Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Pertembungan banyak penjuru di pelbagai tempat

LANGSUNG | Ikuti laporan langsung Malaysiakini pada hari penamaan calon hari ini.


12.30 tengah hari: Beluran, Sabah - BN dan PN bertembung di Parlimen Beluran, walaupun kedua-duanya merupakan sekutu politik di Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semalam, GRS mengumumkan Benedict Asmat dari BN akan bertanding di situ, menggantikan penyandangnya Ronald Kiandee dari Bersatu.

Namun, Ronald muncul di pusat penamaan calon hari ini dan bertanding menggunakan tiket PN - bukannya GRS seperti yang digunakan calon Bersatu lain di negeri itu.

Ronald telah menjadi ahli parlimen di situ sejak 1999. Ketika itu, dia masih bersama BN dan menyertai Bersatu pada 2019.

Di Ranau pula, Presiden PBRS Ewon Ebin akan berdepan penyandang dari Bersatu, Jonathan Yasin. PBRS dan Bersatu juga bersekutu dalam GRS.


Tiga penjuru di Bera

12.26 tengah hari: Bera, Pahang - Ismail Sabri Yaakob akan berdepan cabaran calon PH Abas Awang dan calon PN Asmawi Harun di Bera.

Ismail Sabri telah memegang kerusi parlimen itu sejak 2004.

Maximus Ongkili kekal pertahan Kota Marudu

12.20 tengah hari: Kota Marudu, Sabah - Walaupun dikatakan akan bertanding di Tuaran sebelum ini, Presiden PBS Maximus Ongkili akhirnya mempertahankan kerusi Kota Marudu yang dimenanginya.

Ongkili telah bertanding di situ sejak 1995, ketika ia masih kerusi Parlimen Bandau.

Lima lagi calon yang akan bertanding di situ adalah Sharizal Denci (Muda), Zainuddin Kuminding (Warisan), Mohd Azmi Zulkiflee (Pejuang), Wetrom Bahanda (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat) dan Norman Tulang (bebas).


Semua calon Amanah layak tanding

12.14 tengah hari: Setelah tamat tempoh sesi penamaan calon hari ini, semua calon PH daripada Amanah–54 parlimen dan 40 DUN–layak bertanding.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jentera Operasi Pentadbiran dan Kempen PRU15 Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sebentar tadi.

“Pada kali ini, kesemua calon Amanah bertanding menggunakan lambang Pakatan Harapan sebagaimana ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya.


Dr Mahathir hadapi saingan lima penjuru di Langkawi

11:27 pagi: Langkawi, Kedah - Pengerusi GTA Dr Mahathir Mohamad berhadapan cabaran lima penjuru di parlimen Langkawi.

Mahathir yang juga presiden Pejuang akan bersaing dengan calon bebas Abd Kadir Sainudin, calon PN Mohd Suhaimi Abdullah, calon BN Armishah Siraj dan calon PH Zabidi Yahya.

Sementara itu, Umno bahagian Langkawi kembali menyatakan sokongan kepada calon BN di parlimen itu, Armishah Siraj.

Ketuanya Nawawi Ahmad berkata dia bertemu dengan jawatankuasa Umno bahagian Langkawi dan memberi pandangan bahawa dalam pilihan raya kali ini kita perlu berjiwa besar kita perlu mentaati keputusan pucuk pimpinan parti.


10.30pagi: Kuala Nerus, Terengganu - Pegawai pengurus pilihan raya bagi Parlimen Kuala Nerus Ahmad Azizi Zulkifli mengesahkan empat calon bakal merebut kawasan parlimen itu, selepas tamat tempoh penghantaran borang penamaan calon pada jam 10 pagi.

Calon-calon tersebut adalah Khairuddin Aman Razali (BN), Dr Alias Razak (PN), Suhaimi Hashim (PH) dan Azaha Wahid (GTA).

Sementara itu, enam parlimen lain di Terengganu turut menyaksikan pertembungan empat penjuru dari empat gabungan itu, tanpa calon bebas.

