Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syed Saddiq umum pertahan Muar

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar yang disandangnya pada PRU15, 19 November ini.

Pencalonannya itu diumumkan oleh timbalan presiden parti dan pengarah pilihan raya Muda, Amira Aisya Abdul Aziz pada satu majlis di Muar malam tadi.

Dalam ucapannya, Syed Saddiq berkata dia mahu "memperbaharui kontraknya" dengan pengundi Muar.

“Hari ini saya datang dengan penuh rendah diri ingin memperbahrui kontrak saya bersama dengan orang Muar. Kontrak yang saya hargai kerana kontrak itu datang sekali setiap 5 tahun.

“Pada tahun 2018 anak-anak Muar memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada kalian semua, kini pada tahun 2022 lagi sekali saya kembali kepada orang Muar dengan penuh rasa rendah diri.

“Tolonglah beri peluang kepada saya, Syed Saddiq untuk kembali berkhdimat mempertahankan Muar dan membela rakyat Malaysia ke parlimen dan isya-Allah ke Putrajaya,” katanya.

Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar pada PRU14 di bawah tiket Bersatu dengan majoriti 6,953 undi. Penyandang kerusi itu, Razali Ibrahim dari Umno menduduki tempat kedua dengan 15,388 undi dan diikuti Adun Maharani Abdul Aziz Talib dari PAS.

Kali ini, Syed Saddiq akan dijangka akan berdepan dengan Ketua Pemuda Umno Muar Mohd Helmy Abdul Latif dan Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin.

Jika menang, ini adalah penggal kedua Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen Muar.

Pada sidang media selepas itu, Syed Saddiq berkata semua calon Muda yang bertanding pada PRU15 perlu mengisytiharkan aset masing-masing sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini, bertujuan mencipta budaya politik sihat dan telus.

"Saya juga dalam proses memuktamadkan pengisytiharan tersebut dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat kerana ini budaya baik dan sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Amira Aisya yang juga timbalan presiden Muda berkata parti itu akan mengumumkan seorang lagi calon PRU15 dan perkara itu akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan media.

Selain Parlimen Muar, Muda telah mengumumkan empat calon yang akan bertanding menggunakan logo parti itu iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed di kerusi Parlimen Kepala Batas; Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang), Lim Wei Jiet (Tanjung Piai) dan Shahrizal Denci bagi Kota Marudu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 Nov) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 Nov) dan hari pengundian pada 19 Nov.