ULASAN | Rindu, sayu dan sedih berbaur di Kelantan
ULASAN | Saya terlelap beberapa kali semasa dalam perjalanan sejauh hampir 500km dari Lembah Klang ke Kota Bharu. Cahaya cerah dan angin dingin di sepanjang Lebuh Raya Karak ke Central Spine Road (CSR) terus ke Gua Musang.
Perjalanan berlangsung dengan selesa dan hampir-hampir tiada gangguan sama sekali. Pada kesempatan itu saya terkenang kepada Kelantan - negeri kelahiran dengan dua juta penduduk - yang pesat membangun bersama kerajaan yang turut membentuk kerajaan Persekutuan melalui PN.
Tiba-tiba khayalan terganggu. Kereta bergegar kerana tayar tersadung lubang.
"Kita dah sampai sempadan Kelantan.. dah masuk Gua Musang," bisik anak.
Saya melihat kiri dan kanan jalan. Bangunan baru sudah terbina dengan banyak namun rumah lama masih ada. Jalan raya masih sempit dan berlubang-lubang. Ada lopak air, selain tong sampah yang entah bila kali terakhir isinya dipungut oleh pihak berkuasa tempatan.
Kelantan tidak banyak berubah sejak saya berhijrah ke Lembah Klang pada 1986. Bangunan lama, perhentian bas dan jeti usang masih menjadi panorama. Kehidupan rakyat juga masih hampir seperti dahulu - ramai petani, penoreh, nelayan dan buruh kasar yang tinggal di rumah seada-adanya.
Sesetengahnya hidup tanpa kemudahan asas. Jika ada pun bekalan elektrik, ia kerap terputus ketika hujan lebat.
Tiada lagi panggung wayang
Air paip adalah seperti jenaka penduduk setempat: sekadar air besi karat yang menumbuhkan panau di kulit rakyat.
Jangan mengeluh tentang kotornya air di Kelantan kerana pemimpinnya yang bertaraf ulama mengaku sudah banyak meneguk air Sungai Kelantan.
Nak mandi? Terjunkah je ke sungai "di belakang Tesco tu".
Ia adalah cara lain untuk pemimpin mengajar rakyat mengenai makna bersabar menerima ketentuan takdir. Takdir mereka ialah memilih kerajaan yang didalamnya ramai ahli agama, ahli hadis, ahli fatwa dan ahli dalil.
Memang saya sudah lama tidak mempunyai kekasih di Kelantan. Saya tidak kisah kerana takdir menentukan kehidupan seseorang. Tapi rasa sepi dan hiba masih ada kerana panggung wayang yang mengisi zaman kecil dan remaja sudah tidak wujud lagi.
Nama seperti Odeon, Lido, Capital, Rex dan Panggung Tani sudah menjadi sejarah di bumi Darulnaim. Saya betul-betul sedih kerana medium yang mendewasakan kami dihilangkan atas alasan agama.
Memang Kelantan dikenali Serambi Mekah. Bumi ulama. Ada tradisi pondok tempat tadah kitab sejak ratusan tahun.
Namun adakah dengan meleburkan panggung wayang maka ibadat di Kelantan semakin terpelihara? Adakah orang Kelantan semua maksum dan berakhlak mulia? Adakah hiburan semuanya bertentangan dengan Islam?
Dulu mereka haramkan dikir barat, wayang kulit, menora, bagih dan main puteri kononnya bertentangan syariat. Kini dibolehkan dengan syarat yang keras.
Sekitar dekad 1950-an Kota Bharu digelar sebagai Paris of Malaya kerana kegiatan pelacuran sangat aktif. Bukan saja remaja perempuan yang terlibat tapi juga remaja lelaki.
Pelacuran menjadi-jadi di Kelantan adalah kerana kemiskinan yang menghimpit rakyatnya.
Jika Paris di Perancis menjadi pusat cinta pedagang dan pelayar abad lampau, Paris Kota Bharu adalah lurah nikmat di pantai timur Semenanjung Malaysia yang menerima tempias daripada kegiatan pelacuran di selatan Thailand.
Jasa pendidikan pondok
Berdasarkan catatan Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan yang diterbitkan pada 1838, ada disebutkan: “Shahadan maka adalah saya lihat dalam negeri Kelantan itu terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Adapun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang sangkut. Maka dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ka lututnya...”
Kini di bawah pimpinan ulama kegiatan pelacuran tidak boleh diatasi sepenuhnya. Media melaporkan aktiviti persundalan berlaku secara nomad.