Di Dungun pula, seramai lima calon bersaing iaitu penyandang dari PN Wan Hassan Mohd Ramli, Nurhisam Johari (BN), Noraisah Hasan (GTA), Mohd Johari Mohamad (PH) dan Ghazali Ismail (bebas).

Di Besut, calon BN Nawi Mohamad dicabar Che Mohamad Zulkefly Jusoh (PN), Aziz Abas (PH) dan Wan Nazari Wan Jusoh (GTA).

Di Setiu, penyandang Shaharizukirnain Abd Kadir dari PAS dicabar Mohamad Ngah (PH), Abdul Rahman Mat Yasin (BN) dan Wan Adnan Wan Ali (GTA).

Di Kuala Terengganu, penyandang Ahmad Amzad Hashim dari PN dicabar Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH), Mohd Zubir Embong (BN) dan Mohamad Abu Bakar Muda (GTA).

Parlimen Hulu Terengganu pula, calon PH Alias Ismail, calon BN Rozi Mamat dan calon GTA Mohd Khadri Abdullah akan mencabar penyandangnya, Rosol Wahid dari PN. Rosol menang dalam PRU14 ketika masih bersama BN.

Di Kemaman, penyandang Che Alis Hamid dari PN berdepan tugas berat apabila dicabar bekas menteri besar Ahmad Said (BN) dan Hasuni Sudin (PH).

Akhir sekali adalah Marang, di mana penyandangnya Abdul Hadi Awang menyasarkan untuk mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketujuh.

Abdul Hadi dicabar Azhar Ab Shukur (PH), Jasmira Othman (BN) dan Zarawi Sulong (GTA).


Calon BN lega bila Annuar janji sokong

11 pagi: Ketereh, Kelantan - Calon BN Marzuani Ardila Ariffin yakin aura bekas ahli parlimen di situ, Annuar Musa akan dapat membantunya mempertahankan penguasaan BN.

Marzuani berkata, dia menjadi yakin dengan peluangnya selepas Annuar berjanji tidak akan meninggalkannnya bagi memastikan kemenangan BN terus dipertahankan di Ketereh.

Sebelum jaminan Annuar itu, katanya, dia berasa "kelam" untuk bertanding dalam PRU kali ini.

"Saya mempunyai figura yang hebat, bos saya Tan Sri Annuar Musa dan sokongan jentera BN. Tan Sri sentiasa beri sokongan padu, minta saya teruskan, saya bertawakal kepada Allah.

"Tanpa sokongan (Annuar) di belakang, saya tak mampu," katanya ketika ditemui selepas selesai penamaan calon di pejabat Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu, pagi ini.

Sementara itu, Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor yakin mampu menarik sokongan pengundi BN kepadanya.

Jelasnya, hubungan baik antaranya dengan Ketua Umno bahagian Ketereh, Annuar Musa memberi sedikit kelebihan kepadanya.

"Kempen sudah mula lama, gerak pergi rumah ke rumah, dengan masalah rakyat.

Annuar kawan saya mesti dia suka (saya bertanding). Saya yakin (tarik sokongan BN) sebab mereka tu kawan-kawan saya," katanya ketika ditemui media di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu, hari ini.

Kerusi Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).


KJ bertarung tujuh penjuru di Sg Buloh

11.00 pagi: Sungai Buloh, Selangor - Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menghadapi pertarungan tujuh penjuru menentang calon utama calon Pakatan Harapan (PH), R Ramanan dan Perikatan Nasional (PN), Mohd Ghazali Md Hamin.

Calon lain adalah dari Pejuang, Mohd Akmal Mohd Yusoff, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Zuflis Faiza serta calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri

Menteri kesihatan, buat pertama kali bertanding di kawasan parlimen itu selepas bertukar dari kawasan parlimen Rembau.

Parlimen Sungai Buloh sebelum ini disandang peguam R Sivarasa sejak pilihan raya umum 2008 yang mewakili PKR.


