Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Salahuddin-Jazlan rentap kali ketiga dalam tiga penjuru

PRU15 l Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dengan penyandang kerusi itu, Salahuddin Ayub yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dicabar oleh Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed buat kali ketiga.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengumumkan Deepak Jaikishan sebagai calonnya di Pulai tetapi penarikan dirinya pada saat akhir menyaksikan pengerusi Gerakan bahagian Tebrau Loh Kah Yong bertanding di kerusi itu.

Pada 2013, Nur Jazlan mengekalkan kerusinya untuk penggal ketiga dalam pertandingan berturut-turut menentang Salahuddin semasa pilihan raya umum ke-13.

Salahuddin Ayub

Salahuddin bagaimanapun memenangi Pulai dalam pertandingan empat penjuru menentang Nur Jazlan, PAS, dan calon bebas pada PRU14 yang turut menyaksikan bilangan kerusi PH Johor bertambah lebih dua kali ganda.

“Kita jangkakan sebelum ini lima atau enam penjuru dan ada nama seperti Deepak yang dikatakan akan datang ke sini untuk bertanding tapi akhirnya tiga penjuru.

“Saya rasa rakyat Pulai sangat kenali kami. Ini merupakan pertembungan kali ketiga bagi saya sendiri dan Nur Jazlan,” kata Salahuddin kepada pemberita selepas memfailkan pencalonan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Baru, hari ini.

“Jadi kita pulangkan pada rakyat untuk buat penilaian. Saya selaku penyandang dah buat yang terbaik untuk rakyat di sini, saya telah menyantuni semua golongan masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculannya semula, Nur Jazlan berkata dia akur dengan keputusan BN yang mahu dirinya bertanding semula di kerusi itu, walaupun sebelum ini dia menyatakan tidak berminat.

Nur Jazlan Mohamed

Nur Jazlan berkata situasi politik hari ini kelihatan kurang panas berbanding 2018, yang akhirnya menyaksikan BN kehilangan kuasa di peringkat pusat buat kali pertama dalam sejarah.

“Pada jangkaan saya (keadaan tidak sepanas) ini akan beri kelebihan kepada BN. Tambah lagi dengan pertandingan tiga penjuru,” kata Nur Jazlan.

Diminta mengulas mengenai penarikan diri Deepak, Nur Jazlan berkata dia dan Salahuddin adalah calon serius yang ingin berkhidmat kepada pengundi Pulai.

“Kita serius. Kita nak berkhidmat untuk orang Pulai. Ini bukan pilihanraya main-main.

“Jadi bila Deepak ambil keputusan untuk tak bertanding di Pulai, saya juga alu-alukan keputusan beliau,” katanya.

Ketika pencalonan ditutup pada jam 10 pagi, Deepak memberitahu Malaysiakini dia telah memfailkan pencalonannya sebagai calon bebas di Klang, Selangor.

Salahuddin dan Nur Jazlan dilihat berpelukan di atas pentas sejurus selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon oleh pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Miswan Yunus.

Sementara itu, Loh berkata dia hanya dimaklumkan mengenai pencalonannya untuk menggantikan Deepak dua hari lalu.

“Tiada masalah bagi saya walaupun bukan calon awal.

“Saya agak terkejut, tetapi apa-apa pun saya sudah bersedia,” tambahnya.

Loh bertanding dan tewas di DUN Puteri Wangsa semasa pilihan raya negeri Johor lalu.

[Baca berita penuh]