Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Khairuddin kena bu oleh penyokong PAS

Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali disambut dengan sorakan 'boo' daripada penyokong parti itu, ketika berada di pentas sebaik selepas tamat penamaan calon hari ini.

Namun Khairuddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus sebagai calon BN berkata tidak kisah dengan tindakan tersebut.

“Biasa saja, dalam politik begitulah. Tapi apa yang penting kita kekal bersaudara walaupun kita berbeza (politik).

“Yang nakal-nakal ini ada saja di mana-mana, jangan ambil hati sangat. Saya tak terasa pun, kerana kalau kita memimpin kita kena berjiwa besar, jangan jadi seperti budak kecil,” katanya yang berbaju Melayu biru di pusat penamaan calon hari ini.

Khairuddin turut menafikan dakwaan ada rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan BN Terengganu susulan pencalonannya.

“Mereka adalah orang parti dan mereka akan ikut apa keputusan parti. BN telah memberikan amanah kepada saya dan mereka bersama dengan saya untuk memastikan kemenangan BN di Kuala Nerus,” katanya lagi.

Selain Khairuddin, seorang lagi bekas ahli parlimen PAS yang bertanding di bawah tiket BN kali ini adalah Che Abdullah Mat Nawi, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tumpat.

Sementara itu, Khairuddin menegaskan dia tidak gusr dengan sokongan yang akan diberikan kepadanya ekoran pecahan undi antara calon yang bertanding.

“Insya-Allah, kita buat kerja dan kita tawakal pada Allah. Dalam hidup tak perlu takut, buat kerja saja.

“Dengan izin Allah kita dapat pertahan (Kuala Nerus) dengan bantuan semua rakyat dan alhamdulillah semua datang beri sokongan kepada saya sejak semalam,” katanya

Dia akan berdepan Dr Alias Razak (PN), Suhaimi Hashim (PH) dan Azaha Wahid (GTA).

Calon PH, Suhaimi Hashim pula berkata dia yakin dengan gelombang rakyat kali ini akan membolehkan PH merampas Kuala Nerus.

“Gelombang rakyat itu kuat dan kita kena ikut gelombang itu. Kita tak boleh kira ikut bendera seperti biasa, pada 2018 pun orang tak sangka BN akan kalah.

“Jadi di Terengganu kita tengok rakyat senyap tapi jangan ingat mereka tak reti. Rakyat Terengganu cerdik, dia rasa gelombang di Malaysia. Sebab dah 744 bulan BN perintah negara ini, PH baru 22 bulan jadi jangan samakannya,” katanya ringkas.

Keyakinan yang sama turut diberikan calon GTA dari Putra, Azaha Wahid.

“Saya hanya nak beritahu saya adalah daripada tentera yang kecil dan boleh mengalahkan tentera yang besar,” katanya ringkas.