'Saya ‘Fatt, Fatt’ - calon Warisan harap tuah

10.50 pagi: Batu, Kuala Lumpur - Calon Warisan bagi Parlimen Batu, Nathan Pillai berharap tuah akan berpihak kepadanya dalam PRU15, di mana dia bertanding buat kali pertama.

"Saya nombor lapan. Fatt fatt (tuah tuah)," katanya ketika ditanya berkenaan nombor untuknya di kertas undi.

Dua polis kemudian datang untuk mengingatkan calon dan media bahawa pertanyaan tidak dibenarkandi pusat penamaan calon.


Lima penjuru di Tanjong Karang

10.50 pagi: Tg Karang, Selangor - Kerusi Parlimen Tanjong Karang akan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara BN, PN, PH, GTA dan seorang calon bebas.

Pegawai pengurus pilihan raya Mohd Raiz Radzuan mengumumkan SPR menerima lima borang pencalonan dan tiada yang ditolak.

Berikut adalah calon yang bertanding di sini:

GTA: Lando Zawawi

Bebas: Mohd Rosni Mastol

PN: Zulkafperi Hanapi

PH: Siti Rahayu Baharin

BN: Habibah Mohd Yusof


Lima penjuru di Gombak

10.48 pagi: Gombak, Selangor - Parlimen Gombak menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Pengurus pilihan raya Nor Azlina Abdul Aziz mengumumkan nama calon Azmin Ali (PN), Amirudin Shari (PH), Aziz Jamaludin Mhd Tahir (GTA), Megat Zulkarnain Omardin (BN), Zulkifli Ahmad (Bebas).


Tiga penjuru di Pagoh, Muhyiddin sasar penggal kesembilan

10.40 pagi: Pagoh, Johor - Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan berdepan tiga pesaing dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi itu.

Bekas perdana menteri itu disambut laungan "abah" sebaik keluar dari pusat penamaan calon.

Calon BN Razali Ibrahim berkata dia tidak gentar untuk bertanding di kubu kuat Muhyiddin itu.

"Di hari penamaan calon, tidak dapat kata siapa yang akan menang. Kita underdog (di Pagoh)," katanya, pada masa sama membangkitkan Johor sebagai negeri yang dikuasai BN.


Nik Abduh hadir sokong calon PAS

10.30 pagi: Bachok, Kelantan - Bekas ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz hadir bagi memberi sokongan kepada calon PAS Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Nik Abduh hadir memberi sokongan dengan menunaikan solat hajat bersama calon dan penyokong parti itu.

"Semoga mencapai kemenangan, seterusnya membawa suara dan aspirasi anak muda Malaysia di Parlimen nanti," tulis Nik Mohd Abduh di Facebooknya.

Pada PRU14 lalu, Nik Abduh yang bertanding di Bachok berjaya menewaskan calon BN, Awang Adek Hussin dan PKR, Mohd Zulkifli Zakaria dengan majoriti 3,292 undi.

Nik Abduh memperoleh 36,188 undi, BN (32,896) dan PKR (4,880).


Anwar hadapi pertarungan empat penjuru

10:37 pagi: Institut Latihan Perindustrian, Tambun - Pegawai pilihan raya mengumumkan pertarungan empat penjuru di Tambun melibatkan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibhrahim, Pengerusi PN Perak Ahmad Faizal Azumu, ketua Umno bahagian Aminuddin Md Hanafiah dan calon GTA Abdul Rahim Tahir.

Pada PRU14, pilihan raya Tambun menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan BN, PH dan PAS.

Faizal memenangi kerusi itu atas tiket PH dengan hanya memperoleh 44.5 peratus undi manakala penyandang BN Ahmad Husni Hanadzlah, penyandangnya, menduduki tempat kedua.

Pada 2013, Husni berjaya mengekalkan kerusi itu bagi BN dengan memperoleh 56.2 peratus undi.


10.30 pagi: Padang Besar, Perlis - Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin mengesahkan dia akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas.

Zahidi digugurkan Umno dalam PRU kali ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, dia berkata telah menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon hari ini.

"Ya saya bertanding bebas," katanya ringkas.

Terdahulu, dia memuat naik gambarnya berpakaian baju Melayu putih ke pusat penamaan calon.

"Ya Tuhanku, lapangkan untukku dadaku, mudahkanlah urusanku dan lepaskan kekakuan daripada lidahku agar mereka dapat dengan mudah mengerti perkataanku.

Demi pendirian dan maruah Padang Besar serta suara akar umbi, saya kembali untuk mempertahankan kerusi P.001 Padang Besar," ciapnya di Twitter, mengiringi gambar itu.


Deepak calon bebas di Klang

10.15 pagi: Klang, Selangor - Peniaga permaidani Deepak Jaikishan mengesahkan bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Klang.

Deepak pada mulanya diumumkan sebagai calon PN di Pulai di Johor, namun dia menarik diri semalam.

"Ya, bertanding sebagai bebas," katanya kepada Malaysiakini selepas tempoh penamaan calon ditutup.


Empat penjuru di Ketereh

10.06 pagi: Ketereh - Pertembungan empat penjuru di Parlimen Ketereh membabitkan calon BN, Perikatan Nasional (PN) Pakatan Harapan (PH) dan Putra mewakili GTA..

BN diwakili Ketua Puteri Umno Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, PN yang bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan diwakili Khlir Mohd Nor.

PH pula mempertaruhkan Rahimi L Muhamud, manakala Putra diwakili Haneef Ibrahim.

Kerusi Parlimen Ketereh dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang ditandingi bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa.

Pada PRU-14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS dan Radzi Jidin dari Bersatu.

Bagaimanapun nama Annuar digugurkan sebagai calon oleh BN pada PRU-15 kali ini.

Tiada calon lain termasuk calon bebas tampil mengemukakan borang pencalonan.


PH, PN dan GTA berentap di Shah Alam

10:00 pagi: Shah Alam - Pegawai pengurus pilihan raya Asmah Mohd Zain mengisytiharkan pusat penamaan calon Shah Alam di Seksyen 19 ditutup, penyokong Pejuang membawa perhatian semua dengan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku.

PN meletakkan calon Dr Afif Bahardin, calon GTA Muhammad Rafique Rashid Ali, calon PH Azli Yusof dan calon BN Hizatul Isham Abdul Jalil.


Penyokong parti pengsan

10.00 pagi: Langkawi, Kedah - Seorang penyokong parti Pejuang tiba-tiba pengsan ketika hadir berhimpun penyokong proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

Mangsa seorang wanita berusi 50an kemudiannya dibawa dengan sebuah ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Kempen PRU15 bermula, penamaan calon tutup

10:00 pagi: Putrajaya - Proses penamaan calon PRU15 selesai apabila kesemua pusat berkenaan ditutup secara rasminya pada 10 pagi ini.

Penamaan calon bermula 9 pagi tadi di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15) serta turut diadakan serentak ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Sebaik sahaja pengisytiharan calon-calon yang bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai dilakukan, aktiviti kempen PRU15 selama 14 hari bermula secara rasmi hingga 11.59 malam, 18 Nov nanti.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dijangka mengadakan sidang media pada 12 tengah hari ini di Menara SPR, di Putrajaya, bagi merumuskan proses penamaan calon yang dijalankan di seluruh negara.

SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


Kempen rasmi bermula di Kulai

10.00 pagi: Pulai, Johor - Pertandingan tiga penjuru di kerusi parlimen P161 Pulai dengan penyandang Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berdepan Timbalan Pengerusi BN Johor BN Nur Jazlan Mohamed dan calon Perikatan Nasional Loh Kok Yong.

Peniaga permaidani Deepak Jaikishan, yang pada mulanya diumumkan sebagai calon PN, tidak hadir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Baru.

Loh, dari Gerakan, sebelum ini bertanding dan tewas di kerusi DUN Puteri Wangsa semasa pilihan raya negeri Johor lalu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Miswan Yunus mengumumkan penutupan pencalonan pada pukul 10 pagi, menandakan bermulanya kempen rasmi.


Lelaki 80 tahun pertama kali bertanding

9.35 pagi: Bayan Baru, Pulau Pinang - Ravinder Singh (PRM) antara enam calon yang akan merebut kerusi Parlimen Bayan Baru.

Dia yang berusia 80 tahun itu berkata tujuannya untuk bertanding buat kali pertama ini adalah untuk memperbetulkan apa yang salah di negara ini.

Calon lain adalah SimTze Tzin (PH) yang juga penyandang, Saw Yee Fung (BN), Oh Tong Keong (PN), Jeff Ooi (Warisan) dan Kan Chee Yuen (independent).


Rafizi: Kelas pekerja sokong PH

9.30 pagi: Pandan, Selangor - Rafizi Ramli berkata kawasan Parlimen Pandan merangkumi kelas pekerja yang sentiasa menyokong PH.

Namun, katanya lagi, PKR akan tetap terus meneliti masalah yang dihadapi penduduk di lapangan.


Konvoi di Pagoh

9.20 pagi: Pagoh, Johor - Jika saiz konvoi menjadi petanda siapa akan menang, maka ia persaingan sengit antara BN dan PN.

Muhyiddin Yassin menjadi calon pertama tiba, diiringi konvoi 40 kereta dan 500 motosikal.

Begitu juga dengan penyokong calon BN Razali Ibrahim, yang membunyikan hon untuk menandakan ketibaan mereka.

Calon PH pula hanya diiringi kira-kira 20 penyokong.


Shamsul Iskandar bersemangat

9.10 pagi: Bagan Datoh, Perak - Sementara menunggu untuk menghantar borangnya, calon PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang ceria berkata dia teruja untuk mencabar Ahmad Zahid Hamidi, yang telah memegang kerusi itu selama enam penggal.

"Saya cukup bersemangat sebab saya tahu pengundi sudah bosan dengan penyandang Bagan Datuk.

"Ini jihad saya mewakili rakyat Malaysia," katanya.


Zahid tiba di pusat penamaan

9.30 pagi: Bagan Datoh, Perak - Calon BN parlimen Bagan Datuk Zahid Hamidi tiba di pusat penamaan calon.

Zahid merupakan penyandang kerusi itu selam enam penggal hadir lengkap berpakai baju melayu berwarna biru tiba kira-kira 9.15 pagi bagi penyerahan borang pencalonan.


9.30 pagi - Ayer Hitam, Johor - Tiga calon Ayer Hitam, penyandang empat penggal Wee Ka Siong, calon Harapan Sheikh Umar Ali dan Muhammad Syafiq Aziz dari Perikatan Nasional tiba di pusat penamaan calon bersama penyokong mereka.

Pihak berkuasa membahagikan kawasan berbeza untuk penyokong tiga parti politik itu berkumpul.

Sementara menunggu proses penamaan calon, ketiga-tiga kumpulan itu bersorak-sorak antara satu sama lain.

Penyokong Barisan Nasional menjerit "Chin Tong Lari", "Balik Paloh" - mengejek Ketua DAP Johor Liew Chin Tong yang tidak bertanding di Ayer Hitam lagi selepas kehilangan 303 undi pada 2018.

Sheikh Umar adalah Adun Paloh sepanjang 2018 hingga 2022 tetapi beliau gagal mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri Mac lalu.

Sementara itu, penyokong Pakatan Harapan sedang menyanyikan lagu pasukan mereka "Ayer Hitam semua undi Sheikh Umar", yang digubah oleh Sheikh sendiri.


Khairuddin diarak penyokong BN

9.30 pagi: Kuala Nerus, Terengganu - Calon dari keempat-empat blok parti dominan memasuki Dewan Perdana Pejabat Daerah Kuala Nerus, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus dengan diiringi pencadang dan penyokong masing-masing.

Kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff, mengiringi calon Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali ke Pusat Penamaan Calon menamatkan spekulasi BN Kuala Nerus dilanda krisis.

Masing-masing hadir sebagai Pencadang Penyokong kepada Khairuddin Aman Razali.

Terdahulu Khairudin diarak bersama lebih 1,000 penyokong BN memasuki pusat penamaan calon.

Sementara itu, Calon PAS, Dr Alias Razak turut tiba pada waktu yang sama, bagaimana dia terlebih dahulu menyerahkan borang penamaan calon

Diikuti Calon Pakatan Harapan PH yang mewakili parti Amanah, Suhaimi Hashim dan calon GTA dari Pejuang, Azaha Wahid.

Setakat ini Kerusi Parlimen Kuala Nerus bakal menyaksikan pertandingan 4 penjuru dan proses penamaan masih berjalan.


Annuar Musa hadir sokong calon BN

9.10 pagi: Ketereh - Calon BN Marzuani Ardila Ariffin, yang mengenakan baju kurung biru, masuk ke pusat penamaan calon.

Turut dilihat di pusat penamaan calon adalah Annuar Musa, penyandang kerusi Parlimen itu yang tidak dicalonkan kali ini.

Calon PN Khilir Mohd Nor tiba lebih awal sedikit, manakala calon PH Rahimi L Muhamud masuk ke pusat penamaan calon kira-kira jam 9.15 pagi.

Turut bertanding di sini adalah Haneef Ibrahim yang mewakili Pejuang.


Laungan 'pengkhianat' di Tambun

9.10 pagi: Institut Latihan Industri, Tambun - Anwar Ibrahim dan Ahmad Faizal Azumu - yang dahulunya bersama-sama dalam PH - tiba di pusat penamaan calon hampir pada waktu sama.

Anwar dilihat bersama-sama calon DUN Manjoi, Asmuni Awi dan calon Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

"Kita akan capai kemenangan," kata Anwar ringkas.

Kira-kira 50 meter dari situ, Faizal bersama-sama kira-kira 200 penyokong membaca doa.

Apabila Faizal dan penyokongnya berjalan melalui penyokong PH, mereka dihujani laungan "pengkhianat".

Bagaimanapun Faizal berkata itu perkara biasa dan dia tiada masalah dengannya.


9 pagi: Pandan, Selangor - Pegawai pengurus pilihan raya Julaiha Jamaludin mengumumkan penamaan calon kini dibuka untuk kerusi Parlimen Pandan.

Terdahulu, Tee Keat yang mula-mula menjadi ahli parlimen di situ pada 1989 berkata dia tidak gentar dengan tanggapan dia akan berdepan "gergasi" kali ini.

Diminta mengulas berkenaan pesaingnya iaitu Rafizi Ramli, Tee Keat yang menjadi calon Warisan berkata dia telah berdepan ramai calon heavyweight sejak 1989.

Katanya, penduduk di situ ingat akan khidmat yang diberikannya dan ada yang merungut ahli parlimen mereka sebelum ini jarang turun ke lapangan.

Dia dipercayai merujuk kepada Rafizi yang menjadi ahli parlimen Pandan pada 2013 hingga 2018 dan Wan Azizah Wan Ismail pada 2018 hingga tahun ini.


Kira-kira 100 penyokong BN hadir untuk Habibah

9.00 pagi: Tg Karang, Selangor - Hampir 100 penyokong BN yang kebanyakannya daripada Wanita Umno berkumpul di pusat arahan BN berhampiran pusat penamaan calon di Dewan Dato Hormat.

Mereka sedang menunggu calon Habibah Mohd Yusof tiba.

Malaysiakini mendapat tahu Siti Rahayu Baharin dari Muda dan Azlan Zawawi dari Pejuang, atau lebih dikenali sebagai Lando, juga dalam perjalanan ke pusat penamaan calon.


Diva AA tak jadi lawan abang, mimpi ibu

9.10 pagi: Gombak, Selangor - Selebriti Azwan Ali memutuskan untuk tidak bertanding menentang abangnya Azmin Ali.

“Pertama kerana bisikan arwah Mak Tom. Dia selalu datang dalam mimpi saya, menasihatkan saya jangan bertanding.

“Kedua, saya mendapat panggilan yang cukup mesra daripada isteri Azmin,” katanya sambil teresak-esak.

Terdahulu, dia tiba di pusat pencalonan dengan menaiki motosikal Ducati.

Azmin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (Harapan) dan Megat Zulkarnain Omardin (BN) turut hadir di pusat penamaan calon bersama penyokong masing-masing.


Dr M tiba di pusat pencalonan

8.50 pagi: Langkawi, Kedah - Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di pusat penamaan calon, diiringi isterinya Dr Siti Hasmah Ali dan para penyokong.

Mahathir dijangka berdepan cabaran empat calon - Armishah Siraj (BN), Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).


8.40 pagi: Gombak, Selangor - Calon-calon dari parti utama Azmin Ali (PN), Megat Zulkarnain Omardin (BN), Amirudin Shari (PH) tiba di perkarangan pusat pencalonan bersama sekumpulan penyokongnya.

Amirudin dan Azmin bersalaman mesra sebelum masuk ke dalam dewan pencolanan ketika sesi bergambar.


9 pagi: Pekan, Pahang - Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pekan diadakan di Dewan Konvensyen Pekan bermula jam sembilan pagi, menurut pegawai pengurus pilihan raya Zaliza Zulkipli.

Kerusi Parlimen ini antara yang menjadi tumpuan selepas penyandangnya yang juga bekas perdana menteri, Najib Razak kini menjalani hukuman penjara di Kompleks Penjara Kajang.

Sh Mohamed Puzi Sh Ali menggantikan Najib untuk mempertahankan kerusi ini. Dia dijangka disaingi sekurang-kurangnya tiga calon lain, termasuk seorang calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.

Minggu lalu, PN mengumumkan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim akan bertanding di situ, manakala PH pula bakal diwakili Mohd Naim Zainal Abidin.


Tian Chua jadi calon bebas

8.45 pagi: Batu, Kuala Lumpur - Bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua akhirnya bertanding sebagai calon bebas. Dia tiba di pusat penamaan calon dengan sekumpulan penyokong.

Bekas naib presiden PKR itu akan berdepan P Prabakaran dari partinya sendiri, selain beberapa lagi calon lain.

Walaupun tidak menjadi pilihan PKR, Chua berkata semangatnya masih bersama parti itu dan dia ingin memastikan Parlimen Batu tidak jatuh ke tangan "kleptokrat".

Tee Keat disambut laungan 'Hidup Warisan'

8.40 pagi: Pandan, Selangor - Bekas presiden MCA Ong Tee Keat tiba di pusat penamaan calon di Dewan Perbandaran MPAJ diiringi para penyokong. Dia mewakili Warisan yang berpangkalan di Sabah. Ini kali pertama Warisan bertanding di kerusi Parlimen di semenanjung.

Dia kemudian menerima panggilan daripada presiden parti, Shafie Apdal sementara penyokongnya melaungkan "Hidup Warisan".

Calon GTA muncul paling awal di 'kubu' Azmin

8.20 pagi: Gombak, Selangor - Jamaludin Mhd Tahir dari GTA menjadi calon pertama yang tiba, iaitu pada jam 7.45 pagi. Dia memberitahu pemberitahu bahawa dia tidak gentar untuk berdepan penyandang, Azmin Ali (PN) dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mewakili PH.

Calon bebas Zulkifli Ahmad, 64, menyusuli Jamaludin. Dia merupakan ahli Parti Bahtera Sejahtera Malaysia yang belum didaftarkan.

Seorang lagi calon di sini adalah Megat Zulkarnain Omardin (BN).

Gerai di sepanjang laluan Anwar

8.15 pagi: Institut Latihan Industri, Tambun - Dapat dilihat gerai-gerai menjual cenderamata PH, makanan dan minuman di sepanjang jalan Anwar ke pusat penamaan calon.

Penyokong, yang rata-ratanya berpakaian merah, menunggu ketibaan Anwar dan rombongannya sambil melaungkan "Kita Boleh" - slogan PH untuk PRU kali ini.

Muhyiddin dijangka tiba diiringi ratusan motosikal

8 pagi: Pagoh, Johor - Suasana sama di Pagoh, dengan hujan dan awan mendung melatari Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang menjadi pusat penamaan calon.

Keadaan tenang dengan polis, pegawai SPR dan kira-kira 20 pengamal media sedang menunggu ketibaan calon.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dijangka tiba diiringi konvoi ratusan motosikal, kata seorang pegawainya.

Dia akan berdepan Razali Ibrahim dari BN, yang juga bekas ahli parlimen Muar, serta calon PH Iskandar Shah Abdul Rahman.


8.00 pagi: Pulai, Johor - Para penyokong yang menggunakan payung merah dan jingga dan pegawai polis yang berbaju hujang berwarna kuning, berlatarkan awan kelabu di saat hujan terus turun di Wisma Persekutuan, Johor Bahru.

Para penyokong itu sedang menunggu ketibaan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai.


7.30 pagi: Pandan, Selangor - Hujan renyai-renyai menyambut penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pandan di Dewan Perbandaran MPAJ.

Suara seorang penjawat awam kedengaran sedang menguji mikrofon di saat polis, pegawai SPR, wartawan dan orang lain berlegar di kawasan sekitar.

Pandan dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan empat calon, iaitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, bekas presiden MCA Ong Tee Keat yang bertanding di bawah Warisan, calon BN Leong Kok Wee dan Nadia Hanafiah dari GTA.


7 pagi: Lebih 1,000 calon dijangka menyerahkan borang pencalonan mereka hari ini, bagi bertanding di 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN di Perak, Pahang dan Perlis, dan satu PRK di Bugaya di Sabah.

PRU kali ini hanya menyaksikan tiga negeri, iaitu Perlis, Perak dan Pahang - ketiga-tiganya ditadbir BN - yang turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Negeri ditadbir PAS (Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan PH (Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan) tidak membubarkn DUN masing-masing. Sementara Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka baru mengadakan pilihan raya negeri pada tahun lepas dan tahun ini.

PRU15 boleh dikatakan pilihan raya yang cukup berbeza berbanding sebelum ini.

Kebanyakan kerusi dijangka menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru antara gabungan politik utama, iaitu BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan gabungan baru yang dinamakan sebagai Gerakan Tanah Air. Di Sabah dan Sarawak, gabungan utama adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) and Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tempoh penamaan calon bermula jam sembilan pagi dan tamat pada jam 10 pagi. Selepas itu, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di setiap kerusi akan mengambil tempoh sejam untuk mempertimbang sebarang bantahan yang dibangkitkan dan membuat pengisytiharan rasmi berhubung calon di kerusi masing-masing.

Pada PRU14, beberapa calon perlu digantikan ekoran masalah dengan alamat tempat tinggal dan dokumen mereka, sementara seorang calon hampir hilang peluang bertanding di kerusi Parlimen Wangsa Maju selepas lupa membawa kad pengenalan ke pusat penamaan.

Calon bagi kerusi Parlimen perlu menyerahkan deposit RM10,000 manakala calon DUN sebanyak RM5,000. Tambahan RM5,000 dan RM3,000 perlu dibayar untuk bahan kempen. Calon akan hilang wang deposit mereka jika gagal meraih 12.5 peratus atau satu perlapan undi daripada keseluruhan undi.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi akan pertama kali mengetuai BN dalam PRU. Pada PRU ini juga, calon-calon PH akan menggunakan logo gabungan itu setelah menggunakan logo PKR pada PRU lalu.

Selepas tamat penamaan calon, semua calon akan sibuk berkempen selama 14 hari sehinggalah tepat 12 tengah malam, 18 November.

Keesokannya, rakyat Malaysia akan membuat pilihan mereka.