Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gugur nama besar: BN Johor tolak kebimbangan akan ada sabotaj

PRU15 | Pengerusi BN Johor, Hasni Mohamad menolak kebimbangan kemungkinan berlaku sabotaj dari dalam parti berikutan pengguguran beberapa penyandang ahli parlimen pada Pilihan Raya Umum, 19 November ini.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Umno Johor di Johor Bahru, Hasni berkata jentera BN di kesemua 26 kerusi parlimen komited untuk melancarkan jentera masing-masing menjelang kempen rasmi yang bermula Sabtu ini.

"Kita berurusan dengan manusia jadi kita perlu berdepan dengan rasa putus asa, kecewa dan tidak puas hati.

“Bukan sahaja kepada nama besar yang digugurkan, tetapi juga kepada penyokong mereka.

"Beri mereka sedikit masa. Saya menjangkakan perkara ini akan berlaku dalam satu atau dua hari akan datang tetapi selepas itu saya percaya semua orang akan melakukan yang terbaik dan meneruskan kempen mereka," kata Hasni yang akan bertanding di Simpang Renggam .

Menjelang pengumuman calon BN pada Selasa lalu, khabar angin bahawa sekurang-kurangnya dua menteri dari Johor akan digugurkan - iaitu penyandang Ahli Parlimen Tenggara, Adham Baba dan penyandang Ahli Parlimen Kota Tinggi, Halimah Mohd Sadique - mencetuskan bantahan daripada akar umbi di dua kubu kuat Umno itu.

BN meletakkan Ketua Pemuda Umno Tenggara, Manndzri Nasib untuk menggantikan Adham, manakala naib presiden Umno, Mohd Khaled Nordin menggantikan Halimah.

Hasni juga menegaskan tindakan BN meletakkan muka baru di kawasan itu tidak akan memberi kesan negatif kepada jentera parti.

“Malah nama-nama besar seperti Adham atau Halimah yang digugurkan, semuanya sudah menyatakan komitmen jentera mereka,” katanya.

Terdahulu, Hasni bersama Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menyampaikan watikah pelantikan kepada semua calon BN daripada Umno, MCA dan MIC.

'Sasaran 20 kerusi'

Berdasarkan kekuatan calon BN, Hasni berkata gabungan itu menetapkan sasaran untuk memenangi 20 daripada 26 kerusi - iaitu 16 daripada Umno dan selebihnya daripada rakan komponennya.

“Saya sebagai pengarah pilihan raya BN Johor, bersama Onn Hafiz sebagai pengarah operasi, kita akan merancang strategi dan pendekatan untuk memenuhi sasaran kepimpinan,” katanya.

Antara pemimpin tertinggi BN yang bertanding di Johor termasuk Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam; Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein di Sembrong dan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad di Parit Sulong.