Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ku Li: Pembangunan Gua Musang harus seiring kemampuan penduduk

Pembangunan di Gua Musang harus seiring dengan pendapatan dan kemampuan penduduk kerana jika tersilap langkah ia akan menguntungkan pihak lain, kata calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata kemajuan pembangunan itu adalah bersifat subjektif dan ia seharusnya dilihat kepada taraf hidup masyarakat di sesuatu tempat itu.

"Jadi kalaulah kita buat sesuatu di luar kemampuan rakyat, orang lain yang akan menikmati," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat Bukit Cekati di Gua Musang hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen paling lama daripada BN di kawasan itu berkata terlalu banyak perubahan telah dilakukan BN jika dibandingkan seawal pembukaannya dahulu seiring dengan masa dan kemampuan rakyat.

Gambar fail, rancangan pembangunan empangan di Gua Musang.

Beliau berkata antara pembangunan yang dilakukannya adalah mewujudkan Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang berfungsi untuk mengimbangi komposisi penduduk antara kawasan selatan dan barat, serta untuk membasmi kemiskinan penduduk.

"Hal ini jelas membuktikan kerajaan telah memberi kehidupan yang selesa buat rakyat di Gua Musang seperti isu pengagihan tanah kepada peneroka lot ladang sawit di sini yang seterusnya membolehkan 2,228 peneroka daripada sembilan kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR menerima lot tanah di atas nama mereka sendiri," katanya.

Tengku Razaleigh melakar sejarah tersendiri apabila bertanding buat kali ke-13 pada Pilihan Raya Umum (PRU) selain mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana akan berdepan dengan calon lawan daripada PAS, Putra-Pejuang dan PH-PKR.

Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,913 undi menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.

- Bernama