Pelacur dibawa ke lokasi pelanggan berdasarkan janji temu secara dalam talian. Beberapa kes mahkamah disebut. Selagi ada permintaan, pelacuran tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya.
Pun begitu sebagai anak Kelantan saya bangga tradisi pendidikan agama yang membentuk sosiopolitik Darulnaim.
Sebelum kedatangan kolonial British di Tanah Melayu, masyarakat Melayu mempunyai corak pendidikan tersendiri iaitu pendidikan asas agama dan al-Quran. Dipercayai pendidikan Islam di Kelantan bermula sejak 300-400 tahun lalu.
Menjelang 1900 hingga kini, pendidikan Islam di Kelantan dapat dilihat menerusi dua bentuk pengajian iaitu pendidikan pondok dan persekolahan.
Tiada tarikh yang tepat mengenai penubuhan pondok di Kelantan, namun sistem itu muncul pada awal abad ke-19. Pengajian pondok bermula apabila Tok Pulai Chondong membina pondok pertama di Pulau Chondong yang terletak di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu sekitar 1820.
Bagaimanapun ada pendapat lain yang mengatakan ia bermula pada zaman pemerintahan Long Jenal.
Melalui sistem pondok, guru biasanya mengajar sepenuh masa, bermula selepas solat subuh membawa ke jam 10 malam. Pelajar duduk di lantai dalam bentuk tiga perempat bulatan atau dalam bentuk ladam kuda bagi memudahkan penyampaian guru.
Sistem pembelajaran pondok mengambil masa yang lama iaitu di antara 10 hingga 15 tahun.
Menunggu pulang pengundi baru
Pengajian agama berbentuk persekolahan sudah lama ditubuhkan iaitu seawal 1917 apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menubuhkan sekolah pertamanya, Madrasah Muhammadiyah (Melayu ).
Sekolah pertama yang dibina oleh Maik pada 5 Ogos 1917 dengan nama Muhammadiah AI-Kelantaniah dan terbahagi kepada tiga iaitu bahagian Melayu, Inggeris dan Arab.
Pendidikan Islam dalam bentuk sekolah itu dikelola oleh Maik.
Pada masa sama tradisi sekolah sekolah agama rakyat dibina oleh orang perseorangan atau penduduk setempat di kampung. Pembiayaan sekolah itu datangnya daripada wang khairat, derma orang ramai dan melalui yuran sekolah.
Dari situlah lahirnya tradisi pondok yang menggerakkan pendidikan Islam bukan di Kelantan. Ia kemudian menarik pelajar dari Terengganu, Kedah, Perlis dan selatan Thailand untuk menuntut di negeri itu.
Ramai juga yang melanjutkan pelajaran ke Asia Barat dan kemudian pulang menjadikan bumi Serambi Mekah sebagai landasan siasah.
Lahirnya PAS pada 1951 adalah hasil cetusan idea pejuang Islam untuk membentuk jati diri bangsa yang ketika itu diancam sekularisme dan neokolonialisme.
Kelantan tercatat sebagai 'negeri PAS' terutuh berbanding Terengganu dan Kedah.
Ketika ini lebih 200,000 rakyat Kelantan yang layak mengundi pada PRU ke-15 sedang menetap dan bekerja di luar negeri dari itu.
Adakah mereka akan pulang nanti? Dan kalau pulang adakah mereka akan membiarkan Kelantan kekal dengan pemikiran dan resam lama, atau membantu membawa perubahan?
Empat hari di Kelantan mendekatkan saya dengan masalah sebenar di Kelantan. Bukan sahaja tentang mitos lelaki malas bekerja, malah lebih besar daripada itu.
Ramai anak muda lulusan universiti yang bukan sahaja menganggur. Jika bekerja pun, mereka dibayar gaji RM1,000 saja.
Mereka adalah pengundi muda yang tidak dapat dipastikan parti mana yang akan dipilih - kalau mereka mengundi.
Di rumah emak saya, sudah 20 tahun tidak ada bekalan air paip. Perigi lama disambung pam bermesin untuk mendapatkan air yang lebih bersih.
Lebih aneh pondok tempat menunggu bas 40 tahun lalu masih ada. Di situlah saya belajar menulis sajak cinta untuk seorang gadis yang kini entah di mana!
IMLAN ADABI ialah mantan wartawan dan sasterawan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai