PSM tetap akan bertanding tapi hanya di kubu BN
Parti Sosialis Malaysia (PSM) memaklumkan mereka hanya akan bertanding di kubu kuat BN dalam PRU kali ini.
Bercakap pada sidang media hari ini, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata keputusan untuk tetap bertanding dibuat selepas jawatankuasa pusat parti membuat pertimbangan menyeluruh.
"Walaupun PSM gagal (memeterai kerjasama pilihan raya dengan PH), kami tetap mengambil pendirian yang kami tidak akan menyertai gabungan lain," katanya dengan memberi BN dan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai contoh.
Dia berkata PSM juga bersedia menyokong calon daripada parti progresif yang lain.
Katanya lagi, PSM turut memutuskan mereka tidak akan bertembung dengan PH di mana-mana kerusi, agar gabungan itu boleh memberi tumpuan untuk menang di kerusi tersebut.
Pengumuman itu selepas kegagalan untuk memeterai kerjasama pilihan raya dengan PH, selepas gabungan itu tidak memberi laluan kepada PSM di kerusi Parlimen Sungai Siput.
Arutchelvan juga menyatakan PSM tidak akan bertanding di Sungai Siput.
PSM akan bertanding secara solo di kerusi parlimen Rembau, Negeri Sembilan dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Parti sosialis itu mempertaruhkan dua aktivis S Tinagaran, 45, atau lebih dikenali Cikgu Tina akan bertanding di Parlimen Rembau manakala peguam yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM, KS Bawani, 36, di DUN Ayer Kuning.
"PSM bertanding di dua tempat yang tidak pernah kami bertanding sebelum ini tetapi aktif membantu rakyat di kawasan itu dengan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat termasuk pekerja ladang, petani, penternak dan pekerja kontrak kerajaan," kata Arutchelvan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai