calon dibatalkan hanya kerana masalah teknikal. Sekiranya pencalonan secara online dilakukan, maka penolakan ini boleh dielakkan kerana pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menyemak borang calon terlebih dahulu.

Sekiranya tidak lengkap, SPR boleh meminta calon berkenaan melengkapkannya. Misalnya pencalonan calon PH DUN Kemayan ditolak kerana kesilapan teknikal berkaitan alamat dalam kad pengenalan yang berbeza daripada kawasan pencalonan. Pencalonan Peter Anthony untuk parlimen Tenom ditolak kerana perbezaan tafsiran kepada peruntukan Perkara 48(5) perlembagaan persekutuan.

Keempat, memperkenalkan e-nombor untuk menentukan aturan nombor calon dalam kertas undi. Sekarang ini dilakukan secara cabut undi menyebabkan ada calon yang datang awal menyatakan peraturan sebegini tidak adil.

Mereka menyatakan sepatutnya calon yang datang dahulu diberikan urutan nombor pertama. Bagi sesetengah calon, aturan nombor ini penting kerana ramai daripadanya tidak suka dengan angka 4 kerana membawa maksud yang tidak menguntungkan.

Apakah calon tidak perlu hadir lagi secara fizikal di tempat penamaan calon?

Masih perlu untuk pegawai SPR menyemak ketulinan dokumennya. Apabila semua dokumennya sah, maka umumlah calon berkenaan sebagai layak bertanding. Bertemu juga boleh memeriahkan demokrasi dan membolehkan calon-calon yang bertanding bersalam, dan penyokong-penyokong pula dapat meneriakkan sokongan masing-masing.

Kenapa SPR perlu mereformasikan proses penamaan calon ini?

Kita perlukannya kerana tiga sebab. Pertama, menyesuaikan dengan dunia digitalisasi. Dalam bajet 2021, sebanyak RM9.1 bilion diperuntukkan untuk menjayakan strategi digital nasional.

Dengan belanja dan kemudahan yang disediakan sebanyak itu, apakah susah bagi SPR memikirkan cara yang sesuai bagi memudahkan proses penamaan calon secara dalam talian.

Kedua, mengelakkan dari membazirkan masa untuk mengesahkan borang pencalonan.

Sekarang, proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 3 jam di pusat penamaan calon sebelum semuanya selesai (9-12 tengah hari).

Ketiga, mengelakkan pencalonan calon ditolak kerana masalah teknikal. Dengan mengisi borang secara dalam talian, setiap kesilapan calon boleh disemak terlebih dahulu oleh pegawai SPR.

Keempat, jimat sumber. Jika tidak polis perlu memagar kawasan pencalonan, dan mengerahkan tenaganya untuk menjaga keamanan kawasan penamaan calon yang sepatutnya boleh digunakan untuk menjaga keamanan yang lain.

Bagaimana melakukan reformasi ini?

Sebenarnya tidak payah untuk melakukan penambahbaikan ini. Cukup sekadar SPR melihat semula kesesuaian akta dan peraturan pilihan raya dengan perkembangan semasa.

Akta-akta tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan Peraturan (Perjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981, Peraturan Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya 2002, Peraturan Peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya 2003. Lihat dan semaklah semula akta dan peraturan ini dan pindalah mana yang berkaitan.

Tentunya ada yang menyatakan tidak meriah penamaan calon tanpa perarakan. Saya mahu beritahu kemeriahan demokrasi bukan terletak pada perarakan. Di negara demokrasi matang, penamaan calon tidak ada perarakan tetapi tetap meriah.

Kemeriahannya adalah ditentukan oleh pelaksanaan pilihan raya yang cekap dan berintegriti, media yang bebas dan adil, pengundi yang bermaklumat, debat antara pemimpin utama, dan mesej kempen yang jelas.

Apa lagi reformasi lain yang perlu SPR fikirkan? Ada beberapa hal yang memerlukan perhatian segera.

  • Panjangkan masa membuang undi supaya semua pengundi boleh mengundi. Dengan cara ini juga peratusan keluar mengundi akan tinggi.

  • Kempen diadakan secara dalam talian. Dengan cara ini, kita dapat menjimatkan banyak belanja hangus seperti bendera, kenderaan dan lainnya. Belanja inilah yang memberi beban yang besar kepada calon muda untuk bersaing.

  • Undi online. Ini menjimatkan kos dan masa kerana pengundi boleh melaksanakan tanggungjawabnya dalam talian tanpa perlu balik kampung, apa lagi bagi pelajar universiti dan pengundi dari Sabah dan Sarawak. Balik kampung ini juga adalah satu ruang untuk berlakunya ‘vote buying.’

Semoga saranan ini mendapat perhatian SPR dan kerajaan yang akan dipilih selepas ini. Kita hendak ikut negara maju, mengapa dalam hal ini kita lambat mengikutnya? Negara perlu berubah untuk maju.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang cendekiawan dan pemerhati politik. Tulisan ini pertama kali dimuatnaikkan di laman sosialnya dengan tajuk “Sampai masanya proses penamaan calon dilakukan secara online”.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.