Zahidi: Kerjaya politik siapa akan tamat? Saya atau Zahid?
PRU15 l Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin menegaskan keputusannya bertanding atas kapasiti calon bebas mempertahan kerusi itu adalah sebagai tanda protes terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya ia bukan soal kesinambungan karier politik namun keputusan pemimpin nombor satu BN itu mesti diberi tentangan.
"Kita tak tahu karier politik siapa akan tamat, saya ataupun Zahid dan Umno.
"Sebab kita bukan di zaman Umno menang walaupun letak tunggul kayu (jadi calon). Jika kerana sikap dia (Zahid) menyebabkan parti lain menang, mungkin Umno akan berkubur.
“Kalau Umno berkubur nasib Zahid pun sama," katanya ketika temubual bersama Malaysiakini di Kangar, Perlis, semalam.
Timbalan menteri komunikasi dan multimedia sementara itu berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakannya dan hala tuju politiknya selepas tampil sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi susulan tidak dicalonkan Umno dalam PRU ke-15.
Zahidi mendakwa pemilihan calon BN bagi Parlimen Padang Besar dibuat Zahid adalah tidak selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan perlembagaan parti.
Katanya sudah menjadi amalan supaya setiap bahagian mencadangkan lima nama calon dan pemilihan calon perlu dibuat melalui perbincangan lima pemimpin tertinggi parti (top five).
"Tetapi saya dimaklumkan yang buat keputusan ini adalah Zahid seorang saja, ia tidak demokratik. Ini salah satu cara pengkhianatan oleh presiden parti dengan mengkhianati calon yang boleh menang tapi tidak dipilih.
"Dan menyebabkan huru-hara habislah Umno dan sekarang kemenangan untuk Umno ini tipis. Kita khuatir akan kalah dalam pilihan raya kali ini. Jadi keputusan yang dibuat oleh Zahid ini kita perlu tentang, sebagai contoh di Perlis ini adalah satu keputusan yang menghina Umno.
"Di Perlis kita adalah ramai orang calon yang boleh diangkat kalau bukan saya sekali pun, tetapi dia pilih calon daripada luar, bukan orang Perlis. Jadi saya mewakili akar umbi bertanding sebagai calon bebas sebagai tanda protes kita," jelasnya.
Terdahulu, BN menamakan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan sebagai calon mereka di parlimen Padang Besar bagi menggantikan Zahidi.
Selain Zahidi, Zahida juga berdepan dengan Muhammad Yahaya (Pakatan Harapan); Rusydan Rusmi (Perikatan Nasional) and Ko Chu Liang mewakili Parti Warisan Malaysia (Warisan).
Sementara itu, Zahidi berkata apa yang lebih mengecewakannya adalah tindakan pemimpin utama Umno memilih calon-calon dalam kalangan mereka yang terpalit dengan kes rasuah.
Sebaliknya, kata bekas ketua Umno bahagian Padang Besar itu, calon-calon yang disifatkan sebagai boleh menang tidak dipilih.
"Inilah keputusan yang dibuat Zahid satu pengkhianatan. Seorang yang tidak berjiwa besar, bercelaru dan cuba menipu Umno dan menuduh orang lain tidak jiwa besar. Calon-calon kluster mahkamah dipilih, menunjukkan kepada rakyat calon rasuah tak ada masalah. Masih boleh menang bagi dia. Jadi umno boleh rasuah, bagi Zahid dan cara dia ini mempersendakan rakyat.
"Dia dan ramai yang terpalit dengan kes-kes rasuah atau kluster mahkamah ini angkat sumpah pula tak mahu rasuah. Menjadikan bahan lawak kepada rakyat Malaysia, Umno ini dilihat sebagai pelawak dan orang boleh tengok Zahid macam seorang pelawak, buat komedi.
"Ini sangat mengecewakan kita, bahawa mereka tidak serius dengan kehendak rakyat. Rakyat menolak rasuah, kita kalah dulu pun kerana rasuah. Sekarang ini mereka cuba kekalkan juga kluster mahkamah, ketuanya yang dituduh penyamun pula buang orang yang boleh menang dan tiada kes," kata Zahidi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai