Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketepi perbezaan, utamakan kemenangan BN - Ismail Sabri

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menganggap perbezaan pendapat dan masalah yang timbul selepas pengumuman calon adalah perkara biasa.

Dia berkata, tugas utama sebagai ahli parti buat masa ini adalah bagi memastikan kemenangan semua calon yang sudah dipilih oleh pucuk pimpinan.

"Saya harap, seperti yang saya sebutkan bahawa yang penting adalah parti, saya juga mendengar ada pelbagai bahagian, kawasan parlimen ada yang sedikit masalah.

"Ini merupakan perkara yang biasa setiap kali pilihan raya negeri ke, PRK (pilihan raya kecil) ke, peringkat pilihan raya umum sekali pun memang akan ada isu yang timbul di kawasan parlimen dan sebagainya," katanya ketika ditemui media selepas melawat bilik gerakan BN parlimen Bera, di Bera, hari ini.

Perdana menteri sementara itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir bekas wakil rakyat Umno yang tidak berpuas hati selepas nama mereka tidak terpilih sebagai calon dalam PRU15.

Antara nama besar Umno yang tercicir dari senarai ialah pengerusi Umno Selangor, Noh Omar; penyandang kerusi parlimen Keterah, Annuar Musa dan penyandang kerusi parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Turut tidak disenaraikan semula ialah penyandang kerusi parlimen Maran, Ismail Abdul Muttalib.

Shahidan dan Ismail sudah mengumumkan untuk tetap bertanding dan mempertahankan kerusi Arau dan Maran sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setiap ahli Umno sepatutnya mengetepikan agenda peribadi dan memberi keutamaan kepada kemenangan parti.

"Saya pernah sebutkan dulu, tidak semua yang akan bertanding walaupun di setiap kawasan parlimen, semuanya layak bertanding.

"Tapi yang terpilih hanya seorang saja, yang pentingnya siapa saja yang terpilih adalah mewakili Barisan Nasional.

"Jadi, kita sebagai ahli parti, tugas kita adalah untuk mempastikan parti kita menang, jadi kita ketepikanlah perbezaan dan masalah yang timbul, kita fokus kepada untuk mempastikan kemenangan parti," katanya.