Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno bahagian kembali sokong calon BN Langkawi

Umno bahagian Langkawi kembali menyatakan sokongan kepada calon BN di parlimen itu, Armishah Siraj.

Ketuanya Nawawi Ahmad berkata dia bertemu dengan jawatankuasa Umno bahagian Langkawi dan memberi pandangan bahawa dalam pilihan raya kali ini kita perlu berjiwa besar kita perlu mentaati keputusan pucuk pimpinan parti.

"Dalam hal ini parti buat keputusan bahawa calon BN Parlimen Langkawi adalah Armishah Siraj, kami bermesyuarat dan berpendapat demi kekuatan parti kita bersetuju bahawa apa saja yang dibuat pimpinan parti kita akan beri sokongan," katanya kepada media di Langkawi, hari ini.

Terdahulu bekas ahli parlimen Langkawi itu juga hadir memberi sokongan kepada calon mereka ketika proses penamaan calon yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.

Amirshah yang juga bekas setiausaha sulit kanan kepada tiga menteri besar Kedah akan berdepan empat calon lain iaitu Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Umno bahagian Langkawi meluahkan rasa kecewa selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menamakan Amirshah sebagai calon mereka.

Nawawi tampil menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.

Sementara itu, Nawawi berkata dia juga telah membawa Amirshah bertemu dengan ahli jawatankuasa Umno bahagian untuk memperkenalkan diri dan meminta bantuan jentera.

"Saya telah membawa calon kita untuk bertemu dan memperkenalkan diri kepada ahli jawatankuasa Umno bahagian dan memohon bantuan dan sokongan serta jentera.

"Di Langkawi kita mempunyai 14,000 ahli dan kita perlu memberi sokongan penuh kepada calon BN demi memenangi parlimen ini sekali gus menyumbang satu kerusi dalam usaha parti membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU ke-15," jelasnya.