Nenek dukung cucu usia 19 hari redah banjir
Lima keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi susulan limpahan air Sungai Lanchang di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh, Rantau Panjang, di Pasir Mas.
Narizan Zakaria, 57, berkata dia terpaksa meredah banjir separas 0.5 meter mendukung cucu lelakinya yang berusia 19 hari ke jalan utama, sebelum dibawa ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.
"Kawasan rumah memang biasa banjir namun semalam tidak hujan.
"Kejadian berlaku akibat limpahan Sungai Lanchang yang air memasuki rumah separas buku lali kira-kira 10 malam," katanya ketika ditemui di PPS berkenaan hari ini.
Norizan berkata bimbang dengan keadaan itu, mereka sekeluarga segera keluar dari rumah bagi berlindung di PPS tersebut.
"Anak saya, Zulkartini Hassan, 31, sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung... kalau air naik lagi, tak ada tempat nak selamatkan diri.
"Jadi, saya dukung cucu Mohamad Aydel Rafael Muhammad Saiful manakala Zulkartini dibawa menggunakan perahu," katanya dan menambah apabila tiba di jalan utama, Zulkartini dibawa dengan kereta ke PPS itu.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 17 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempat di PPS SK Gual To'Deh setakat 5 petang tadi.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai